Atlet sukan pelayaran negeri Terengganu; Alif Safares optimis mampu memberi kejutan kepada atlet-atlet kebangsaan yang bakal berentap dalam Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21 pada 5 hingga 7 Julai 2019 nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Atlet senior sukan pelayaran negeri Terengganu; Alif Safares kini gigih mempersiapkan diri untuk memberi cabaran kepada atlet kebangsaan yang menjadi penanda aras kejayaan buat beliau. Mempertaruhkan acara kegemaran International 420, anak jati Pulau Duyong ini optimis mampu untuk memberi kejutan kejohanan di peringkat kebangsaan nanti.
Terkini beliau berjaya meraih tiket merebut slot ke Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai 2019 nanti setelah mengungguli Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 Siri 5.
Alif Safares(kanan) bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu sewaktu Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 Siri 5 yang telah berlangsung pada 29-30 Jun 2019 bertempat di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Meraih 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam Kejohanan Liga Layar Terengganu ini secara tidak langsung membakar semangat untuk berentap di Port Dickson nanti. Walaupun mengalami kecederaan sewaktu sesi latihan lalu namun tidak menjadi halangan buat Safares yang begitu teruja untuk berentap. Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah antara atlet kebangsaan menjadi sasaran buat Alif Safares untuk memberi kejutan selaku atlet negeri.
Alif Safares merupakan atlet sukan pelayaran negeri Terengganu sepenuh masa mula menceburi sukan pelayaran sejak berusia 10 tahun. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 ini juga merupakan pentas buat setiap atlet sama ada peringkat senior mahupun peringkat pembangunan diberi peluang sama rata untuk merebut slot ke kejohanan kebangsaan tersebut. Kejohanan ini juga merupakan sebahagian dari program pembangunan sepanjang tahun di bawah kawal selia Majlis Sukan Negeri Terengganu yang dikendalikan oleh ketua jurulatih berpengalaman besar; Abdul Rani Idris dan dibantu oleh beberapa jurulatih berpengalaman lain.
Sementara itu Abdul Rani Idris selaku ketua jurulatih sukan pelayaran negeri Terengganu memberi gambaran sengit pada kejohanan kebangsaan di Port Dickson nanti. Rata-rata atlet pelayaran dari negeri ini adalah skuad pelapis SUKMA yang masih perlu banyak menimba pengalaman.
Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson merupakan kejohanan tahunan bertaraf kebangsaan di mana menawarkan kutipan mata bagi setiap atlet yang bertanding. Kejohanan yang penuh prestij ini sudah pasti turut disertai oleh atlet-atlet kebangsaan dan beberapa pelayar profesional dari luar negara secara tidak langsung memberi cabaran sengit. Optimist, Laser Radial, Laser 4.7, Int 420, Bic Techno dan RS-One antara kategori yang menjadi taruhan bagi atlet-atlet negeri ini.
Pasukan layar negeri Terengganu membawa cabaran besar untuk mewakili negeri berentap di peringkat kebangsaan memandangkan sebahagian besar atlet senior dari negeri ini telah dipanggil untuk menyertai kem kebangsaan yang turut sama memberi cabaran di Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke-21 nanti. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Penganjuran Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 yang kini memasuki siri ke-5 dari 10 siri penganjuran sepanjang tahun menjadi medan terbaik buat para atlet negeri ini untuk meraih tiket ke pentas kebangsaan. Siri perlumbaan yang telah berlangsung selama dua hari bertempat di Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu mempertaruhkan semua kategori kelas bot.
Setiap atlet sama ada peringkat senior mahupun peringkat pembangunan diberi peluang sama rata untuk merebut slot ke Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21 yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Julai 2019 nanti.
Perairan Duyung Marina Resort menjadi medan latihan rasmi sepenuh masa buat atlet-atlet sukan pelayaran yang sentiasa bersedia untuk memberi cabaran dalam setiap kejohahan. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Kejohanan ini juga merupakan sebahagian dari program pembangunan sepanjang tahun di bawah kawal selia Majlis Sukan Negeri Terengganu yang dikendalikan oleh ketua jurulatih berpengalaman besar; Abdul Rani Idris dan dibantu oleh beberapa jurulatih berpengalaman lain.
Sebahagian besar atlet pelayaran negeri Terengganu adalah dibarisi oleh skuad pelapis Sukan Malaysia(SUKMA) di mana atlet-atlet senior kelahiran negeri ini telah diserap untuk menyertai skuad kem kebangsaan. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Tidak dapat dinafikan rata-rata atlet kebangsaan kelahiran negeri Terengganu yang kini mencipta nama dipersada antarabangsa adalah hasil dari program pembangunan ini.
Oleh kerana sebahagian besar atlet-atlet terbaik negeri ini telah menyertai kem kebangsaan, pada edisi kali ini kejohanan kebangsaan di Port Dickson pasti memberi cabaran besar kepada setiap atlet untuk mewakili negeri berentap di pentas kebangsaan. Rata-rata atlet yang bakal menggalas cabaran besar ini adalah pelayar-pelayar skuad pelapis untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Johor pada tahun 2020 nanti.
