
Berbaki kurang dari 24 jam sebelum perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) untuk saingan di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018, satu majlis ringkas perjumpaan di antara pihak pengurusan bersama para pemain telah berlansung di perkampungan sukan Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Pada masa yang sama turut berlansung pengumuman kapten bagi setiap pasukan dan pembahagian jersi serta kelengkapan kepada setiap pemain untuk kegunaan bagi setiap perlawanan sepanjang temasya SUKMA Perak 2018 ini berlansung.

Yang Dipertua PRNT Amir Amri Muhammad mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua ahli pasukan agar berentap sehabis habisan dengan semangat “Terengganu Hanelang” yang menjadi azimat perjuangan. Encik Amir juga turut menzahirkan terima kasih kepada semua pasukan khususnya para pemain yang telah memberi komitmen tinggi sejak dari awal sehingga ke hari ini untuk kekal di dalam skuad ini. Beliau juga turut mengingatkan kepada para pemain walaupun telah diundi untuk berada dalam kumpulan maut, tetapi itulah harga yang perlu dibayar setanding dengan nilai persediaan pasukan yang telah dikorbankan oleh pelbagai pihak termasuk para pemain.

Encik Che Mohd Zulkarnain selaku Timbalan YDP PRNT merangkap pengurus pasukan ragbi wanita turut memberi sepatah dua kata dengan menyentuh beberapa perkara yang perlu pemain ketahui hasil dari mesyuarat pengurusan pasukan yang telah berlansung di awal pagi hari ini. Encik Che Mohd Zulkarnain yang lebih mesra dikenali sebagai Che Latt mengingatkan setiap ahli pasukan perlu menjaga kesihatan diri sama ada secara fizikal mahupun mental dan sentiasa mengambil berat setiap pemakanan yang diambil untuk memastikan tidak timbul sebarang isu di saat-saat akhir ini.

Manakala Enche Mohd Amirulmukminin bin Sulaiman selaku pengurus pasukan ragbi lelaki telah membuat kejutan di dalam majlis ini apabila mengumumkan nazar sekiranya pasukan ragbi negeri ini memperolehi kejayaan pingat emas akan beliau korbankan seekor lembu untuk membuat majlis kesyukuran bagi warga persatuan ragbi negeri ini termasuk para pemain bersama anak-anak yatim.

Selain itu beliau juga turut mengingatkan kepada setiap pemain agar mendapat restu dari ibu bapa masing-masing sebelum bermulanya perlawanan pertama nanti. Sesungguhnya komitmen sepenuh masa yang telah diberikan daripada setiap pemain kepada pasukan mungkin telah menjarakkan hubungan kekeluargaan. Tiada guna meraih sebarang kejayaan tanpa restu dari mereka berdua ujar pengurus pasukan ragbi lelaki ini.
Majlis serba ringkas yang dipengerusikan oleh penolong Setiausaha PRNT; Encik Mohd Izwan Ismail secara tidak lansung telah memberi motivasi kepada para pemain di tahap yang terbaik dalam waktu-waktu yang makin meruncing ini. Rata-rata pemain yang ditemui turut menzahirkan perasaan terima kasih ke atas pihak pengurusan di atas pengorbanan yang telah diberikan.
Pasukan ragbi wanita negeri ini bakal membuka gelanggang bagi negeri dalam perlawanan pertama mereka menentang pasukan Johor yang dijadualkan pada jam 0840 pagi. Manakala pasukan ragbi lelaki akan berentap pada jam 0920 pagi menentang pasukan Kelantan. Semua acara sukan ragbi 7 sepasukan ini berlansung di Stadium Ragbi Perak bermula pada 15 September dan berakhir pada 16 September 2018.









Berbaki beberapa hari lagi sebelum temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Perak bakal berlansung, pasukan ragbi negeri Terengganu telah berkesempatan diraikan bersama Pegawai Daerah Kuala Terengganu; Tn. Hj. Azmi Bin Razik yang juga merupakan wakil dari jabatan angkat bagi sukan ini dalam satu majlis makan malam yang telah berlansung. Kata-kata semangat diberikan oleh Tn. Hj. Azmi Bin Razik turut mendapat tepukan gemuruh daripada seluruh pasukan di mana beliau turut berkongsi pengalaman beliau bermain ragbi suatu ketika dahulu.







Muncul juara buat kali ke-5 sekaligus mengukuhkan dominasi pasukan ragbi Kolej Vokasional Wakaf Tembesu(KV Wakaf Tembusu) selaku kuasa besar dalam sejarah penganjuran di Kejohanan Vokasional Teknik (VOKTEK 7s). Terkini pasukan pelajar kolej vokasional yang rata-rata dibarisi anak-anak muda di bawah usia 18 tahun berjaya menewaskan musuh tradisi mereka yakni KV Arau dalam perlawanan akhir bertempat di SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS). Sememangnya kedua-dua pasukan ini sering dijadikan pasukan pilihan untuk berentap di pusingan akhir kejohanan ragbi 7 sepasukan ini. Jurang 5 mata dalam perlawanan akhir dengan kutipan mata 15 berbalas 10 ternyata bukan laluan mudah bagi pasukan ini untuk memburu kejayaan.


Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) di antara persatuan sukan negeri ini yang memerlukan kesinambungan sokongan dari pihak kerajaan negeri Terengganu baharu setelah Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini. PRNT yang diketuai oleh Presiden Persatuan Ragbi Terengganu; Amir Amri Mohamad bersama ahli jawatankuasa persatuan yang lain melakukan kunjungan hormat menemui Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu; YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman pada 7 Jun lepas.







