Setelah selama 60 hari bermula pada 18 Mac yang lalu terpaksa menutup operasi sepenuhnya, Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) dalam satu hebahan di laman Facebook rasmi mereka telah mengumumkan bahawa kini kembali beroperasi. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) yang masih dalam perlaksanaan ini, MSNT akan beroperasi bermula dari jam 0800 pagi sehingga 0400 petang dengan Prosedur Operasi Standard(SOP) yang telah ditetapkan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang menjadi isu global masa kini.
Bagi berkaitan dengan sebarang program latihan, PenyuSukan.com difahamkan bahawa MSNT masih menunggu sebarang maklum balas terkini dari pihak Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara(MSN) khususnya berkaitan Prosedur Operasi Standard(SOP) pengurusan program latihan atlet di negeri ini. Sehingga kini di pihak MSNT masih belum mengeluarkan sebarang arahan kepada atlet-atlet mahupun persatuan-persatuan sukan untuk kembali menyambung program latihan seperti mana dijadualkan.
Untuk rekod, pada 18 Mac lalu perlaksanaan penutupan melibatkan penangguhan ke semua program latihan atlet mahupun persiapan pasukan di seluruh negeri Terengganu khususnya bagi penggunaan fasiliti di bawah seliaan MSNT. Orang awam yang mempunyai sebarang urusan juga tidak terkecuali dengan arahan ini yang dikeluarkan ini. Baca sepenuhnya di sini – http://penyusukan.com/v1/covid-19-majlis-sukan-negeri-terengganu-tutup-sepenuhnya
Selain pengurusan MSNT, Kompleks Sukan Negeri Terengganu(KSNT) juga turut sama kini menyambung operasi mereka yang turut terkesan sebelum ini.
Sebarang urusan berkaitan dengan kedua-dua agensi atau maklumat lanjut sila hubungi di talian 09 667 2577 atau 09 667 2578