Ketua jurulatih pelayaran negeri Terengganu; Abdul Rani Idris(kiri) bersama Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu sewaktu Kejohanan Liga Layar Terengganu TSDL 2019 Siri 5 yang telah berlangsung di Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu pada 30 Jun 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Cabaran besar bagi kami di Port Dickson nanti kerana kali ini kami mempertaruhkan pelayar-pelayar dari skuad pelapis SUKMA. Saingan sengit dijangka daripada skuad kebangsaan itu sendiri yang membariskan 30 pelayar termasuk atlet kelahiran negeri Terengganu hasil dari program pembangunan di sini. Selain itu pasukan luar negara juga akan menggugat peluang pingat emas di mana sebelum ini kami sentiasa pulang dengan pingat emas.”; ujar Abdul Rani Idris selaku ketua jurulatih yang berkhidmat dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu sejak 2011.
Barisan pelayar-pelayar bersama jurulatih dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu(barisan tengah tiga dari kanan) sewaktu Kejohanan Liga Layar Terengganu TSDL 2019 Siri 5 yang telah berlangsung di Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu pada 30 Jun 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson adalah kejohanan tahunan bertaraf kebangsaan di mana menawarkan kutipan mata bagi setiap atlet yang bertanding. Kejohanan yang penuh prestij ini sudah pasti turut disertai oleh atlet-atlet kebangsaan dan beberapa pelayar profesional dari luar negara secara tidak langsung memberi cabaran sengit. Optimist, Laser Radial, Laser 4.7, Int 420, Bic Techno dan RS-One antara kategori yang menjadi taruhan bagi atlet-atlet negeri ini.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Pembangunan sukan negeri Terengganu kita memang bermula dari awal. Ini adalah faktor kerana kita menukar landskap sukan negeri Terengganu sejak 2006. Program pembangunan tidak hanya memfokuskan SUKMA sebagai sasaran di mana lebih dari itu yang memerlukan atlet kami sentiasa bersedia dan sentiasa membuat latihan dari semasa ke semasa. Untuk menghantar atlet kita ke pertandingan bukan kita tangkap muat. Kita buat secara sistematik menggunakan pertandingan-pertandingan dan bukan sahaja sekali kita buat pertandingan untuk memilih tetapi bersiri pertandingan untuk mereka lalui untuk mendapat tempat bagi memastikan mereka mendapat tempat untuk mewakili negeri ke peringkat lebih tinggi.”; berkata Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu kepada PenyuSukan.com sewaktu hadir ke majlis penyampaian hadiah Kejohanan Liga Layar Terengganu 2019 Siri 5 di Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu
Kontijen sukan pelayaran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang yang telah berkampung selama 4 hari bertempat di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk program Sirkit 1 Sukan Pelayaran MSS Pahang. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Seramai 52 murid-murid sekolah dari beberapa daerah sekitar negeri Pahang telah berkampung selama 4 hari bertempat di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk turut serta bersama dalam program Kejohanan Liga Layar Terengganu LLT-TSDP Siri 3 2019. Kejohanan yang telah berlansung pada 28 sehingga 3 Mac 2019 lalu telah dijadikan platform oleh Majlis Sukan Sekolah Negeri Pahang(MSS Pahang) bagi menganjurkan Sirkit 1 Sukan Pelayaran MSS Pahang. Jalinan kerjasama program pembangunan akar umbi di antara dua negeri ini dilihat satu langkah yang terbaik demi masa depan sukan pelayaran ini.
Rata-rata peserta yang hadir adalah murid-murid sekolah seawal usia darjah 1 sehingga tingkatan 3 merupakan bakat-bakat yang telah dicungkil melalui program pembangunan yang dijalankan oleh MSS Pahang. Berpusat di SK Cherating tidak memberi halangan untuk adik-adik cilik ini yang rata-rata hadir dari daerah-daerah seperti Kuantan, Pekan, Maran Jerantut malah ada yang sejauh dari Bentong, Bera dan Rompin.
Wajah-wajah peserta program Sirkit 1 Sukan Pelayaran MSS Pahang berusia di antara 6 sehingga 15 tahun dari pelbagai daerah dalam negeri Pahang. Kredit Foto – PenyuSukan.com
MSS Pahang kini dalam rangka mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejohanan Pelayaran Majlis Sukan Sukan Sekolah Malaysia(MSSM) yang dijangkan akan diadakan pada bulan Ogos nanti.
Terengganu menjadi negeri singgahan kedua buat kontijen dari Jabatan Pendidikan Negeri Pahang ini di mana sebelum ini turut menganjurkan program yang sama di Port Dickson, Negeri Sembilan. Jalinan program kerjasama dan juga merupakan siri kejohanan sukan pelayaran bagi negeri Pahang ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos penganjuran di samping memberi pendedahan dan cabaran berbeza bagi setiap atlet. Kelebihan ini juga turut memberi pendedahan kepada atlet untuk bersaing dalam kelompok yang lebih besar di antara dua negeri hasil dari program latihan yang berbeza. Oleh yang sedemikian sekaligus memberi pengalaman kepada setiap peserta untuk beraksi di peringkat kebangsaan.
