Ragbi Piala Agong: Terengganu Optimis Buru Kejuaraan Sulung

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Gandingan mantap antara pemain-pemain berpengalaman anak jati negeri Terengganu bersama beberapa pemain kebangsaan di pentas Asia dan juga pemain import Fiji berpengalaman besar di pentas dunia menjadi taruhan kali ini buat Persatuan Ragbi Negeri Terengganu untuk melakar kejayaan sulung dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 edisi ke-37 nanti.

Menambah menarik pada saingan musim ini, seramai 6 bekas pemain yang pernah mewakili negeri Terengganu di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 turut diberi peluang untuk beraksi di pentas tertinggi ini. Sekaligus menjadi penanda aras program pembangunan ragbi yang dijalankan di negeri ini. Perlaburan dan percaturan pasukan penuh berhemah kali ini adalah untuk memecah dominasi selaku pasukan yang sering berada di tangga ke-4 teratas kejohanan sejak sekian lama.

Bekas pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembusu; Muhammad Haikal bin Ibrahim membuat penampilan pertama bersama Terengganu di pentas Kejohanan Ragbi Piala Agong pada 2016. Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Ribuan terima kasih kepada pengurusan ragbi negeri Terengganu kerana masih memberi kepercayaan dan peluang untuk berbakti kepada negeri saya sendiri. Sehingga kini saya masih setia bersama negeri Terengganu dan ini adalah penampilan untuk tahun ke empat saya di pentas Piala Agong.”; Pemain senior yang juga anak kelahiran Kampung Batin,Seberang Takir Kuala Terengganu; Muhammad Haikal bin Ibrahim





Anak kelahiran Kampung Bating,Seberang Takir Kuala Terengganu; Muhammad Haikal bin Ibrahim merupakan antara pemain paling senior yang masih setia menabur bakti kepada pasukan. Mula bermain sewaktu berusia 16 tahun di Kolej Vokasional Wakaf Tembusu pada tahun 2014 sekadar mengikut rakan-rakan dan riadah masa lapang,kini beliau antara ikon contoh bagi pemain-pemain ragbi di negeri ini. Penampilan antarabangsa pertama beliau adalah di pentas Asia sewaktu kejohanan ARFU U20 di Hong Kong pada 2017.

Aksi pemain naturalisasi skuad ragbi kebangsaan kelahiran Fiji; Timochi Vonimoku sewaktu menentang Perak dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 edisi ke-36 yang telah berlangsung di Stadium Mini Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong badak kini membuat penampilan untuk tahun ke-3 bersama Terengganu bagi musim 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Selain itu pemain kelahiran Fiji yang juga merupakan pemain naturalisasi skuad Bunga Raya; Timoci Vunimoku membuat penampilan untuk tahun ke-3 bersama pasukan. Beliau yang berusia 34 tahun beraksi cemerlang bersama pasukan kebangsaan di pentas Kejohanan Ragbi Asia sejak 2017 akan digandingkan bersama dengan bekas pemain kebangsaan Fiji baharu iaitu Glen Cakautini. Glen Cakautini merupakan antara nama besar dalam pasukan kebangsaan Fiji yang pernah beraksi dalam beberapa siri kejohanan dunia. Manakala import Fiji berpengalaman Iowane Teba dan Josaia Tokarua juga merupakan antara muka baharu yang diketengahkan pada musim ini.

Jurulatih Izaimi Zainuddin(kanan) bersama Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain sewaktu mengalas tanggungjawab selaku pembantu jurulatih pasukan ragbi negeri Terengganu pada Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 edisi ke-36 yang lalu. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Pada saingan musim ini, skuad Piala Agong adalah di bawah bimbingan ketua jurulatih Izaimi Zainuddin yang turut dibantu oleh Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain dan Syahir Asyraf Rosli. Pada musim lalu,Izaimi Zainuddin dan Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain menggalas tanggungjawab selaku pembantu jurulatih bagi skuad ini manakala Syahir Asyraf Rosli merupakan pembantu jurulatih bagi pasukan Kelantan.

Untuk rekod, Izaimi Zainuddin yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Bai’ ini juga merupakan ketua jurulatih yang telah membimbing pasukan ragbi negeri Terengganu ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA) sejak 2017. Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain juga turut pertama kali membimbing pasukan ragbi wanita negeri ini ke pentas SUKMA 2020 nanti.

