Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu

Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu merupakan di antara empat garis panduan yang telah diperkenalkan sejajar dengan dasar Maju Berkat Sejahtera yang menjadi misi kerajaan negeri.

Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu telah diperkenalkan bagi memastikan setiap aktiviti penganjuran mematuhi ketetapan syariat Islam sejajar dengan dasar Maju Berkat Sejahtera yang menjadi misi kerajaan negeri.

Antara garis panduan tersebut adalah garis panduan hiburan, persembahan kebudayaan, pelancongan dan sukan. Garis panduan ini telah diterbitkan pada laman web http://suk.terengganu.gov.my pada 24 Ogos 2020.





GARIS PANDUAN SUKAN NEGERI TERENGGANU

PENDAHULUAN
Islam mementingkan penjagaan kesihatan jasmani kerana ia merupakan elemen penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan sejahtera. Hal ini selaras dengan prinsip pensyariatan yang menggariskan lima perkara untuk dipelihara iaitu agama, jiwa, maruah, harta dan keturunan.

Kelima-lima perkara inilah yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan hidup manusia. Tubuh badan yang sihat dan kuat akan memudahkan seseorang itu menyempurnakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT, serta akhirnya dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Berhubung kepentingan menjaga kesihatan dan kekuatan fizikal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata:
“Wahai ayah, ambillah dia jadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (al-Qasas, 28:26)

Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.” (alAnfal, 8:60)

Melalui satu hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Ajarlah anak-anak kamu memanah, menunggang kuda dan berenang.”

Berhubung hal ini, sukan merupakan cara yang efektif untuk mencapai kecergasan tubuh badan. Pada hari ini, sukan telah memainkan peranan yang lebih luas. Menerusi sukan, semangat muhibah, perpaduan dan keharmonian antara individu dapat dijalinkan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan negara.

Di peringkat antarabangsa, sukan menjadi salah satu medan yang digunakan untuk mengangkat martabat sesebuah negara. Ini kerana kejayaan dalam pertandingan sukan berprestij turut dikaitkan dengan lambang
kemajuan sesebuah negara selain dikagumi dan menjadi contoh kepada negara
dunia yang lain.

KATEGORI SUKAN
Acara pertandingan sukan secara umumnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama. Pertama, sukan kombat atau tempur seperti pencak silat, karate, judo, taekwondo, wushu dan tinju. Kedua, sukan berpasukan seperti bola sepak, bola jaring, bola baling, bola tampar, bola keranjang, polo air dan hoki. Ketiga, sukan multimedal seperti sukan akuatik, badminton, olahraga, gimnastik dan angkat berat. (Sumber: MSN Terengganu)

Dari sudut lokasi pertandingan pula, acara sukan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama meliputi sukan outdoor (bola sepak, hoki, ragbi, olahraga, tenis, memanah, menembak, kriket, besbol, polo), sukan indoor (badminton, ping pong, bowling, skuasy, gimnastik, futsal, pertandingan seni mempertahankan diri seperti silat, wushu dan taekwondo, bola keranjang, bola jaring) dan sukan akuatik (renang, terjun dan polo air).

Selain itu, beberapa jenis sukan rakyat juga didapati turut dikenali di Terengganu. Antaranya adalah permainan tradisional seperti gasing, wau, galah panjang, sepak bulu ayam dan seumpamanya. Kategori-kategori sukan yang disebutkan ini mempunyai kod etika pakaiannya yang berbeza dan dipertandingkan pula sama ada secara terbuka di tengah padang ataupun tertutup di dalam dewan. Begitu juga sesetengah daripada sukan tersebut menimbulkan polimik dalam kalangan masyarakat Islam sama ada sesuai untuk diceburi oleh atlet wanita beragama Islam ataupun tidak.

Di samping itu, pertandingan sukan pada masa kini dikatakan masih lagi terpalit dengan isu ketidakpatuhan syariah seperti terdapat unsur-unsur perjudian, pertaruhan, eksploitasi, pembaziran, pemakaian atlet tidak patuh syariah, percampuran antara lelaki dan perempuan serta pelbagai isu lain.

