Skuad bola sepak kontijen Terengganu hadir dengan reputasi besar selaku juara bertahan bermula dengan langkah kiri setelah tewas 0-1 dinafikan Johor dalam aksi perlawanan pertama peringkat kumpulan Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) yang telah berlangsung di Stadium Zaidi Adruce, Sibu.
Setelah terikat seri tanpa jaringan buat kedua-dua pasukan pada babak separuh masa pertama, akhirnya gol pertama milik pasukan Johor yang disempurnakan melalui tandukan oleh kapten pasukan Johor Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri pada minit ke-60 permainan.
Jaringan itu juga kekal sehingga tamat permainan untuk menoktahkan Terengganu terlepas 3 mata perlawanan pertama bagi saingan peringkat kumpulan ini.
Seterusnya Terengganu dibawah kendalian ketua jurulatih Subri Sulong dijadualkan untuk bertemu Sabah pada 16 Ogos ini sekaligus menjadi misi wajib menang sekiranya ingin kekal terus mara ke pusingan peringkat akhir kejuaraan. Pada temasya sukan terbesar tanah air edisi ke-21 kali ini, Terengganu telah diundi di dalam kumpulan bersama Johor dan Sabah.
Untuk rekod pada penganjuran SUKMA MSN 2022 lalu, Johor tersingkir di peringkat suku akhir setelah dinafikan Wilayah Persekutuan pada penentuan penalti 5-4 setelah terikat 1-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.
Manakala ketika itu Terengganu telah mencipta kejutan sekaligus menamatkan penantian selama 12 tahun untuk skuad bola sepak merangkul pingat emas ‘ibu segala pingat’ setelah menewaskan Pulau Pinang berkesudahan 2-0 pada perlawanan akhir SUKMA edisi ke-20 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur ketika itu.