Susulan perkembangan terkini penganjuran temasya Sukan Malaysia 2020 (SUKMA Johor 2020) yang ditunda pada tahun 2022 berikutan pandemik COVID-19 yang belum bernoktah, Terengganu dilihat tetap optimis untuk mempertahankan kejuaraan walaupun dijangka akan terkesan dengan keputusan tersebut. Keputusan cadangan kenaikan had umur penyertaan pada penganjuran seterusnya bakal menjadi percaturan drastik buat kontijen negeri ini.
Sama ada perlu merombak sepenuhnya atau mengekalkan barisan atlet-atlet yang telah bertungkus lumus berlatih sejurus tirai SUKMA Perak 2018 dilabuhkan merupakan keputusan sukar perlu dibuat secepat mungkin. Keputusan awal ini juga teramat penting memandangkan prospek sasaran pingat masih menyandarkan kudrat atlet-atlet senior yang sepatutnya membuat penampilan terakhir bagi temasya dwi tahunan yang dijadualkan pada tahun ini. Begitu juga dengan persediaan barisan atlet pelapis yang masih belum menimba pengalaman sepenuhnya bakal menjadi taruhan untuk beraksi di pentas tertinggi temasya SUKMA ini.
“Walaubagaimanapun kita masih menunggu keputusan mesyuarat teknikal SUKMA yang akan diadakan pada masa terdekat untuk menentukan had umur penyertaan atlet bagi SUKMA 2022. Namun begitu kita menyokong penuh cadangan yang diutarakan dalam mesyuarat jawatan kuasa tertinggi SUKMA untuk menaikkan had umur atlet yang bertanding SUKMA 2022 iaitu kepada 23 tahun. Ini kerana kita mengambil kira pelaburan, persediaan yang telah lama kita buat oleh kerajaan, Majlis Sukan Negeri Terengganu.”; ujar Ahmad Shahrizal Yahaya selaku Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu kepada PenyuSukan.com. Beliau yang baharu menggalas jawatan selaku Pengarah MSNT mengantikan Ibni Amin Busu yang bersara wajib ini juga turut menekankan bahawa halatuju MSNT tetap tidak berubah dalam kempen untuk mempertahankan kejuaraan.
Selain percaturan baharu persiapan kontijen yang memberi tekanan buat Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT), perancangan kewangan perbelanjaan kontijen juga perlu dirangka secepat mungkin memandangkan perbentangan belanjawan negeri akan berlangsung tidak lama lagi.
Terdahulu, jutaan ringgit telah dilaburkan oleh kerajaan negeri melalui MSNT untuk mengekalkan momentum selaku juara keseluruhan pada edisi lalu. MSNT juga telah memulakan kempen ‘2020 Victory Mission’ bagi mempersiapakan kontijen sejurus tamat SUKMA Perak 2018 untuk memberi fokus pada edisi seterusnya SUKMA Johor 2020 yang telah dibatalkan pada tahun ini.
Untuk rekod pada SUKMA Perak 2018 yang lalu, Terengganu muncul juara keseluruhan setelah merangkul 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa dengan penyertaan seramai 555 atlet negeri ini.