

Setelah 5 minggu berentap bermula pada Mei lalu akhirnya kejuaraan Liga Ragbi Terengganu 2025 melabuhkan tirai dengan penuh kejutan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu untuk menyaksikan finalis edisi lali SESMA OB dinobatkan selaku juara musim ini setelah menewaskan Marang Rugby 21-14.
Misi awal pasukan bekas pelajar SM Sains Mahmud(SESMA OB) dalam perlawanan akhir untuk menamatkan kempen musim ini adalah untuk mempertahankan tangga kedua kedudukan liga begitu juga Marang Rugby hadir dengan reputasi pasukan pilihan untuk perebutan tangga kedua dari tangga ke-3 liga.




Melihat pada perlawanan berintensiti tinggi ini, ketua jurulatih SESMA OB Mohd Nazri Mohd Ramli membuat percaturan taktikal untuk mendapatkan sebanyak mungkin mata jaringan melalui tendangan penalti mahupun conversion.
SESMA OB memanfaatkan sebaik mungkin pengalaman besar bekas kapten pasukan kebangsaan Mohamad Nasharuddin Ismail untuk mendominasi kutipan mata perlawanan akhir ini melalui 4 tendangan penalti dan 1 tendangan conversion sekaligus mencipta jurang untuk menafikan Marang Rugby sehingga tamat permainan.
Kemenangan ini juga sekaligus mencipta kejutan berganda buat penganjuran edisi kali ini di mana berjaya merampas kejuaraan daripada Kemaman Rugby selaku pendahulu liga untuk berkongsi mata namun jurang perbezaan jumlah jaringan sepanjang kempen musim ini menjadi kelebihan buat SESMA OB untuk dinobatkan selaku juara.
“Melihat pada persiapan pasukan SESMA OB untuk musim ini, walaupun hadir selaku finalis musim lalu kami sebenarnya tidak menyasarkan untuk muncul juara malah apatah lagi kami mencatatkan 1 kekalahan sepanjang musim ini.
Namun untuk perlawanan akhir ini, hendak atau tidak kami perlu bermatian mempertahankan tangga kedudukan di tempat kedua sekurang-kurangnya dengan jumlah mata yang telah dikutip.
Marang Rugby kembali hadir selaku pasukan pilihan musim ini sudah tentu bukan laluan mudah untuk kami.
Sejujurnya kami tidak menyangka untuk muncul juara melalui penentuan jumlah perbezaan kutipan mata melalui jumlah jaringan yang diperolehi selama ini oleh kerana kami hanya memfokuskan untuk meraih sebanyak mungkin kemenangan dalam setiap perlawanan walaupun hanya tewas dalam 1 perlawanan sebelum ini.” ujar ketua jurulatih SESMA OB Mohd Nazri Mohd Ramli.
Menambah duka buat Marang Rugby yang terpaksa mengakhir kempen musim ini dari tangga ke-3 semasa kedudukan untuk turun 1 tangga setelah dirampas oleh Universiti Malaysia Terengganu(UMT) yang berjaya menewaskan Royal Malaysia Police Terengganu(RMP Terengganu) pada perlawanan akhir liga yang berkesudahan 36-07.
Walaupun RMP Terengganu mengakhiri di tangga tercorot liga musim ini namun kredit juga seharusnya diberikan kepada pasukan ini yang berani mempertaruhkan muka-muka baru dari kalangan anggota polis yang berkhidmat di dalam negeri ini. Peningkatan mutu permainan yang dipamerkan berbanding di awal penubuhan menjadi penanda aras terbaik bagi persiapan pasukan ke saingan Piala Ketua Polis Negara pada tahun hadapan.
Liga ragbi Terengganu musim ini juga memberi penghormatan untuk menobatkan penjaring terbanyak yang diraih oleh kapten pasukan SESMA OB Mohamad Nasharuddin Ismail juga rakan sepasukan Muhammad Haikal Ibrahim selaku pemain ‘Backline Terbaik’. Manakala wakil dari pasukan Kemaman Rugby selaku naib juara musim ini, Mohd Harith Asyraff Rosid diumumkan sebagai pemain ‘Forward Terbaik’ untuk edisi penganjuran kali ini.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan sendiri oleh presiden Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) Amir Amri Mohammad yang turut hadir ke Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail untuk menyaksikan perlawanan terakhir bagi setiap pasukan bertanding.