Pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Marin Pilj, tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri sejak menyertai pasukan itu musim ini.
Kehadiran rakan senegara, Ivan Mamut dan pengendali, Tomislav Steinbruckner, ujarnya banyak membantu untuk mengenali lebih dekat budaya di bumi Darul Iman.
Menurut Pilj, dia juga terkejut melihat kualiti pemain tempatan dalam pasukan TFC yang jauh lebih baik berbanding sangkaan sekaligus menambah keyakinannya.
“Ketika menerima tawaran TFC, saya tiada pengetahuan langsung tentang bola sepak di Malaysia dan saya membuat kajian selain bertanyakan kepada Mamut dan jurulatih.
“Mereka mengatakan perkara yang positif mengenai Liga Malaysia (Liga M) dan itu yang mendorong saya datang serta menolak tawaran beberapa kelab di Croatia.
“Saya sering keluar ke bandaraya ini bersama Mamut dan peminat melayan kami dengan sangat baik, jadi saya tidak sabar untuk beraksi,” ujarnya sewaktu ditemui.
Menyifatkan dirinya pemain serba boleh di bahagian tengah, Pilj juga mengakui reputasi Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai gergasi Liga M menjadi satu-satunya maklumat pada peringkat awal.
“Saya menyaksikan video final tahun lalu ketika TFC tewas dan memang JDT pasukan yang handal, tetapi melihat kualiti pasukan musim ini, kami boleh memberi cabaran.
“Sasaran saya untuk membantu TFC sekurang-kurangnya membaiki pencapaian musim lalu dan memburu satu trofi untuk dibawa pulang,” tambahnya.