Pada 12 Disember 2017, Majlis Sukan Negara (MSN) mengiktirafkan sukan elektronik dan satu unit khas akan ditubuhkan diletakkan di bawah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara. Foto Kredit – Facebook.com/apuesportsclub
Rentetan pengumuman oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin tentang pengiktirafan sukan elektronik oleh Majlis Sukan Negara (MSN), satu kejohanan peringkat kebangsaan bakal dianjurkan nanti. Kejohanan tersebut dijangkakan bakal berlansung semperna penganjuran temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 di Perak nanti.
Status penganjuran ini telah diumumkan melalui satu kenyataan media yang diterbitkan oleh pihak MSN bertarikh 12 Disember 2017. Selain dari penganjuran sukan elektronik ini, sukan mendaki dan papan selaju turut akan diadakan. Penganjuran sukan ini adalah langkah awal untuk pihak MSN mengenal pasti potensi prospek dalam persedian membentuk pasukan kebangsaan ke peringkat lebih tinggi lagi. Malah Malaysia kini mula mengintai peluang untuk menghantar kontijen sukan elektronik ini ke Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024 nanti.
Walaubagaimanapun sehingga kini difahamkan sukan ini adalah berstatus sukan demonstrasi di temasya SUKMA 2018 nanti dan tiada sebarang kiraan pungutan pingat kepada setiap kontijen SUKMA 2018 yang bertanding.
Penampilan sulung pemain kebangsaan Argentina, Gonzalo Peillat bersama pasukan Terengganu Hockey Team di pentas Liga Hoki Malaysia 2018. Kredit Foto – Gryphonhockey.com
Liga Hoki Malaysia yang bakal membuka tirai pada 3 Januari nanti bakal memperlihatkan persaingan yang lebih menarik apabila boleh dikatakan hampir setiap pasukan bakal mempertaruhkan pemain import yang berkualiti dan bertaraf dunia. Terengganu Hockey Team (THT) antara pasukan yang turut berbelanja besar apabila dikhabarkan mendapatkan kudrat empat pemain Argentina. Para pemain kebangsaan Argentina ini yang terdiri daripada Gonzalo Peillat, Joaquin Menini, Pablo Javier Trevisan dan Barreiros Lopez akan tiba secara berperingkat seawal 3 Januari depan.
Sudah pasti para peminat akan memberi perhatian kepada pakar pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat berusia 26 tahun(lahir pada 12 Ogos 1992) yang telah beraksi untuk skuad kebangsaan Argentina seawal usia 20 tahun di Kejohanan Olimpik Musim Panas 2012. Pada 2016, sekali lagi Gonzalo Peillat beraksi di dalam Olimpik Musim Panas dan berjaya membawa Argentina merangkul pingat emas sekaligus menjadi penjaring terbanyak setelah memperolehi 11 jaringan gol dalam temasya Olimpik itu. Untuk rekod, ini adalah penampilan pertama Gonzalo Peillat di pentas Liga Hoki Malaysia.
Liga Hoki Malaysia 2018 yang bakal berlansung selama tiga bulan bermula Januari ini di antara faktor pilihan pemain dari Argentina untuk bermain di sini. Hal ini adalah kerana tiada sebarang kejohanan berlansung di Eropah untuk suku tahun pertama dan Liga Hoki India yang telah dibatalkan untuk musim 2018 ini di mana sebahagian pemain elit Argentina ini turut beraksi di pentas Liga Hoki India.
Untuk rekod sebelum ini pasukan THT cemerlang mengekalkan penguasaan selaku juara Liga Hoki Malaysia sejak 2014 sehinggalah dileburkan pada 2017 dengan keputusan tipis 3-2 oleh Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).
Pakar pukulan sudut penalti utama skuad kebangsaan yang juga penyerang pasukan THT, Faizal Saari masih akan terus beraksi bersama pasukan untuk cabaran musim baru ini. Pada edisi lalu beliau digandingankan bersama pemain import dari Korea Selatan; Jang Jong Hyun yang kini berhijrah ke pasukan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).
