Haji Rahman Dato’ Haji Sidek selaku ketua jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri memuji perkembangan bakat-bakat pemain muda di negeri Terengganu ini. Beliau yang sekali lagi hadir untuk mengetuai program jelajah pencarian bakat memberi gambaran sedemikian setelah melihat potensi yang ada di kalangan peserta program ini. Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan mensasarkan pencungkilan bakat-bakat pemain muda seawal usia 7 tahun yang tidak pernah berentap di peringkat tinggi malah tidak pernah menerima sebarang program latihan profesional.
“Saban tahun program ini berlansung di negeri Terengganu namun pada tahun ini boleh dilihat perbezaan ketara di kalangan peserta program. Pada program tahun-tahun yang lepas diusia mereka yang masih kecil rata-rata baru hendak mengenali sukan ini tetapi kini seawal umur 7 tahun kami dapati mereka mampu untuk membuat pukulan dan teknik bermain yang betul. Satu perkembangan yang bagus untuk tahun ini. Secara tidak lansung memberi penanda aras baharu perkembangan dan pembangunan sukan badminton di negeri ini. Sekiranya bakat mereka terus digilap dan diberi peluang sudah pasti kejayaan menanti mereka.”; ujar Haji Rahman Dato’ Haji Sidek kepada PenyuSukan.com sejurus setelah tamat program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan 2018 Negeri Terengganu.
Ketua jurulatih ini juga turut menjelaskan bahawa program pencarian bakat ini juga tidak hanya memfokuskan kepada kemahiran bermain sahaja. Setiap anak-anak muda ini harus di beri pendedahan dan maklumat yang tepat tentang hala tuju sukan badminton demi masa depan mereka.
Sudah tentu menjadi pemain badminton profesional adalah cita-cita mereka namun mereka juga perlu ketahui melalui sukan ini juga boleh dikembangkan untuk menjadi satu kerjaya yang menarik. Bidang kejurulatihan, pegawai psikologi sukan, dan lain-lain bidang dalam sains sukan antara kerjaya yang mampu dibina atas semangat sukan badminton ini. Pendedahan ini penting di usia mereka agar dapat membuat keputusan yang tepat apabila mereka dewasa nanti.
“Kami tidak mahu bakat mereka menjadi sia-sia kerana tidak mendapat ruang dan peluang yang sewajarnya. Suatu ketika dulu kami(adik beradik lagenda badminton negara) seperti adik-adik di sini semua, kini dengan kejayaan dan pengalaman ingin kami pulangkan kepada mereka.”; tambah beliau.
[metaslider id=”767″]