Pegawai Teknik & Pembangunan Sukan(PTPS) Pelayaran Negeri Pahang; Khairul Azizi bin Abdul Aziz mengetuai rombongan kontijen sukan pelayaran dari Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk turut sama dalam program Kejohanan Liga Layar Terengganu LLT-TSDP Siri 3 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Pertama sekali ingin saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menerima kami malah turut membantu menyediakan bot-bot untuk kejohanan. Walaupun tanpa kelengkapan lain seperti set pelayaran namun ianya sudah amat membantu meringankan bebanan kos logistik kepada kami. Kami hanya perlu membawa lain-lain kelengkapan pelayaran yang diperlukan yang sememangnya kami tersedia ada. Sukan ini sememangnya memerlukan kos penganjuran yang tinggi oleh yang sedemikian jalinan kerja sama ini merupakan salah satu serampang dua mata yang terbaik.”; ujar Khairul Azizi bin Abdul Aziz selaku Pegawai Teknik & Pembangunan Sukan(PTPS) Pelayaran Negeri Pahang dan juga merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Cherating, Pahang.
Beliau juga turut mengulas bahawa lokasi penganjuran yang terletak di pintu muara Sungai Terengganu merupakan lokasi terbaik untuk program pembangunan sukan pelayaran ini berikutan kawasan yang luas dan perairan yang tenang tanpa ombak besar. Kelebihan ini sememangnya menjadi satu faktor terbaik untuk memberi pendedahan awal kepada pelayar-pelayar muda yang baru menceburi sukan ini.
Muhammad Faizzudin bin Mohd Fauzi berusia 16 tahun dinobatkan sebagai ‘Pelayar Terbaik Kejohanan’ bagi Kejohanan Liga Layar Terengganu LLT-TSDP Siri 3 2019 yang telah berlansung pada 28 sehingga 3 Mac 2019 bertempat di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Kejohanan Liga Layar Terengganu LLT-TSDP Siri 3 2019 yang baru melabuhkan tirai mencipta sensasi kejohanan setelah adik cilik berusia 16 tahun dinobatkan sebagai Pelayar Terbaik Kejohanan. Pelajar tingkatan empat SMK Bukit Tunggal, Muhammad Faizzudin bin Mohd Fauzi berjaya mengungguli 4 kategori yang disertai untuk meraih ke semua pingat emas. Kejayaan ini juga turut telah menafikan beberapa pelayar senior yang turut bertanding di Duyong Marina Resorts, Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang telah bermula sejak 28 sehingga 3 Mac 2019.
Kejayaan ini juga sudah pasti akan terus membakar semangat dalam diri adik cilik ini untuk terus menempa nama di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Untuk rekod pada 2017 dalam satu kejohanan di Vietnam, Muhammad Faizzudin turut berjaya memberi kejutan setelah meraih 3 pingat emas dalam kategori Optimist. Pada Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018, walaupun sekadar berjaya meraih pingat perak dalam acara Optimist berpasukan namun pelayar muda ini masih mempunyai pelayaran yang cerah untuk terus memperbaiki rekod pencapaian.
Mula menceburi sukan pelayaran sejak berusia 6 tahun, sudah pasti suatu hari nanti mampu untuk mencipta nama di peringkat yang lebih tinggi sekaligus menjadi pelayar profesional. Disiplin yang tinggi dan sentiasa menghormati barisan jurulatih serta rakan-rakan sepelayaran menjadi kunci kepada adik yang berasal dari Kampung Pulau Ketam, Kuala Terengganu ini.
Muhammad Faizzudin yang turut menanam cita-cita untuk mewakili Malaysia ke pentas Olimpik juga pernah melalui saat getir suatu ketika dahulu di mana hampir lemas setelah bot yang dikemudi dibadai ribut sewaktu sesi latihan. Namun berkat tunjuk ajar daripada jurulatih-jurulatih berpengalaman menjadi azimat untuk beliau mengawal situasi sekaligus menjadi lebih cekal. Menjadikan atlet perahu layar negara, Khairulnizam Mohd Affendy sebagai idola dan penanda aras pencapaian sekaligus segala usaha penat lelah dan cabaran getir dijadikan pembakar semangat untuk adik Muhammad Faizzudin ini.
