YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang baru dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu telah melakukan kunjungan rasmi bertemu warga kerja Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT). Kunjungan beliau bersama timbalan pengerusi YB Ustaz Hishamuddin telah disambut mesra oleh Encik Ibni Amin Busu selaku Pengarah MSNT dan warga kerja di bulan Ramadhan ini.
Kunjungan ini sudah pasti menjadi satu titik tolak penting buat pihak MSNT untuk merencanakan segala bentuk program yang telah dirancang kepada barisan kepimpinan negeri baharu agar kesinambungan program pembangunan sukan terus berjalan lancar. Untuk tahun ini juga, negeri ini melalui MSNT mempunyai misi besar yang perlu dilaksanakan iaitu ‘Win Back Mission’ di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak nanti.
‘Win Back Mission’ adalah satu misi keramat buat setiap persatuan sukan di negeri Terengganu untuk merangkul kembali kegemilangan mengungguli temasya SUKMA seperti mana pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Selain itu juga pihak MSNT turut menerangkan Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu untuk memastikan segala perancangan yang telah diaturkan akan terus mendapat sokongan dari pihak berwajib.