“Sama ada saya ditugaskan mengambil pukulan sudut penalti atau tidak, ia bukan masalah dan bergantung kepada strategi pasukan. Apa yang penting saya mahu gunakan peluang ini untuk menimba ilmu daripadanya,” ujar Faizal Saari kepada pemberita.
“Kerajaan negeri hanya pelaksana kepada penganjuran sukan dwitahunan itu dan tidak boleh menyenaraikan acara sukan sesuka hati,” ujar Datuk Shahrul Zaman Yahaya. Kredit Foto – Facebook.com/shahrulzamanyahya
Kontroversi yang melanda sukan sepak takraw, angkat berat dan taekwondo setelah digugurkan dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN) akhirnya terjawab apabila disahkan tidak akan dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 nanti. Keputusan untuk tidak dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri Perak, Dato’ Shahrul Zaman Yahya kepada pemberita.
Perak yang akan mengalas tugas selaku penganjur SUKMA 2018 Ke-19 terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Negara (MSN) walaupun tuan rumah mempunyai pilihan untuk menyenaraikannya sukan yang digugurkan ke dalam 10 sukan pilihan.
Walaupun sukan-sukan yang digugurkan itu telah disenarai awal dalam perancangan persedian venue mengikut daerah sebelum ini, kerajaan negeri Perak akan berusaha mengantikan sukan yang akan dipertandingkan tanpa perubahan kepada daerah yang menjadi venue.
“Kerajaan negeri hanya pelaksana kepada penganjuran sukan dwitahunan itu dan tidak boleh menyenaraikan acara sukan sesuka hati,” ujar Datuk Shahrul Zaman Yahaya kepada pemberita.
Keputusan ini juga turut disampaikan dalam kenyataan media oleh ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail yang dipaparkan di laman web http://www.nsc.gov.my bertarikh 12 Disember 2017.
Sebagai persediaan membentuk pasukan kebangsaan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024. Kredit Foto – Nerdgoblin.com
Majlis Sukan Negara (MSN) kini mengorak langkah dengan mengiktirafkan sukan elektronik sebagai salah satu sukan yang harus diberikan perhatian. Pada 12 Disember lalu, Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin mengumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan satu unit khas bagi memberi tumpuan kepada sukan elektronik di negara ini. Unit Khas ini akan diletakkan di bawah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara.
Menurut Khairy, pihak MSN yang diketuai oleh Dato’ Ahmad Shapawi Ismail selaku ketua pengarah akan ditugaskan untuk mencari pegawai-pegawai yang pakar untuk berinteraksi komuniti sukan ini sekali gus memperkasakan unit khas ini. Sukan ini merupakan satu bentuk sukan baru yang harus diberi perhatian setelah mendapat pengiktirafan Majlis Olimpik Asia (OCA). Keputusan ini secara tidak lansung memberi gambaran persediaan membentuk pasukan kebangsaan untuk berlatih menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024.
“Ini adalah realiti. Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggalan. Saya difahamkan kita ada atlet E-Sukan yang bertaraf dunia jadi mungkin kita boleh libatkan mereka di dalam unit itu”, ujar Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin.
Pengiktirafan sukan baru ini sudah pasti MSN akan memberikan peruntukan serta bantuan secukupnya untuk pembangunan sukan ini di negeri-negeri di dalam Malaysia ini untuk persediaan Sukan Asia 2022 dan Sukan Olimpik 2024. Sukan ini juga dikhabarkan turut bakal menjadi sukan demonstrasi Sukan Asia Ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada tahun ini.
“Ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” ujar Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara. Kredit Foto – Nurul Shafina Jemenon
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Dato’ Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan kepada pemberita bahawa tiga sukan yang telah digugurkan daripada sukan teras tidak boleh dipertandingkan pada penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 yang akan berlansung di Perak nanti. Sukan Malaysia adalah Temasya Sukan Remaja Kebangsaan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negeri sebagai tuan rumah.
Oleh yang sedemikian keputusan Lembaga Pengurus MSN menggugurkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo berkuat kuasa di SUKMA 2018 malah sudah dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Ketiga-tiga sukan ini yang pernah disenaraikan sebagai sukan wajib dipertandingkan tidak pernah ketinggalan daripada dipertandingkan di temasya SUKMA.