Jurulatih perahu layar negeri Terengganu; Hamdan bin Mohd Rozi(kiri) bersama Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Ahmad Syahrizal bin Yahaya(kanan) menyampaikan piala pusingan Pelayar Terbaik Kejohanan kepada Muhammad Faizzudin bin Mohd Fauzi. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Pertama ingin saya ucapakan terima kasih yang tidak terhingga kepada jurulatih-jurulatih yang telah mendidik saya sejak sekian lama. Saya bebetul teruja diumumkan sebagai Pelayar Terbaik Kejohanan ini liga ini. Satu kepercayaan yang amat besar bagi saya. Saya juga ingin berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang sentiasa memberi dorongan tanpa mengira masa dan kemampuan. Tiada apa yang mampu saya berikan kepada mereka(ibu bapa) selain dari kejayaan ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan walaupun kami bersaing untuk merebut kemenangan namun kerana mereka juga saya di sini. Saya gembira bersama mereka semua seperti satu keluarga yang besar.”; ujar Muhammad Faizzudin bin Mohd Fauzi yang ditemui sejurus tamat kejohanan.
Seterusnya Kejohanan Liga Layar Terengganu LLT-TSDP siri keempat dijadualkan bakal berlansung pada 4 sehingga 7 April 2019 nanti. Setiap kejohanan menawarkan sistem kutipan mata untuk menentukan tangga kedudukan para atlet dilihat satu platform terbaik yang secara tidak lansung menjadi serampang dua mata bagi program pembangunan sukan di negeri ini.
Liga layar ini mempertandingan kategori bagi semua kelas bot di mana terbuka kepada semua atlet Program Pembangunan Sukan Negeri Terengganu termasuk peserta yang telah menyertai program My Try Layar baru-baru ini. Sebanyak 10 siri Liga Layar TSDL 2019 dijadualkan untuk berlansung bertempat di beberapa venue pertandingan sekitar negeri Terengganu ini.
Program ‘My Try Layar de Tasik’ anjuran Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu adalah satu program pengenalan sukan pelayaran khususnya kepada penduduk sekitar negeri Terengganu yang berlansung pada 21 Disember sehingga 26 Disember 2018 yang lalu. Program ini juga menjadi sebahagian dari plan program pembangunan sukan untuk mencungkil bakat-bakat muda. Kredit Foto – PenyuSukan.com
KEPUTUSAN LIGA LAYAR TSDL 2019 SIRI 3 *Keputusan melibatkan Muhammad Faizzudin bin Mohd Fauzi sahaja
INTERNATIONAL 420 OVERALL – PINGAT EMAS HELMSMAN – MUHAMMAD FAIZZUDIN BIN MOHD FAUZI CREW – MUHAMMAD SOLIHIM BIN ABDULLAH
INTERNATIONAL 420 MEN – PINGAT EMAS HELMSMAN – MUHAMMAD FAIZZUDIN BIN MOHD FAUZI CREW – MUHAMMAD SOLIHIM BIN ABDULLAH
LASER 4.7 OPEN – PINGAT EMAS MUHAMMAD FAIZZUDIN BIN MOHD FAUZI
LASER 4.7 BOY – PINGAT EMAS MUHAMMAD FAIZZUDIN BIN MOHD FAUZI
Alif Safares dinobatkan sebagai Pelayar Terbaik Liga Layar TSDL 2019 Siri 1 setelah berjaya meraih podium bagi 6 acara pelayaran yang disertai sekaligus merupakan pemenang pingat terbanyak untuk kejohanan pembuka tirai ini. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Pelayar muda yang kian mencipta nama; Alif Safares bin ‘Azmi mendominasi kejuaraan pembuka tirai Liga Layar TSDL 2019 Siri 1 yang telah berlansung di tasik rekreasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 30 Disember lepas. Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Safares dinobatkan sebagai Pelayar Terbaik setelah mengungguli 6 acara pelayaran yang dipertandingkan. Untuk saingan pembuka tirai ini, Safares telah bersaing dalam kategori pelayaran International 420 Terbuka, International 420 Lelaki, Laser Radial Terbuka, Laser Radial Lelaki, Bic Techno Senior Lelaki dan Bic Techno Senior Keseluruhan.
Menambah manis anak jati Pulau Duyong ini; Safares selaku jurumudi bot bersama rakan sepasukan Muhammad Solihim bin Abdullah berjaya merangkul juara berganda dalam acara kegemaran iaitu International 420 Terbuka dan International 420 Lelaki. Saingan sengit konsisten telah diterima dari jurumudi Muhammad Faizzuddin yang meraih tempat kedua dan Muhammad Khaidir di tempat ketiga untuk kedua-dua acara tersebut.
Alif Safares(kiri) menerima piala pusingan Liga Layar TSDL 2019 Siri 1 yang disampaikan oleh Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu; Encik A.Zulkifli bin Mohamad. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Saingan yang hebat dari setiap peserta. Walaupun mereka semua adalah rakan sepelayaran yang bersama-sama berlatih namun untuk pembukaan liga ini mereka sepenuh hati memberi saingan. Muhammad Izzuddin dan Al Yauma Akma antara yang memberi cabaran besar buat saya. Belayar di tasik ini juga turut memberi cabaran oleh kerana faktor angin yang tidak menentu memerlukan ketangkasan mengendalikan bot untuk berlumba.”; ujar pemenang pingat emas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018.
Safares mula menceburi sukan pelayaran sejak berusia 10 tahun dan kini berusia 18 tahun ini adalah merupakan atlet sepenuh masa malah turut selaku pembantu tenaga pengajar bagi Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu.
