Ragbi Piala Agong Ke-36: Terengganu Tuan Rumah Membuka Tirai

PenyuSukandotcom - Persatuan Ragbi Negeri Terengganu - Kejohanan Piala Agong 2018 - Perlawanan Pertama

Finalis edisi lalu, Terengganu bakal membuka gelanggang selaku tuan rumah dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Piala Agong edisi penganjuran ke-36 pada 6 Oktober 2018 nanti. Mini Stadium Kompleks Sukan Negeri Terengganu sekali lagi kembali menjadi pentas untuk pasukan ragbi 15 sebelah negeri ini untuk berentap bersama Perak pada perlawanan pembukaan. Padang ini juga merupakan venue perlawanan akhir pada edisi lalu di mana pasukan negeri Terengganu mara ke pusingan akhir bertemu Johor.





Saingan kejohanan kali ini bakal memperlihatkan percaturan lebih mencabar berbanding edisi terdahulu memandangkan beberapa negeri lain turut giat mempersiapkan pasukan dengan lebih mantap berbanding dahulu. Terengganu selaku finalis edisi lalu telah diundi bersama pasukan negeri Johor, Kedah dan Perak untuk berada dalam kumpulan Premier yang menjadi kumpulan maut dalam saingan melibatkan tiga kumpulan.

Rekod pencapaian kian cemerlang sejak layak beraksi di pentas Piala Agong pada 2013 meletakkan pasukan ini sebagai salah satu pasukan dari pantai timur yang digeruni oleh lawan. Terkini rentetan kejayaan negeri Terengganu menjadi finalis di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 baru-baru ini sedikit sebanyak mampu dijadikan ukuran penguasaan ragbi di peringkat kebangsaan.

Mohd Mazuri Sallehudin kini menggalas tugas sebagai ketua jurulatih negeri Terengganu dalam membawa misi ke pentas Kejohanan Piala Agong 2018 Ke-36. Kredit Foto - Sukandaily.com.my
Mohd Mazuri Sallehudin kini menggalas tugas sebagai ketua jurulatih negeri Terengganu dalam membawa misi ke pentas Kejohanan Piala Agong 2018 Ke-36. Kredit Foto – Sukandaily.com.my

Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) turut telah membuat kejutan apabila melantik bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih berpengalaman Mohd Mazuri Sallehudin untuk mengemudi pasukan negeri ini. Lantikan ini mendapat perhatian positif di kalangan para peminat dan pasukan lawan sehingga menjadi perbualan. Beliau kini turut menjawat jawatan sebagai pengurus besar kelab ragbi KL Saracens di mana sebelum ini telah menjawat sebagai pengurus besar Kesatuan Ragbi Malaysia. KL Saracens adalah sebahagian dari Saracens F.C. iaitu kelab ragbi profesional dari London. Mohd Mazuri Sallehudin yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Kobau’ di persada sukan ragbi ini dilihat menjadi satu kelebihan buat pasukan di mana mempunyai reputasi yang baik di kalangan para pemain.

Beberapa pemain tempatan yang beraksi pada edisi lalu telah dikenal pasti masih setia untuk berentap bersama pasukan ragbi negeri Terengganu di antaranya Aliff Sazri, Azam Fikrullah, Azizul Hakim dan Lawrence Petrus. Selain pemain tempatan, dua pemain import Fiji penuh berpengalaman iaitu Timoci Vunimoku dan Sevanaia Natuitagalua juga turut masih terus setia untuk membadai kempen Piala Agong musim ini. Untuk rekod, Timoci Vunimoku turut pernah menyarung jersi kebangsaan dalam aksi kejuaraan Ragbi Asia Divisyen 1 2017 dan seterusnya mara ke Divisyen Premier pada 2018. Sevanaia Natuitagalua pula kembali menyarung jersi negeri untuk tahun ke-3 di pentas Piala Agong ini sejak 2016.

Muat turun jadual penuh Kejohanan Piala Agong 2018 Ke-36http://penyusukan.com/download/Ragbi/PenyuSukandotocom-JadualKejohananRagbiPialaAgong2018Ke-36-Kemaskini-25Sept2018.pdf

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X