“Cabaran terbesar adalah di peringkat kalah mati pusingan suku akhir. Kita tidak boleh memandang rendah setiap pasukan kali ini khususnya Sabah yang selesa menanti di pusingan suku akhir dengan kudrat import yang sentiasa memberi kejutan. Kelebihan buat pasukan Terengganu pada musim ini adalah mempunyai barisan pemain yang lebih berkualiti dan berdisplin berbanding musim lalu. Memberi kelebihan sekiranya perlu melakukan pertukaran taktikal.”; Ketua Jurulatih Izaimi Zainuddin.

Sehingga kini Terengganu masih mengekalkan prestasi untuk berada dalam kelompok Premier buat tahun kedua berturut-turut bersama Kelantan, Kedah dan Johor. Kelantan merupakan pasukan pendatang baharu dalam kelompok Premier setelah muncul naib juara pada edisi lalu. Kelantan yang sebelum ini beraksi di dalam kelompok Divisyen 1 mara ke pentas akhir namun berjaya dinafikan oleh Sabah selaku juara edisi ke-36.

Penolong Setiausaha PRNT; Encik Mohd Izwan Ismail(kiri), Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Encik Che Mohd Zulkarnain(tengah) bersama Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia 2019-2022 merangkap Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu; Amir Amri Muhammad. Kredit Foto – PenyuSukan.com

“Hari ini pasukan berada di landasan terbaik untuk membawa cabaran mewakili negeri Terengganu yang mana Persatuan Ragbi Negeri Terengganu kini di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Terengganu yang memberi begitu banyak dorongan dan semangat kepada pasukan. Persediaan untuk tahun ini adalah lebih awal berbanding tahun lalu kerana kita terpaksa bermain di pusingan awal semata-mata untuk mendapat tangga kedudukan sahaja. Secara teknikal, semua pasukan yang bertanding dalam kumpulan Premier telah layak ke pusingan suku akhir di mana tangga kedudukan hanya untuk menentukan lawan yang bakal bertemu di pusingan tersebut.”; Pengurus Pasukan Skuad Piala Agong 2019 Che Mohd Zulkarnain.

Mini Stadium Majlis Daerah Kota Tinggi menjadi gelanggang pembuka tirai Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 edisi ke-37 bagi perlawanan pertama peringkat kumpulan Premier di antara Johor menentang Terengganu pada 5 Oktober 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Tirai perlawanan pertama bagi aksi peringkat kumpulan akan dibuka pada 5 Oktober 2019 nanti di mana Terengganu akan bertandang ke Stadium Mini Kota Jaya, Kota Tinggi untuk bertemu Johor selaku penyandang tempat ke-4 pada musim lalu.

Pada minggu seterusnya, Terengganu sekali lagi selaku pasukan pelawat untuk berentap bersama Kedah pada 12 Oktober 2019. Bagi perlawanan ketiga peringkat kumpulan, Terengganu selaku tuan rumah akan menyantuni Kelantan di Stadium Mini Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong badak.

Tamat perlawanan peringkat kumpulan, selama hampir 4 minggu perlawanan akan terhenti bagi setiap pasukan yang beraksi dalam kumpulan Premier dan Divisyen 1 seperti mana di dalam kalendar penganjuran.

Perlawanan pusingan kedua kejohanan bagi aksi suku akhir Cup dijadualkan akan berlangsung pada 16 November 2019 dan seterusnya saingan separuh akhir pada 20 November 2019. Perlawanan akhir menentukan kejuaraan musim ini dijadualkan pada 23 November 2019 bertempat di Stadium Universiti Putra Malaysia.


JADUAL KEJOHANAN PIALA AGONG 2019 EDISI KE-37
(PERINGKAT KUMPULAN PREMIER)

*Melibatkan pasukan Terengganu sahaja

MINGGU PERTAMA – 5 OKTOBER 2019
JOHOR vs TERENGGANU
Mini Stadium Majlis Daerah Kota Tinggi

MINGGU KEDUA – 12 OKTOBER 2019
KEDAH vs TERENGGANU
Stadium Suka Menanti, Alor Star

MINGGU KE-3 – 12 OKTOBER 2019
TERENGGANU vs KELANTAN
Stadium Ragbi Terengganu, Kuala Nerus

SUKU AKHIR
16 NOVEMBER 2019

SEPARUH AKHIR
20 NOVEMBER 2019

AKHIR
23 NOVEMBER 2019


Muat turun Jadual Kejohanan Ragbi Piala Agong 2019 Edisi Ke-37

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

february, 2024

21feballdayLiga Federasi Lawn Bowls Malaysia (MLBF) Zon Pantai Timur

25feballdayKejohanan Lawn Bowls Bawah 12 Tahun & Bawah 18 Tahun Kebangsaan

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

X