Abdul Latif bin Mansor(kiri) bersama Alif Safares bin Azmi berjaya merangkul pingat emas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 dalam sukan pelayaran bagi acara International 420s yang telah berlansung di Pengkalan TLDM Lumut. Kredit Foto – Sekretariat SUKMA Perak 2018
Pada temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 yang lalu, beliau telah bergandingan dengan jurumudi Abdul Latif bin Mansor berjaya mencipta sensasi sukan pelayaran negeri ini apabila meraih pingat emas untuk pertama kali berentap di pentas sukan dwi tahunan ini.
Kejohanan Liga TSDL (Terengganu Sailing Development League) menawarkan sistem kutipan mata untuk menentukan tangga kedudukan para atlet dilihat satu platform terbaik yang secara tidak lansung menjadi serampang dua mata bagi program pembangunan sukan di negeri ini. Liga layar ini mempertandingan kategori bagi semua kelas bot di mana terbuka kepada semua atlet Program Pembangunan Sukan Negeri Terengganu termasuk peserta yang telah menyertai program My Try Layar 2018 baru-baru ini. Sebanyak 10 siri Liga Layar TSDL 2019 dijadualkan untuk berlansung bertempat di beberapa venue pertandingan sekitar negeri Terengganu ini.
Tasik Kompleks Sukan Gong Badak yang terletak di Kuala Nerus mencipta sejarah dalam sukan pelayaran negeri Terengganu apabila pertama kali dianjurkan di sini. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Rentetan maklum balas positif yang diterima, program pengenalan sukan pelayaran yang dijadualkan berakhir pada 26 Disember 2018 lepas kini akan tetap diteruskan sehingga pada satu tarikh. Program ‘My Try layar de Tasik’ yang pertama kali berlansung di tasik rekreasi Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus ini kini dilihat mampu menjadi satu daya tarikan terbaharu buat pengunjung. Program anjuran Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu ini tidak hanya terbuka kepada bakat-bakat muda untuk pencarian atlet malah terbuka kepada orang ramai yang ingin mencuba.
Ketua jurulatih yang mengendalikan program ini; Abdul Rani Idris memaklumkan kepada PenyuSukan.com bahawa pihak pengurusan Kompleks Sukan Gong Badak telah bersetuju tentang perkara ini. Hal ini sudah pasti secara tidak lansung memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak di mana program ini bukanlah berasaskan keuntungan namun demi hala tuju masa depan sukan itu sendiri. Bayaran RM10 yang dikenakan untuk pengalaman belayar selama 60 minit di samping ilmu pelayaran yang disampaikan oleh jurulatih bertauliah dan berpengalaman besar adalah amat berbaloi.
Melalui program pembangunan sukan yang mendapat bantuan dari pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu, kini sukan ini mampu disertai oleh sesiapa sahaja dan tidak hanya pada golongan elit. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Tasik yang terletak berhampiran dengan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu semenangnya satu lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Sebelum ini sukan pelayaran sering diadakan di kawasan berhampiran laut di mana mungkin membataskan peluang kepada orang ramai yang ingin mencuba pertama kali. Walaupun cabaran belayar di tasik mungkin berbeza di lautan namunya ianya bertepatan dengan objektif asal program ini untuk memberi pendedahan awal kepada orang ramai.
Program ‘My Try Layar de Tasik’ anjuran Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu adalah satu program pengenalan sukan pelayaran khususnya kepada penduduk sekitar negeri Terengganu yang berlansung pada 21 Disember sehingga 26 Disember 2018. Program ini juga menjadi sebahagian dari plan program pembangunan sukan untuk mencungkil bakat-bakat muda. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Program pengenalan sukan pelayaran yang dinamakan ‘My Try layar de Tasik’ anjuran Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu capai matlamat setelah berlansung selama 6 hari bertempat di tasik rekreasi Kompleks Sukan Gong Badak. Untuk program pengenalan ini tiada sebarang had umur dikenakan seperti mana objektif asal penganjuran adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka yang berminat di luar sana.
Namun sebahagian besar peserta adalah dalam lingkungan usia kanak-kanak sekaligus menjadi platform terbaik buat persatuan ini untuk mencungkil bakat-bakat muda bagi diketengahkan. Program yang dikendalikan seramai 5 jurulatih bertauliah dan berpengalaman besar dalam sukan bertaraf antarabangsa ini sekaligus memberi tambah nilai kepada program pengenalan ini.
Setiap peserta diberi tunjuk ajar dari peringkat asas hingga ke peringkat seterusnya seperti mana latihan yang diterima oleh atlet-atlet pelayar sepenuh masa. Sememangnya setiap ilmu dan pengalaman yang dikutip oleh pelayar cilik ini amat berharga melebihi nilai RM10 sebagai yuran yang dikenakan untuk program ini.
