185 Peserta 11 Negara Sertai Kejurulatihan Taekwon-DO IIC Ke-159

Kursus kejurulatihan taekwon-do(ITF) bertaraf antarabangsa telah selama 3 hari bertempat di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu bermula pada 2 sehingga 4 September 2022.

Persekutuan Taekwon-Do Malaysia(MTF) kembali mewarnai perkembangan sukan taekwon-do tanah air dengan mencipta penanda aras baharu sebagai tuan rumah penganjuran kursus kejurulatihan bertaraf antarabangsa(IIC) yang telah menerima penyertaan seramai 185 peserta dari 11 negara.

Kuala Terengganu yang menjadi destinasi bagi penganjuran antarabangsa edisi ke-159 menerima sambutan di luar jangkaan di mana tidak hanya penyertaan dari negara-negara jiran Asia Tenggara malah dari negara benua Eropah seperti Finland dan German begitu juga dari Australia, New Zealand, Nepal dan India sekaligus meletakkan kepercayaan buat MTF sebagai tuan rumah.





Kursus kejurulatihan yang berlangsung selama 3 hari bertempat di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu meliputi 9 slot latihan yang perlu ditempuhi oleh setiap pelatih sebelum layak untuk ditauliahkan kenaikkan tali pinggang ‘Dan’ ke peringkat yang lebih tinggi. Pentauliahan yang diiktiraf oleh badan induk dunia ini penting buat setiap pelatih di mana merupakan ‘azimat’ untuk beraksi ke pentas yang lebih tinggi khususnya melibatkan sebarang kejohanan di seluruh dunia.

Menambah menarik setiap pentauliahan itu disempurnakan sendiri dengan kehadiran presiden badan induk dunia ITF Grand Master Paul Weiler bersama timbalan presiden Grand Master Michael Daher yang turut hadir berkampung di Kuala Terengganu ini. Kehadiran dua pucuk pimpinan badan induk dunia ini juga memberi khabar gembira buat MTF setelah mengumumkan yang Malaysia kini di dalam penilaian sebagai tuan rumah untuk penganjuran kejohanan bertaraf Asia yang dijadualkan pada 2024 nanti.

“Malangnya pandemik COVID-19 merencatkan segala perancangan yang telah diaturkan khususnya bagi memberi fokus pada sebarang program penganjuran mahupun kejohanan melibatkan negara-negara di benua Asia ini sebagai tuan rumah.

“Kini fokus kami adalah untuk menganjurkan Piala Dunia ITF di China pada 2026 nanti dan sebelum itu adalah penganjuran Kejuaraan Asia di mana ITF masih membuat penilaian pada beberapa negara untuk menjadi tuan rumah sama ada Malaysia atau China dan mungkin Indonesia yang menjadi perhatian kami.

“Penilaian kami tidak semestinya kemampuan tenaga kerja pasukan tuan rumah itu sendiri di mana beberapa aspek seperti fasiliti, logistik dan lain-lain faktor yang menjadi tambah nilai buat tuan rumah nanti.”, ujar presiden ITF Grand Master Paul Weiler.

Manakala presiden MTF Senior Master Najmi Abdullah menyambut baik hasrat badan dunia itu di mana beliau menyifatkan ianya satu penghormatan buat negara yang mampu untuk mengembalikan kegemilangan sukan taekwon-do tanah air yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Kejayaan penganjuran Kejuaraan Taekwon-Do Sedunia edisi ke-9 di Kuala Terengganu pada tahun 1994 telah meletakkan negara ini setaraf dengan beberapa negara kuasa besar sukan ini sekaligus mencetus fenomena di peringkat pembangunan dalam negara.

“Sekarang kita perlu berusaha lebih keras sekiranya kembali menjadi tuan rumah bagi penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa. Banyak perkara yang perlu dipenambahbaikan khususnya melibatkan fasiliti infrastruktur, logistik, penginapan dan kemudahan akses pengangkutan bagi setiap pasukan yang hadir. Kini di Kuala Terengganu sendiri kita boleh melihat dengan beberapa infrastruktur sukan dengan kemudahan asrama baru milik Majlis Sukan Negeri Terengganu dengan jaringan pengangkutan awam khususnya lapangan terbang yang berhampiran bakal menjadi tambah nilai untuk Terengganu kembali menjadi tuan rumah.

“Berbeza sewaktu kita menjadi tuan rumah kejohanan dunia pada tahun 1994 yang lalu di mana ketika itu hanya ada beberapa hotel sahaja di sekitar Kuala Terengganu. Ketika itu kami hanya mampu menerima penyertaan sebanyak 88 negara walaupun penyertaan lebih dari 100 negara berminat untuk hadir ketika itu.

Walaupun ketika ini perbincangan masih di peringkat awal, namun kami di MTF telah membuat beberapa perbincangan awal dengan beberapa pemegang taruh yang lain mahupun bakal-bakal penaja untuk turut sama untuk merealisasikan penganjuran antarabangsa ini.

Faktor kadar tukaran wang yang rendah ketika ini menjadi kelebihan buat Malaysia untuk menjadi tuan rumah di mana penganjuran ini sudah pasti akan menjana sosio ekonomi setempat dengan membawa jumlah pelancong yang lebih besar ke dalam negara.”, ujar presiden MTF Senior Master Najmi Abdullah.

Beliau juga menjelaskan perkembangan sukan taekwon-do tanah air kini berada di landasan yang terbaik khususnya melibat program pembangunan di seluruh negara yang dikembangkan oleh setiap jurulatih-jurulatih bertauliah berbanding lain-lain negara di rantau ASEAN. Perkembangan ini menjadi tambah nilai terbaik untuk menjadi pilihan sebagai tuan rumah untuk penganjuran bertaraf antarabangsa sejajar dengan hasrat badan induk dunia yang kini memberi fokus pada rantau Asia.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X