Eddyna Nasuhar binti Zainal Abidin atau lebih mesra dikenali sebagai Dyna kini mula mendapat perhatian dalam arena basikal lasak BMX setelah mempertahankan Kejuaraan BMX Kebangsaan buat kali ke-3 berturut-turut. Anak jati Dungun ini berjaya menafikan pelumba dari negeri Selangor yang berada di tempat kedua dan pelumba dari Johor di tempat ketiga dalam perlumbaan akhir acara peringkat umur 13 hingga 16 tahun wanita. Kejuaraan BMX Kebangsaan 2018 yang telah berlansung di Arena BMX Nasional, Nilai, Negeri Sembilan juga merupakan aksi pemanas badan buat beberapa pelumba sebelum berentap di pentas Sukan Malaysia 2018 di Perak nanti.
Segala-galanya bermula apabila jurulatih Rozimi Omar(arwah) menjadi individu awal mengesan bakat terpendam pelumba ini di usia 12 tahun. Jurulatih ini juga adalah individu awal yang turut membentuk pelumba profesional kelahiran Kuala Dungun; Azizul Hasni Awang. Selama setahun jurulatih ini memberi tunjuk ajar kepada Dyna dan pada tahun seterusnya buat pertama kali untuk pelumba ini berentap di pentas kebangsaan dalam Siri Terbuka Selangor 2015 sekaligus berjaya merangkul pingat perak. Namun kejayaan itu juga merupakan kejayaan kali terakhir dikecapi bersama setelah jurulatih Rozimi Omar meninggal dunia akibat serangan jantung pada November 2015. Pelumba muda ini sungguh terkesan dengan apa yang berlaku sehingga ke hari ini.
Berbekalkan semangat dan azimat yang diberikan oleh arwah Rozimi Omar dan dorongan sokongan padu dan restu dari kedua-dua ibu bapa kini Dyna tanpa menoleh ke belakang lagi untuk terus berusaha memburu kejayaan. Kini pelumba ini mendapat bimbingan sepenuh masa daripada jurulatih berpengalaman besar; Arif Syukri bin Ahmad Sabti yang sentiasa memastikan kejayaan terus dicipta.
Jepun, Australia, Philippines, Thailand dan Indonesia di antara negara-negara yang pernah dijejaki sepanjang mencipta nama dalam sukan lasak BMX ini. Sebalik kejayaan demi kejayaan dicipta, pelajar SMK Balai Besar, Dungun ini juga turut tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar sekolah.
Rutin seharian yang padat memerlukan Dyna membahagikan masa dengan bijak di mana latihan kayuhan harian akan diadakan selepas waktu persekolahan manakala pada hari minggu akan berbuat sedemikian di waktu pagi. Untuk rekod, pelumba ini turut memperolehi 4 A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Geografi dan Sejarah dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3(PT3). Menjadikan pelumba BMX profesional dari Australia; Saya Sakakibara dan pelumba profesional tempatan yang juga anak jati Terengganu; Noor Quraataina Mamat sebagai idola, Dyna turut juga menanam cita-cita untuk layak mewakili Malaysia ke temasya Olimpik pada tahun 2024 nanti.
“Terima kasih tidak terhingga kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak jemu memberi sokongan padu sejak dari awal lagi. Seterusnya sudah pasti kepada arwah jurulatih Rozimi Omar yang memberi peluang kepada saya untuk saya berada pada hari ini. Terima kasih juga kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu yang teramat banyak membantu untuk untuk kejayaan saya dan pasukan saya dan juga sukan BMX di negeri ini. Begitu juga sudah pasti kepada penaja saya iaitu TUAH BMX Products yang sememangnya sentiasa bersama saya dalam setiap kejayaan.”; ujar Eddyna Nasuhar binti Zainal Abidin kepada PenyuSukan.com
TUAH BMX Products adalah sebuah syarikat pengeluar dan pembekal barangan basikal lasak BMX yang berpusat di Singapura di mana telah menaja pelumba Dyna sejak 2017.
PROFIL ATLET
Nama: Eddyna Nasuhar binti Zainal Abidin
Tarikh Lahir: 22 Oktober 2002
Tempat Kelahiran: Dungun, Terengganu
Media Sosial: _.dynaevasive (Instagram) & Dyna Evasive (Facebook)
REKOD PENCAPAIAN SEPANJANG 2018
Kejohanan BMX Remaja Sportexcel/MSN/MILO/PKBM – Johan
Banyuwangi International BMX, Indonesia 2018 – Johan
Kejohanan BMX Kebangsaan 2018 – Johan
Terbuka BMX Penrith, Australia 2018 – Tempat Ke-4
Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) Thailand 2018 – Kemalangan di pusingan akhir