Faktor keselamatan menjadi disiplin utama di dalam sukan pelayaran ini. Pendedahan yang tepat mampu memberi gambaran sebenar tentang sukan air yang bertaraf antarabangsa. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Tanggapan awal soal keselamatan sering menjadi faktor mengapa sukan air ini sukar disertai oleh pelayar muda khususnya di peringkat usia kanak-kanak sekolah. Sekaligus memberi cabaran pada sebarang program pembangunan sukan di peringkat akar umbi yang menyasarkan penyertaan dari usia muda. Namun melalui program ini juga secara tidak lansung memberi gambaran sebenar sukan pelayaran kepada para ibu bapa sekaligus menambah keyakinan mereka. Malah terdapat ibu bapa yang turut bersama mencuba sukan pelayaran ini buat kali pertama. Rata-rata ibu bapa yang ditemui oleh PenyuSukan.com memberi maklumbalas yang positif tentang program ini dan berharap agar dapat diteruskan di masa hadapan.
Melalui program pembangunan sukan yang mendapat bantuan dari pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu, kini sukan ini mampu disertai oleh sesiapa sahaja dan tidak hanya pada golongan elit. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Program ini sememangnya sentiasa menekankan disiplin keselamatan khususnya untuk kanak-kanak. Sebagai ibu kepada peserta program ini, saya bertambah yakin untuk anak saya meneruskan untuk terlibat dalam sebarang program sukan pelayaran ini. Lagipun pihak sekolah sentiasa menggalakkan para ibu bapa untuk menyokong penyertaan anak dalam aktiviti sukan. Oleh yang sedemikian, saya rasa ini sukan yang terbaik untuk anak saya”, ujar Siti Hazura Haji Husain; ibu kepada 3 cahaya mata.
Ketua jurulatih yang mengendalikan program ini; Abdul Rani Idris sewaktu ditemui beliau menzahirkan perasaan teruja terhadap sambutan yang diterima. Sememangnya pemilihan tempat di tasik rekreasi Kompleks Sukan Gong Badak adalah tepat untuk program pengenalan kepada sukan air ini. Tasik ini merupakan tempat tumpuan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga khususnya di hari hujung minggu. Walaupun sebahagian daripada pengunjung sekadar menjadi penonton ianya satu petanda bagus untuk mereka mengenali sukan ini.
Tasik Kompleks Sukan Gong Badak yang terletak di Kuala Nerus mencipta sejarah dalam sukan pelayaran negeri Terengganu apabila pertama kali dianjurkan di sini. Kredit Foto – PenyuSukan.com
“Pertamanya kita ingin memperkenalkan sukan ini kepada orang awam terutama para ibu bapa serta memberi peluang kepada mereka untuk mencuba sendiri sukan pelayaran ini. Ini secara tidak lansung dapat memberi gambaran sebenar bahawa sukan ini tidaklah merbahaya seperti mana tanggapan umum.”, ujar ketua jurulatih yang berusia 50 tahun berasal dari Kulim, Kedah. Untuk rekod, Abdul Rani Idris adalah jurulatih berpengalaman besar selama 30 tahun yang diberi tanggungjawab oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk membimbing atlet-atlet sukan pelayaran negeri ini sejak 2010.
Tasik Kompleks Sukan Gong Badak yang terletak di Kuala Nerus mencipta sejarah dalam sukan pelayaran negeri Terengganu apabila pertama kali dianjurkan di sini. Kredit Foto – https://www.facebook.com/TerengganuWindsurfingSA
Bermula pada 21 Disember sehingga 26 Disember 2018 ini, Persatuan Pelayaran negeri Terengganu (TESA) dan Persatuan Luncur Layar negeri Terengganu (TWSA) sedang giat mempromosikan pengenalan sukan pelayaran kepada orang ramai khususnya penduduk sekitar negeri Terengganu umumnya. Tasik Kompleks Sukan Gong Badak yang terletak di Kuala Nerus mencipta sejarah apabila pertama kali sukan ini diadakan di sini. Sekaligus menjadi tarikan menarik kepada setiap pengunjung yang beriadah mahupun untuk aktiviti bersama keluarga.
Program yang dinamakan ‘My Try layar de Tasik’ adalah hasil rentetan kejayaan program ‘My Try Layar 2018’ iaitu program pencarian bakat bagi persiapan atlet SUKMA yang telah berlansung pada 15 Oktober sehingga 15 November 2018 yang lalu. Selain itu ianya juga adalah serampang dua mata buat persatuan sukan air ini untuk menambah dana dalam persiapan pasukan menempuhi beberapa siri kejohanan di mana meletakkan sasaran utama di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) 2020 di Johor nanti.
Program ‘My Try layar de Tasik’ adalah program pengenalan sukan pelayaran kepada orang ramai menjadi serampang dua mata untuk mengutip dana buat persatuan induk sukan air di negeri Terengganu ini. Kredit Foto – https://www.facebook.com/TerengganuWindsurfingSA
Hala tuju tidak hanya ternoktah di situ malah turut mengintai peluang untuk pertama kali anak jati negeri Terengganu mendapat slot kelayakan Olimpik 2024 nanti. Segalanya sudah pasti mampu untuk direalisasikan sekiranya perancangan awal yang teratur dan mempunyai program pembangunan dari peringkat akar umbi yang mantap dan berterusan.
