UniKL Masih Tercari Rentak Sulung

Juara Piala TNB 2018; Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selaku pasukan pelawat tewas kepada Pasukan Hoki Terengganu(THT) dalam memburu kejuaraan Piala Sumbangsih 2019 bertempat di Stadium Hoki Batu Buruk pada 11 Januari 2019. Kredit Foto - PenyuSukan.com
Juara Piala TNB 2018; Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selaku pasukan pelawat tewas kepada Pasukan Hoki Terengganu(THT) dalam memburu kejuaraan Piala Sumbangsih 2019 bertempat di Stadium Hoki Batu Buruk pada 11 Januari 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Terengganu Hockey Team (THT) menjulang gelaran Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan pasukan bintang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam permainan sebenar di Stadium Hoki Batu Buruk, hari ini. Ia adalah kali pertama menyaksikan skuad Pantai Timur itu memenangi gelaran berkenaan selepas gagal dalam empat percubaan terdahulu sejak 2014.

Faizal Saari, pemain Korea Selatan Jang Jon-Hyun dan Fitri Saari menyempurnakan tugasan dengan baik dalam penentuan penalti buat THT manakala satu-satunya gol penalti UniKL disudahkan Rafizul Ezry Mustafa.





“Ia mengecewakan apabila kami gagal menyempurnakan penalti tetapi secara keseluruhannya pemain menunjukkan semangat melawan yang tinggi untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol,” kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Ketua jurulatih pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL); Arul Selvaraj membawa cabaran untuk mempertahankan kejuaraan dalam Liga Hoki Malaysia 2019 untuk tahun ke-8 sejak 2012. Kredit Foto - Facebook.com/UNIKL-Hockey-129889753477/
Ketua jurulatih pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL); Arul Selvaraj membawa cabaran untuk mempertahankan kejuaraan dalam Liga Hoki Malaysia 2019 untuk tahun ke-8 sejak 2012. Kredit Foto – Facebook.com/UNIKL-Hockey-129889753477/

“Kami gagal untuk menyambar trofi Piala Sumbangsih tetapi kami berjaya mendapat satu mata berharga daripada keputusan seri dalam masa permainan sebenar,” tambah Arul yang menjelaskan keputusannya untuk merehatkan penjaga gol import dari Ireland, David Harte untuk penentuan penalti berikutan kecederaan pada bahagian pahanya.

Menerima sokongan padu kira-kira 1,000 penyokong sendiri nyata dimanfaatkan THT yang hanya memerlukan tempoh dua minit untuk berada di depan hasil penyudah pukulan sudut penalti ayam tambatannya, Faizal Saari yang mana bola percubaan rendahnya tepat ke kiri gawang gol dikawal penjaga gol muda, Adrian Andy albert.

Jaringan awal itu bagaikan menyentap semangat anak-anak buah Arul yang memburu trofi Piala Sumbangsih dalam percubaan pertama mereka selepas layak ke saingan berkenaan atas tiket juara Piala TNB tahun lalu.

Fitri Saari(barisan hadapan kanan) berjaya mencuri bola dari pemain import UniKL kelahiran Australia yang juga pemenang pingat emas hoki Piala Dunia 2010; Keiran Govers(3 dari kiri) sewaktu aksi Piala Sumbangsih 2019 yang telah berlansung di Stadium Hoki Batu Buruk pada 11 Januari 2019. Kredit Foto - PenyuSukan.com
Fitri Saari(barisan hadapan kanan) berjaya mencuri bola dari pemain import UniKL kelahiran Australia yang juga pemenang pingat emas hoki Piala Dunia 2010; Keiran Govers(3 dari kiri) sewaktu aksi Piala Sumbangsih 2019 yang telah berlansung di Stadium Hoki Batu Buruk pada 11 Januari 2019. Kredit Foto – PenyuSukan.com

Malah, ketumpulan barisan serangan selain pilihan pemain yang terhad di posisi itu juga menyaksikan Arul beberapa kali mengarahkan tonggak tengah Mohd Marhan Mohd Jalil bermain sebagai penyerang di sisi Muhamad Hafiz Zainol dan Faridzul Afiq Mohd.

Namun, segalanya tampak tidak menjadi buat UniKL di suku pertama termasuk gagal mendapatkan sebarang pukulan sudut penalti sebelum pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jon-Hyun menghadiahkan gol kedua buat skuad Pantai Timur itu pada minit ke-15.

Nasib UniKL berubah 360 darjah sebaik bermula suku kedua apabila tindakan Arul untuk membawa masuk Harte berjaya meningkatkan semangat pasukannya dengan penjaga gol terbaik dunia itu yang baharu tiba ke negara ini semalam, menidakkan beberapa percubaan berbahaya THT menerusi Faizal dan Nabil Fikri Mohd Noor.

Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan; Jang Jong-Hyun selaku pemukul shootout kedua sekaligus menghadiahkan gol kedua buat Pasukan Hoki Terengganu(THT). Kredit Foto - PenyuSukan.com
Pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan; Jang Jong-Hyun selaku pemukul shootout kedua sekaligus menghadiahkan gol kedua buat Pasukan Hoki Terengganu(THT). Kredit Foto – PenyuSukan.com

Dan jaringan yang dinanti-nantikan UniKL akhirnya tiba apabila pembelian terbaru mereka pada musim ini, Razie Abdul Rahim kembali merapatkan jurang menerusi penyudah pukulan sudut penalti di hujung suku kedua sebelum dia menambah jaringan hasil percubaan sama lima minit selepas bersambung suku ketiga.

Kedudukan itu kekal hingga wisel penamat untuk juara ditentukan menerusi penentuan penalti dengan penjaga gol THT Hazrul Faiz Sobri muncul wira pasukannya apabila menafikan tiga percubaan penalti yang ditugaskan kepada Najmi Farizal Jazlan, Mohd Marhan Mohd Jalil dan Hafiz Zainol.

KEJOHANAN KUDA LASAK PIALA SULTAN MIZAN 2024
24 OKTOBER 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

november, 2024

01novalldayTerengganu 4x4 Rainforest Challenge 2024

15novalldayMalaysia Iconic Rally Championship 2024 - Pusingan Pertama

X