Justeru, Garis Panduan Sukan Negeri Terengganu ini diwujudkan sebagai usaha untuk memastikan industri sukan di negeri ini bukan sahaja terus berkembang maju, bahkan juga menepati kehendak syariat Islam agar nilai keberkatan dapat diraih demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat.

GARIS PANDUAN
Berikut adalah garis panduan yang dibina berpandukan tiga pihak utama yang terlibat secara langsung dalam bidang sukan di Terengganu.

1. Atlet – peserta atau pemain yang bergiat dalam apa jua bidang sukan, ahli sukan.
(1) Atlet yang beragama Islam hendaklah berpakaian yang ditetapkan oleh syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi.
(2) Atlet bukan beragama Islam disyorkan berpakaian sopan dengan maksud tidak terlalu ketat, singkat atau jarang.
(3) Atlet dilarang untuk terlibat dalam apa sahaja aktiviti yang berunsurkan perjudian, pengambilan alkohol dan bahan-bahan terlarang serta rasuah.

2. Jurulatih
(1) Jurulatih dan ahli sukan adalah terdiri daripada jantina yang sama.
(2) Sekiranya berbeza jantina, batas-batas pergaulan antara jurulatih dan atlet adalah selaras dengan tuntutan syarak seperti menjaga maruah diri, akhlak, adab dan tatasusila.
(3) Pakaian jurulatih adalah mengikut seperti garis panduan bagi atlet (GP1. Atlet).
(4) Bagi acara senamrobik, jurulatih perempuan tidak boleh menunjukkan aksi secara berhadapan dengan peserta lelaki. Jurulatih perempuan dibenarkan bagi peserta-peserta perempuan dan dilakukan di tempat eksklusif.

3. Penganjur
(1) Aktiviti sukan yang dianjurkan tidak menghalang pelaksanaan ibadah wajib seperti solat dan puasa.
(2) Penganjur hendaklah menyelia atau mengawal perilaku atlet dan penonton daripada melakukan perbuatan-perbuatan haram atau
maksiat seperti berpelukan atau bercumbuan antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram atau menggunakan arak sebagai lambang kemenangan.
(3) Tempat bersukan hendaklah disediakan secara berasingan antara lelaki dan wanita, atau penggunaannya diatur secara bergiliran
mengikut jadual, kecuali acara-acara berpasukan yang terkawal dan tidak menimbulkan fitnah seperti dalam Garis Panduan 4.
(4) Penganjur hendaklah menyelia dan mengawal sepanjang aktiviti pertandingan daripada berlaku perkara-perkara yang bertentangan
dengan syarak seperti penyediaan arak dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
(5) Penganjur hendaklah mengawal keselamatan para peserta dan penonton daripada kejadian yang tidak diingini seperti rusuhan, tindakan ganas dan provokasi.
(6) Penganjur disyorkan untuk menyediakan tempat berasingan bagi penonton lelaki dan wanita serta ruangan bagi penonton yang datang secara berkeluarga.
(7) Penganjur hendaklah menyediakan kemudahan asas seperti tandas dan tempat solat.
(8) Penganjur hendaklah memastikan kebersihan tempat pertandingan sepanjang acara berlangsung.

4. Garis Panduan Umum
(1) Acara campuran antara lelaki dan perempuan yang beragama Islam bagi mana-mana jenis sukan hendaklah tidak menimbulkan fitnah.
(2) Acara senamrobik atau seumpamanya yang melibatkan lelaki dan wanita hendaklah dipastikan dilakukan dalam keadaan tidak menimbulkan sebarang fitnah sama ada dari sudut pemakaian, pergerakan atau pergaulan.
(3) Aktiviti sukan yang dianjurkan hendaklah tidak melibatkan pertaruhan atau perjudian dan penggunaan bahan-bahan terlarang seperti dadah, steroid dan seumpamanya.
(4) Aktiviti sukan yang dijalankan hendaklah tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis, permusuhan dan pergaduhan.
(5) Garis panduan ini terpakai untuk semua aktiviti sukan kecuali sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

RUJUKAN
Garis Panduan Bersukan Menurut Perspektif Islam, oleh JAKIM.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

march, 2024

29feballdayKejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2024

01maralldayMONSUN OMBAK CHALLENGE 2024

X