Bayaran sebanyak RM10 dikenakan untuk tempoh perlayaran 60 minit yang dijalankan dalam dua sesi sudah pasti menjanjikan kepuasan yang terbaik bagi mereka yang ingin mencuba sukan ini. Optimist, Laser’s, International 420 dan Windsurfing adalah diantara jenis kelas bot yang ditawarkan dalam program ini. PenyuSukan melihat nilai bayaran yang dikenakan ini adalah teramat berbaloi dengan segala kemudahan dan keparakan yang diberikan pada masa yang sama untuk membantu persatuan ini.
Selain dari program pengenalan sukan ini, turut bakal berlansung adalah kejohanan liga sukan pelayaran bagi sepanjang tahun 2019 untuk 10 siri penganjuran kejohanan. Penganjuran kejohanan yang diberi nama ‘Liga Layar TSDL’ akan bermula seawal pada 27 sehingga 30 Disember 2018 untuk siri 1 bertempat di tasik Kompleks Sukan Gong Badak ini sebelum ke lain-lain venue kejohanan.
Kejohanan Liga TSDL (Terengganu Sailing Development League) yang menawarkan sistem kutipan mata untuk menentukan tangga kedudukan para atlet dilihat satu platform terbaik yang secara tidak lansung menjadi serampang dua mata bagi program pembangunan sukan di negeri Terengganu. Liga layar ini mempertandingan kategori bagi semua kelas bot di mana terbuka kepada semua atlet Program Pembangunan Sukan Negeri Terengganu termasuk peserta yang telah menyertai program My Try Layar 2018 baru-baru ini.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan sebarang program mahupun kejohanan yang dijalankan tanpa sebarang tiket dikenakan. Sebarang maklumat lanjut sila hubungi – abdulraniidris@gmail.com atau lawati https://www.msiasailing.org . Sebarang perkembangan terkini juga boleh dilihat di laman Facebook Rasmi – Facebook.com/TerengganuWindsurfingSA
Pencarian bakat muda pelayar perempuan menjadi keutamaan untuk kelas bot Optimist memandangkan ketandusan atlet perempuan di negeri Terengganu. Kredit Foto – Sekretariat SUKMA Perak 2018
Terengganu Darul Iman tidak menunggu lama untuk meneruskan sebarang program pembangunan sukan di negeri ini walaupun bahang meraih kejayaan juara keseluruhan di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 edisi ke-19 masih hangat diperkatakan. Terkini Persatuan Pelayaran Negeri Terengganu (TESA) dan Persatuan Luncur Layar Negeri Terengganu (TWSA) telah berganding bahu untuk menjalankan Program Pencarian Bakat Sukan Pelayaran yang menjadi sebahagian dari Program Pembangunan Sukan Negeri Terengganu.
Kelas bot Optimist adalah kelas asas pelayaran bagi pelajar sekolah terutama untuk sekolah rendah. Kredit Foto – Terengganu Sailing Association – www.msiasailing.org
Program pencarian bakat ini yang juga dikenali sebagai ‘Program My-Try Layar 2018’ adalah program persediaan sukan perahu layar untuk bersaing di pentas acara dwi-tahunan SUKMA 2020 di Johor nanti.
Program ini menyasarkan penyertaan peserta seawal usia di bangku sekolah rendah manakala bagi sekolah menengah di usia 15 tahun ke bawah sahaja. Pencarian bakat muda di peringkat umur sedemikian adalah untuk memastikan program pembangunan yang akan berlansung selama 2 tahun hingga ke temasya SUKMA Johor 2020 tercapai. Hal sedemikian adalah kerana had umur yang ditetapkan kepada setiap atlet yang bertanding bagi temasya dwi tahunan ini.
Kelas bot Windsurfing merupakan kelas pembangunan asas pelayaran bagi kelas-kelas windsurf. Kredit Foto – Terengganu Sailing Association – www.msiasailing.org
Setiap peserta yang berminat dikehendaki hadir ke Pusat Latihan Perahu Layar Negeri Terengganu yang terletak di Duyong Marina Resort pada 19 & 25 Oktober 2018. Sesi pendaftaran dilakukan sebanyak dua kali untuk memastikan setiap peserta mendapat perhatian khusus dari para jurulatih di samping mengenal pasti peserta yang layak untuk digilap sebagai atlet profesional. Konsep ‘buddy & mentoring’ diterapkan sepanjang program ini untuk memastikan program ini mencapai matlamat dan bukan sekadar melengkapkan kalendar pembangunan sukan di negeri ini. Taklimat berkenaan program ini juga turut diberikan kepada para ibu bapa dan penjaga di hari pendaftaran agar mereka mendapat maklumat yang jelas.