“Keputusan yang diputuskan Lembaga Pengurus MSN itu turut merangkumi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Jadi, ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” katanya kepada pemberita.
Menjelang temasya kejohanan SUKMA 2018 nanti sebanyak 369 acara bakal dipertandingan terdiri dari 26 jenis sukan di mana 16 sukan berstatus wajib dipertandingankan yang merupakan sukan teras manakala baki 10 jenis sukan lagi adalah sukan pilihan ditentukan oleh tuan rumah.
Untuk rekod, pada edisi penganjuran SUKMA terdahulu hanya 19 sukan wajib yang merupakan sukan teras dipertandingkan. Kini 16 sukan wajib dipertandingkan terdiri dari akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak dan futsal, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, boling serta wushu. Manakala sukan pilihan pula adalah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, petanque, ragbi, muay dan tinju.
Pada 12 Disember 2017 lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).
Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan RM112.2 juta untuk sektor sukan bagi negeri ini ketika membentangkan Bajet 2018 pada Sidang Dewan Undangan (DUN) baru ini. Peruntukkan tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut menjelaskan jumlah tersebut adalah termasuk untuk program latihan intensif berserta aksi persahabatan yang kompetitif, pembangunan infrastruktur di negeri ini dan juga program untuk rakyat Terengganu.
Sejajar dengan pencapaian semasa atlet dan pasukan sukan negeri ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, kerajaan negeri berazam untuk terus melakar kejayaan dengan memperuntukkan RM8.7 juta untuk persediaan dalam temasya Sukan Malaysia(SUKMA) pada edisi seterusnya di negeri Perak nanti. Selain peruntukkan persediaan, kerajaan negeri juga turut tidak terlepas pandang untuk menghargai kejayaan atlet dan pasukan sukan di mana memperuntukkan RM1 juta bagi Anugerah Kecemerlangan Sukan.
Pembangunan infrastruktur sektor sukan di negeri ini juga mendapat perhatian apabila kerajaan negeri turut mengumumkan akan membangunkan bangunan baru asrama atlet yang akan di bina di di Kompleks Sukan Gong Badak. RM100 juta diperuntukkan untuk bangunan yang mempunyai 2 blok menara setinggi 6 tingkat berkapasiti 60 unit asrama yang mampu menempatkan seramai 650 atlet pada satu-satu masa.
Sejajar dengan membudayakan aktiviti bersukan di kalangan komuniti penduduk setempat, kerajaan negeri juga turut prihatin untuk menaiktaraf semua gelanggang futsal di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN). Oleh yang sedemikian sebanyak RM 2 juta telah diumumkan.
Kerajaan Negeri Terengganu juga turut menggalakkan lebih banyak penyertaan rakyat dalam aktiviti sihat seperti Fun Run, Fun Ride dan senamrobik di setiap daerah di mana turut memperuntukkan RM 500 ribu melalui program kesihatan untuk rakyat.
PenyuSukan.com(Penyu Sukan) adalah sebuah platform arkib berita sukan yang memfokuskan segala perkembangan sukan yang berlansung di dalam negeri Terengganu Darul Iman ini. Penyu Sukan juga akan berusaha termampu untuk merantau ke seluruh negeri Terengganu ini bagi menyampai segala maklumat perkembangan sukan termasuk penganjuran sukan yang di jalankan di negeri ini. Selain dari itu juga akan turut memaparkan berita-berita perkembangan sukan lain di dalam tanah air mahupun di luar negara.
Oleh yang sedemikian, pihak kami memerlukan sokongan penuh dari pihak persatuan atau kelab sukan di dalam negeri ini mahupun pihak penganjur bagi sebarang acara sukan untuk kami sampaikan kepada para peminat sukan di luar sana khususnya anak jati Terengganu ini.
Penyu Sukan tidak semestinya memfokuskan kepada acara berstatus kebangsaan mahupun peringkat negeri malah kami lebih gemar untuk menyampaikan tentang sebarang program pembangunan mahupun penganjuran sukan walaupun di peringkat sekolah mahupun belia.
Sekiranya anda mempunyai sebarang usul dan maklumat tentang penganjuran aktiviti sukan di negeri ini, mohon dikongsikan bersama kami melalui email – sukan@penyusukan.com