Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu(PBSNT) 2021 yang telah berlangsung selama sehari menghimpunkan 10 ahli gabungan telah sebulat suara bersetuju untuk mengemaskini perlembagaan badan induk sukan bola sepak negeri khususnya dalam memperkasakan peranan dan kuasa jawatan presiden yang telah dilantik.
Keputusan yang berkuat kuasa hari ini dilihat menjadi pemangkin untuk memacu hala tuju persatuan yang lebih jitu dalam pengurusan sukan bola sepak negeri khususnya bagi program pembangunan peringkat akar umbi. Terdahulu seperti mana menurut perlembagaan PBSNT, jawatan presiden PBSNT dikhaskan secara automatik kepada sesiapan sahaja yang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu. Situasi ini dilihat oleh sebahagian ahli perwakilan seharusnya perlu melantik sesiapa sahaja yang layak dan mampu untuk memberi perhatian sepenuhnya dalam bidang kuasa pengurusan persatuan.
Kini melalui perlembagaan PBSNT yang diperbaharui akan memberi kuasa mutlak kepada Menteri Besar sama ada untuk terus kekal memegang jawatan atau berhak melantik sesiapa sahaja yang layak sebagai presiden bagi menerajui pucuk pimpinan badan induk sukan bola sepak negeri ini.
“Kita mempertahankan dan kita memberi ruang lagi kepada MB, contohnya MB sibuk. Dia ada seseorang yang pada hematnya yang boleh membantu persatuan maka dia hendak bagi jawatan presiden kepada orang itu pun boleh. Kalau dulu presiden itu dia kena pegang dan dia hanya hanya ada kuasa untuk melantik seorang timbalan. Sekarang ada dua. Terserah kepada dia. Itu keputusan ahli-ahli gabungan. Kita memberi kuasa penuh kepada YAB yang kita sayang ini supaya demi pembangunan bolasepak dia pikir dia teliti dia kaji kepada siapa jawatan itu dia hendak beri.”, ujar Timbalan Presiden PBSNT Marzuki Sulong kepada PenyuSukan.com
Pada kongres tahunan yang telah berlangsung di RA’AI Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus turut menyampaikan serahan replika cek sumbangan tunai kepada Suhaimi Mat Hassan yang telah berkhidmat selaku pengadil Fifa Beach Soccer World Cup 2021 di Moscow, Rusia dan pasukan Mark Less Komi yang telah menjuarai Piala Beach Soccer AFC di Thailand pada tahun ini. Turut menerima replika cek sumbangan tunai adalah ahli-ahli gabungan bernilai RM 20,000.00 bagi setiap penerima. Walaubagaimanapun, Presiden PBSNT merangkap Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak hadir sewaktu kongres ini berlangsung.