Pelayar muda yang kian mencipta nama; Alif Safares bin ‘Azmi mendominasi kejuaraan pembuka tirai Liga Layar TSDL 2019 Siri 1 yang telah berlansung di tasik rekreasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 30 Disember lepas. Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Safares dinobatkan sebagai Pelayar Terbaik setelah mengungguli 6 acara pelayaran yang dipertandingkan. Untuk saingan pembuka tirai ini, Safares telah bersaing dalam kategori pelayaran International 420 Terbuka, International 420 Lelaki, Laser Radial Terbuka, Laser Radial Lelaki, Bic Techno Senior Lelaki dan Bic Techno Senior Keseluruhan.
Menambah manis anak jati Pulau Duyong ini; Safares selaku jurumudi bot bersama rakan sepasukan Muhammad Solihim bin Abdullah berjaya merangkul juara berganda dalam acara kegemaran iaitu International 420 Terbuka dan International 420 Lelaki. Saingan sengit konsisten telah diterima dari jurumudi Muhammad Faizzuddin yang meraih tempat kedua dan Muhammad Khaidir di tempat ketiga untuk kedua-dua acara tersebut.
“Saingan yang hebat dari setiap peserta. Walaupun mereka semua adalah rakan sepelayaran yang bersama-sama berlatih namun untuk pembukaan liga ini mereka sepenuh hati memberi saingan. Muhammad Izzuddin dan Al Yauma Akma antara yang memberi cabaran besar buat saya. Belayar di tasik ini juga turut memberi cabaran oleh kerana faktor angin yang tidak menentu memerlukan ketangkasan mengendalikan bot untuk berlumba.”; ujar pemenang pingat emas Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018.
Safares mula menceburi sukan pelayaran sejak berusia 10 tahun dan kini berusia 18 tahun ini adalah merupakan atlet sepenuh masa malah turut selaku pembantu tenaga pengajar bagi Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu.
Pada temasya Sukan Malaysia(SUKMA) Perak 2018 yang lalu, beliau telah bergandingan dengan jurumudi Abdul Latif bin Mansor berjaya mencipta sensasi sukan pelayaran negeri ini apabila meraih pingat emas untuk pertama kali berentap di pentas sukan dwi tahunan ini.
Kejohanan Liga TSDL (Terengganu Sailing Development League) menawarkan sistem kutipan mata untuk menentukan tangga kedudukan para atlet dilihat satu platform terbaik yang secara tidak lansung menjadi serampang dua mata bagi program pembangunan sukan di negeri ini. Liga layar ini mempertandingan kategori bagi semua kelas bot di mana terbuka kepada semua atlet Program Pembangunan Sukan Negeri Terengganu termasuk peserta yang telah menyertai program My Try Layar 2018 baru-baru ini. Sebanyak 10 siri Liga Layar TSDL 2019 dijadualkan untuk berlansung bertempat di beberapa venue pertandingan sekitar negeri Terengganu ini.