Program ini menyasarkan pencarian bakat atlet bagi disiplin Optimist dan juga disiplin ‘Windsurfing Bic Techno’ selain beberapa disiplin lain untuk sukan air ini yang juga turut diberi perhatian. ‘Program My-Try Layar’ dijadualkan bermula dari 15 sehingga 31 Oktober bertempat di pusat Latihan Perahu layar negeri Terengganu, Duyong Marina Resort. Setelah tamat program pengenalan ini, para peserta terpilih untuk layak ke program seterusnya yang dikenali sebagai ‘Program My-Try Layar More’ yang akan bermula pada 1 hingga 5 November 2018.
Program My-Try Layar 2018 Tarikh Program: 15hb hingga 31hb Oktober Taklimat Penjaga/Waris & Peserta: 19hb Oktober dan 26hb Oktober Venue: Pusat Latihan Perahu layar Negeri Terengganu, Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
*Waktu pendaftaran bermula dari jam 0830 hingga jam 1000am pada 19 dan 26 Oktober 2018 (2x sesi pengambilan peserta)
3 penerjun atlet muda kontijen Terengganu Hanelang bagi tiga disiplin acara temasya Sukan Malaysia Perak 2018(SUKMA Perak 2018) mengutip pengalaman penuh bermakna setelah menamatkan acara tersebut hari ini. Acara yang telah berlangsung selama sehari pada 18 September 2018 menyaksikan hanya pusingan akhir dipertaruhkan di Pusat Akuatik Tunku Zara, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh.
Senarai mula acara 1 meter papan anjal seiringan lelaki. Kontijen Terengganu Hanelang mempertaruhkan peserta tunggal; Nur Aiman Daniel Azman untuk temasya Sukan Malaysia Perak 2018 (SUKMA Perak 2018) ini. Kredit Foto – http://result.perak.gov.my
Nur Aiman Daniel Azman merupakan peserta tunggal dari kontijen Terengganu Hanelang yang beraksi bagi disiplin acara 1 meter papan anjal lelaki berjaya mencuri perhatian untuk berada di kedudukan ke-9 dengan kutipan 127.4000 mata menafikan dua penerjun dari Pahang yang sekadar mampu mengutip 111.7500 mata. Terengganu hanya mempertaruhkan seorang penerjun bagi acara 1 meter papan anjal ini manakala lain-lain negeri mempertaruhkan dua penerjun.
Senarai mula acara akhir 3 meter papan anjal seiringan. Kontijen Terengganu Hanelang mempertaruhkan dua penerjun muda untuk temasya Sukan Malaysia Perak 2018 (SUKMA Perak 2018) ini. Kredit Foto – http://result.perak.gov.my
Penerjun Nazzarudy Akhshah Othman dan Nur Afiq Danial Sutoyo merupakan penerjun yang beraksi dalam dua disiplin acara iaitu platform seiringan lelaki dan 3 meter papan anjal seiringan lelaki. Walaupun menamatkan di kedudukan ke-4 bagi acara 3 meter papan anjal seiringan dengan kutipan 216.5700 mata di belakang pasukan tuan rumah dengan 259.4700 mata, ianya sudah pasti menjadi satu pengalaman terbaik buat penerjun muda bagi edisi penganjuran seterusnya. Selangor yang dibarisi penerjun adik beradik Muhammad Haris Mohd Rezal dan Muhammad Syahmi Mohd Rezal merupakan pasukan pilihan yang berjaya merangkul pingat emas dengan kutipan mata 313.6800. Sarawak berbekalkan 301.2300 mata berjaya membawa pulang pingat perak.
Senarai mula acara akhir platform seiringan lelaki. Kontijen Terengganu Hanelang mempertaruhkan dua penerjun muda untuk temasya Sukan Malaysia Perak 2018 (SUKMA Perak 2018) ini. Kredit Foto – http://result.perak.gov.my
Manakala bagi acara platform seiringan lelaki, kedua-dua penerjun ini meraih kutipan 216.5700 mata untuk berada di tempat ke-4 di belakang penerjun-penerjun tuan rumah dengan kutipan mata 259.4700. Selangor berjaya meraih pingat emas manakala diikuti oleh Sarawak untuk membawa pulang pingat perak.
Untuk rekod, pada temasya SUKMA Perak 2018 bagi acara sukan terjun ini kontijen Terengganu Hanelang hanya menghantar penyertaan bagi acara kategori lelaki sahaja iaitu acara 1 meter papan anjal lelaki, platform seiringan lelaki dan 3 meter papan anjal seiringan lelaki.
Sukan akuatik terjun merupakan kategori sukan wajib dipertandingkan di Sukan Malaysia Perak 2018 (SUKMA Perak 2018). Sebanyak 10 disiplin acara yang dipertandingkan iaitu platform lelaki, platform seiringan lelaki, 1 meter papan anjal lelaki, 3 meter papan anjal lelaki, platform wanita, platform seiringan wanita, 1 meter papan anjal wanita dan 3 meter papan anjal wanita. Pusat Akuatik Tunku Zara, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh menjadi venue pertandingan bagi temasya SUKMA Perak 2018 ini.