Setelah mencapai sasaran podium dalam siri perlumbaan Jelajah Eropah pada musim ini, pasukan berbasikal profesional negara bertaraf benua Terengganu Cycling Team(TSG) yang baru tamat menjalani tempoh 14 hari berkuaratin penuh kembali memberi fokus pada misi podium seterusnya.
Terkini TSG cukup selesa untuk berada kedudukan tangga teratas Jelajah Asia dengan kutipan 850 mata sekaligus berjaya mencipta jurang besar dengan pesaing rapat Vino-Astana Motors di tangga kedua dengan kutipan mata sebanyak 204 mata. Jurang besar ini secara tidak langsung mampu untuk TSG lebih awal dinobatkan selaku juara Jelajah Asia memandangkan agak mustahil bagi pencabar lain untuk menambah mata dalam hanya berbaki dua bulan lagi sebelum kalendar perlumbaan UCI melabuh tirai.
“Barisan pelumba dan pegawai kita baru sahaja pulang dari Turki dan sampai ke bumi Terengganu petang semalan iaitu seramai 3 pegawai dan 2 pelumba di mana mereka telah menjalani kuarantin selama 14 hari di Kuala Lumpur. Alhamdullilah ke semua pelumba kita berada dalam keadaan sihat.
Pada siri perlumbaan Jelajah Eropah di Turki di mana pihak pengurusan telah menetapkan sasaran 2 podium untuk 6 siri perlumbaan. Walaubagaimanapun mereka telah menunjukkan satu pencapaian yang amat membanggakan di luar jangkaan setelah berjaya memperolehi 6 podium melebihi sasaran yang diletakkan.”, ujar Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus kepada PenyuSukan.com
Manakala Pengurus Pasukan TSG Wan Mohd Nazri Wan Ahmad turut mengulas cabaran pengurusan pasukan di Turki sewaktu pandemik COVID-19 ini sememangnya menjadi cabaran terbesar bagi memastikan keselamatan setiap pelumba. Komitmen disiplin tinggi setiap pelumba bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pengurusan menjadi kunci terbaik buat pasukan yang berkampung selama 21 hari di sana.
“Untuk perlumbaan di musim COVID ini memang sangat-sangat mencabarlah dari pasukan sendiri, dari segi latihan dari segi persiapan untuk ke luar negara itu memerlukan kelulusan dari pihak berkuasa..itu antara cabaranlah.” ujar Pengurus Pasukan TSG Wan Mohd Nazri Wan Ahmad.
Sepanjang musim ini sebanyak 21 podium berjaya diraih hasil dari 14 perlumbaan antarabangsa berprestij telah disertai meletakkan pasukan dari pantai timur ini menjadi kuasa besar pasukan berbasikal Asia.
Walaubagaimanapun TSG tetap komited untuk meneruskan kayuhan menambah mata sekaligus memperbaiki rekod pasukan terbaik dunia berbanding musim lalu. Terkini TSG berada di kedudukan pasukan ke-31 dunia bersaing rapat dengan pasukan-pasukan elit terbaik dunia yang beraksi di divisyen UCI yang lebih tinggi.