Penubuhan akademi ini telah dirancang sekian lama sejak TSG memiliki status pasukan bertaraf benua sejak 2011 di mana berazam untuk menjadi pasukan profesional benua dari Malaysia pada 2020 nanti. Untuk permulaan dijangka 10 pelumba berusia antara 16 hingga 17 tahun bakal dipilih untuk berada di bawah program akademi ini.
Para pelumba muda ini bakal dibentuk menjadi pasukan pembangunan bawah 23 tahun untuk berentap sebarang perlumbaan yang dianjurkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Selain latihan sepenuhnya bersama pasukan TSG, bayaran elaun juga bakal diberikan kepada pelatih akademi ini dengan sasaran melahirkan pelumba lebuh raya pertama negara yang menamatkan perlumbaan di Olimpik.
“Ia perlu dipatuhi supaya sasaran menjadi realiti pada 2020. Pada masa yang sama, apabila tiba masanya, barisan pelumba muda ini akan menggalas cabaran TSG di pentas antarabangsa,” ujar Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus kepada pemberita.
Sebelum ini turut dilaporkan pelumba Anuar Manan telah ditawarkan sebagai pengarah sukan di dalam akademi ini namun pelumba itu telah mengambil keputusan untuk bersama pasukan Forca Amskins Racing (FAR) setelah kontrak beliau tamat bersama TSG pada 30 Disember 2017 lalu.