Klik untuk lihat video – https://youtu.be/iTI9N8Su2F0
Skuad pelayaran negeri Terengganu dilihat berada di landasan yang tepat untuk meletakkan sasaran realistik bagi merebut tiket mewakili negara ke pentas Olimpik. Prestij penganjuran Olimpik yang tidak mempertaruhkan penyertaan had peringkat umur menjadi kelebihan buat atlet negeri ini yang rata-rata dibarisi oleh atlet berusia bawah 21 tahun. Malah layak untuk bertanding di pentas Olimpik sudah pasti menjadi keazaman bagi setiap atlet bertaraf profesional di seluruh dunia.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pelayar negeri Terengganu dari pelbagai acara mengikut kategori bot yang akan tersenarai untuk menyertai kem kebangsaan. Kita menghantar pelayar-pelayar senior kita seperti sedia maklum Alif Safares Azmi, pasangan adik beradik Al Yauma Akma Zulkifeli dan Al Insyirah Aina Zulkifeli dan beberapa pelayar baharu kita yang sudah mula meningkat naik dari segi acara Optimist dan juga Laser 4.7..yang mana kia berharap mereka dapat terpilih untuk mendapat rentak sebagai pelayar kebangsaan. Jangkaan kita juga di Sukan Asia terutama di Olimpik harap sekurang-kurangnya seorang pelayar dari Terengganu dapat mewakili ke Olimpik Tokyo nanti.”, ujar jurulatih skuad pelayaran Terengganu Hamdan Mohd Rozi kepada PenyuSukan.com.
Walaupun skuad pelayaran negeri ini merupakan program persiapan pasukan ke temasya Sukan Malaysia(SUKMA) namun rentetan demi rentetan kejayaan di pentas antarabangsa yang lebih tinggi sekaligus meletakkan penanda aras yang tersendiri.
Komitmen pelayar cilik yang rata-rata masih di bangku sekolah untuk berlatih setiap hari selama 6 hari seminggu mengambarkan seolah-olah mereka tiada beza dengan atlet kebangsaan yang berstatus profesional.
Untuk rekod, pada awal tahun ini pelayar cilik Terengganu berjaya mencipta sensasi setelah meraih pingat emas Kejohanan Perlumbaan Optimist Antara Kelab Antarabangsa di perairan Qatar. Penyertaan pasukan cilik ini sekaligus menyelamat maruah negara setelah pasukan kebangsaan tidak dihantar berikutan prestasi buruk di Sukan SEA Filipina 2019.
Begitu juga pada tahun ini pelayar wanita Al Yauma Akma Zulkifeli turut membuat kejutan di atas tiket negeri dalam penganjuran antarabangsa untuk muncul juara dalam Langkawi International Reggata Perdana pada tahun ini.
Sebelum itu atlet senior sukan pelayaran negeri Terengganu; Alif Safares turut membuat kejutan menewaskan atlet kebangsaan bagi kategori bot International 420 dalam Kejohanan KFC–Tunku Laxamana Regatta Terbuka Port Dickson Edisi Ke 21.