Sukan SEA 2021: Kem Downhill Bersiap Awal

Barisan pelumba downhill ke pentas temasya Sukan SEA Hanoi 2021 juga merupakan pelumba basikal lasak BMX di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti yang berpusat di Dungun, Terengganu.

Walaupun sehingga kini masih belum ada kata putus dari Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia(PKBM) untuk memulakan program latihan kebangsaan bagi kem skuad berbasikal downhill, namun pelumba-pelumba dari Terengganu telah mula melakukan persiapan awal. Tiga pelumba downhill Terengganu iaitu Saniy Syahmi Mohd Safiee, Zulfikri Zulkifli manakala Eddyna Nasuhar Zainal Abidin merupakan pelumba wanita tunggal dari negeri ini telah disenaraikan menyertai kem kebangsaan nanti.

Untuk rekod ketiga-tiga pelumba ini merupakan pelumba berpengalaman yang banyak meraih kejayaan di pentas kebangsaan dan juga siri perlumbaan antarabangsa yang berprestij. Menambah menarik atlet-atlet ini juga merupakan pelumba taruhan Terengganu di pentas Sukan Malaysia (SUKMA Johor 2021) bagi disiplin acara BMX nanti.





Skuad downhill Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti dan turut dibantu oleh pembantu jurulatih Mohd Ibnu Hashimie Omar kini giat membuat latihan sepenuh masa bagi memastikan prestasi setiap pelumba sentiasa bersedia sebelum dipanggil menyertai kem kebangsaan. Malah Mohd Arif Syukri juga merupakan di antara jurulatih yang telah disenarai pendek bersama Mohd Aim Fauzi dari Sarawak untuk membawa cabaran di Sukan SEA Hanoi 2021 pada November nanti.

Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti antara jurulatih yang disenarai pendek bagi persiapan Sukan SEA 2021 Hanoi pada November ini giat mempersiapkan barisan pelumba dari Terengganu.

“Walaupun kita masih belum mendapat perkembangan terkini bila latihan berpusat kebangsaan akan bermula, kita di sini tetap memberi fokus pada pelumba-pelumba anak jati Terengganu untuk membuat persiapan awal. Kita mahu ke semua yang menyertai Sukan SEA berlumba untuk memenangi pingat. Kita tidak mahu sekadar menjadi peserta sahaja. Kita tahu ke semua pelumba-pelumba kita berbakat dan mampu memenangi pingat sekaligus mampu memberi saingan sengit pada pelumba dari negara lain nanti”, ujar Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti kepada PenyuSukan.com

Walaubagaimanapun, berikutan pandemik COVID-19 yang masih belum bernoktah juga sedikit sebanyak membantutkan persediaan pelumba-pelumba dalam misi ke Hanoi nanti berikutan ketandusan penyertaan sebarang perlumbaan yang kompetitif. Pada penganjuran kali ini, bagi sukan berbasikal tuan rumah hanya mempertaruhkan pungutan pingat bagi tiga acara iaitu lebuhraya, cross country dan downhill di mana bagi acara berbasikal trek velodrome dan BMX tidak dipertandingkan.

Eddyna Nasuhar Zainal Abidin yang kini berusia 19 tahun(22 Oktober 2002) menjadi pelumba wanita tunggal dari Terengganu yang disenaraikan untuk menyertai kem latihan kebangsaan bagi persiaan ke pentas temasya Sukan SEA 2021 Edisi Ke-31 di Hanoi, Vietnam pada November nanti.

Terdahulu, Arif Syukri yang merupakan pemegang Diploma Kejurulatihan Union Cycliste Internationale (UCI) merupakan bekas jurulatih kebangsaan di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan juga Sukan Asia Jakarta 2018 di mana sehingga kini sejak 2009 masih membimbing skuad berbasikal lasak Terengganu selaku ketua jurulatih.

Pasukan berbasikal ini ditemui RTM sewaktu kembali menyambung program latihan kecergasan setelah terhenti berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) seluruh negara yang telah melumpuhkan sebarang aktiviti program latihan sukan.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X