LHM 2021: THT Terima Tajaan Bernilai RM200K

Perbelanjaan pasukan tidak hanya melibatkan bayaran gaji mahupun elaun kepada setiap pemain malah turut melibatkan perbelanjaan logistik, perubatan, kebajikan dan lain-lain kos di luar jangka buat sesuatu pasukan sukan.

Musim yang tidak seperti musim-musim lalu buat gergasi hoki pantai timur, Terengganu Hockey Team(THT) apabila hanya sekadar memperolehi tajaan bernilai RM 200 ribu keseluruhan dalam misi mempersiapkan pasukan ke pentas Liga Hoki Malaysia 2021(LHM 2021) yang akan bermula pada Mac nanti.

Antara penaja-penaja musim ini adalah Kerajaan Negeri Terengganu melalui Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad(EPIC) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri, Espira Sri Petaling(dahulu dikenali sebagai Hotel Sri Petaling), Arca Imej Optometris Sdn. Bhd., GLE Centre Enterprise(produk kopi pracampuran Super Jantan), TATI University College (TATIUC), FR, Adik Print dan Norlan United. EPIC dan Norlan United merupakan penaja yang memberikan penajaan wang tunai kepada buat skuad hoki Terengganu pada musim ini.





 

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu Mohd Fikri Harun.

“Tajaan melibatkan dari segi kewangan dan barangan di mana dari pihak Espira Sri Petaling melibatkan tajaan jumlah potongan bayaran penginapan hotel dan pihak TATIUC pula menaja kos yang diperlukan bagi bayaran penginapan tersebut. GLE Centre Enterprise memberi tajaan dengan membekalkan keperluan minuman termasuk kopi pracampuran super jantanSuperJantan sebanyak 800 kotak bagi sepanjang musim ini. Begitu juga dari Arca Imej Optometris Sdn. Bhd membekalkan cermin mata hitam buat ke semua pemain dan pegawai pasukan. Norlan United dan EPIC menyumbang tajaan wang tunai manakala penaja-penaja lain melibatkan beberapa produk buat pasukan.” ujar Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu Mohd Fikri Harun. Jumlah tajaan wang tunai bagi musim ini tidak didedahkan kepada media sewaktu ditanya.

Penyusutan nilai tajaan sebanyak 93% berbanding jumlah tajaan musim lalu bernilai RM 3 juta sememangnya bakal memberi impak drastik bagi percaturan pasukan. Walaupun pada musim ini perbelanjaan pasukan hoki negeri ini tidak menggunakan kudrat import, namun dengan kekangan penajaan wang tunai yang terhad mampu untuk merencatkan persiapan pasukan. Menurut sumber tidak rasmi kepada PenyuSukan, difahamkan bahawa jumlah tajaan pada musim ini adalah yang terendah sejak penampilan THT di pentas Liga Hoki Malaysia. Sebelum ini terdapat beberapa pemain-pemain senior tempatan di dalam pasukan ini menerima bayaran sehingga mencecah RM 10 ribu sebulan. THT juga turut pernah mengajikan kudrat import dari Argentina yang merupakan pakar pukulan sudut penalti hoki terbaik dunia, Gonzalo Peillat dengan bayaran melebihi USD 20 ribu dalam kempen Liga Hoki Malaysia sebelum ini.

Perbelanjaan pasukan tidak hanya melibatkan bayaran gaji mahupun elaun kepada setiap pemain malah turut melibatkan perbelanjaan logistik, perubatan, kebajikan dan lain-lain kos di luar jangka buat sesuatu pasukan sukan. Menambah duka sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, THT turut memperuntukkan perbelanjaan bernilai RM 20 ribu ringgit untuk menanggung segala kos ujian saringan COVID-19 sepanjang kempen LHM 2021 berlangsung.

Pasukan hoki wanita Terengganu turut menerima tempias kekangan penajaan musim ini di mana buat pertama kali menarik diri di pentas LHM 2021 sejak penubuhan pada 2017. Keputusan terpaksa menggugurkan penyertaan pasukan wanita ini telah diumumkan oleh YB Wan Sukairi Wan Abdullah selaku Exco Sukan Negeri Terengganu dalam satu majlis ringkas mengumumkan penaja kepada pihak media hari ini.

Dari kiri – Penaung Persatuan Hoki Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kemasik – YB IR Saiful Azmi Suhaili, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO Negeri – YB Ustaz Wan Sukairi Abdullah dan pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu Mohd Fikri Harun sewaktu hadir ke Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Penaja dan Pemain Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) bagi musim 2021 yang telah berlangsung di pejabat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Kuala Terengganu pada 9 Mac 2021.

“Antara kesan pengurangan komitmen daripada kerajaan kepada THT pada tahun ini, kita tidak dapat menghantar TLHT(pasukan hoki wanita) di mana kita hanya memberi fokus pada pasukan lelaki sahaja. Situasi ini berkaitan dengan keadaan kewangan semasa. Itu antara apa yang kita lakukan penyesuaian dengan jumlah tajaan yang ada.

Kerajaan negeri masih lagi meneruskan pelaburan kita walaupun ada sedikit pengurangan berbanding pada tahun-tahun lepas. Sesuai dengan pandemik yang kita hadapi dan sesuai dengan kemelesetan ekonomi yang melanda dunia Sebenarnya. Walaupun sedemikian kita masih memberi keutamaan untuk pelaburan sukan hoki khususnya Persatuan Hoki Terengganu.

Walaupun jumlah sudut tajaan daripada kerajaan berkurangan berbanding dari tahun lepas dan dalam masa yang sama tugasan oleh persatuan adalah lebih. Komitmen dari kerajaan kekal cuma tajaan berkurangan tetapi apa yang kita hendak itu berlebih. Apa yang lebih adalah kita mahu pihak persatuan perlu segera menubuhkan akademi pembangunan sukan hoki di negeri Terengganu ini.” ujar YB Wan Sukairi Wan Abdullah kepada media.

Untuk rekod sebagaimana menurut laporan media, jumlah nilai tajaan pada musim lalu adalah bernilai RM 3 juta yang disumbangkan melalui tiga anak syarikat kerajaan negeri dan empat penaja swasta. Manakala sewaktu penampilan pertama THT di pentas Liga Hoki Malaysia pada 2013 memperolehi tajaan sebanyak RM 1.8 juta di mana pihak kerajaan negeri menaja sebanyak RM 1.2 juta manakala baki sebanyak RM 600 ribu ringgit oleh Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X