Skuad berbasikal lebuh raya Terengganu yang kini dalam persiapan ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) pada Ogos nanti membuka kalendar latihan musim baru bagi tahun ini dengan perancangan program latihan yang lebih intensif dan berimpak tinggi berbanding musim lalu.
Beberapa pendekatan baharu dalam program latihan telah ditambah baik termasuk memanfaatkan sepenuhnya elemen sains sukan sama ada dari segi penggunaan teknologi mahupun aspek pemakanan berbanding kaedah konvesional yang menekankan aspek kudrat mahupun kekuatan sepenuhnya seseorang atlet itu sendiri.
Walaupun tempoh masa masih panjang untuk berbaki kurang dari 8 bulan sebelum SUKMA Sarawak 2024 membuka tirai, kem berbasikal lebuh raya Terengganu ini turut dahagakan pendedahan melalui penyertaan-penyertaan perlumbaan berprestij sama ada di dalam mahupun luar negara untuk menimba pengalaman dan memperbaiki kelemahan pasukan.
Menurut jurulatih berbasikal lebuh raya Terengganu yang juga bekas pelumba profilik negara, Anuar Manan memberi gambaran bahawa pasukannya akan menjalani program latihan beraltitud tinggi di luar negara sebelum tirai perlumbaan SUKMA 2024 bermula nanti.
“Kualiti penganjuran perlumbaan di pentas SUKMA masa ini khususnya saingan pasukan lawan daripada beberapa negeri dilihat kian meningkat berbanding dahulu di mana saya juga turut pernah berlumba ketika itu. Kita boleh lihat rata-rata kelajuan masing-masing sewaktu berlumba pun kayuhan mereka semakin laju sehingga boleh mencecah kelajuan pelumba-pelumba yang lebih profesional.
“Oleh itu kami bersama barisan kejurulatihan membuat perancangan yang lebih intensif berbanding musim lalu iaitu pada tahun lepas. Sudah tentu kami akan memanfaatkan segala elemen-elemen yang menjadi tambah nilai seperti sains sukan bagi sepanjang program latihan berlangsung sebelum SUKMA Sarawak 2024 nanti.
“Sebelum SUKMA Sarawak 2024 ini juga kami merancang untuk menyertai lebih banyak perlumbaan-perlumbaan yang berprestij sama ada di dalam negara mahupun luar negara agar pelumba-pelumba kami mendapat pendedahan yang lebih kompetitif dan berprestasi tinggi. Namun semua ini tetap bergantung pada status kewangan bagi perbelanjaan pasukan daripada pemegang taruh di mana pada tahun 2024 ini kami menjangkakan tahun yang sukar buat semua pasukan yang kini dalam persediaan ke Sarawak nanti.” ujar Anuar Manan yang kini memasuki tahun ketiga dilantik sebagai jurulatih oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak ini juga menjadi pentas penampilan terakhir buat kuartet pelumba muda Terengganu kini bertekad untuk kembali membuat kejutan sekaligus memperbaiki rekod pencapaian di pentas penganjuran sukan terbesar dalam negara ini.
“Penganjuran SUKMA di Sarawak pada tahun ini adalah penampilan terakhir dalam acara berbasikal lebuh raya buat kami berempat jadi sudah pasti kami ingin memperbaiki rekod pencapaian pada SUKMA dua tahun lepas.
“Sasaran peribadi kami sudah tentu pingat emas di Sarawak nanti yang sekian lama kami telah idamkan. Namun banyak perkara yang perlu kami lakukan dan korbankan untuk kejayaan itu. Sudah tentu saingan dari pelumba-pelumba negeri lain kita boleh lihat mereka juga bekerja keras untuk merebut pingat.
“Kami amat mengharapkan sebelum SUKMA nanti kami dapat menyertai mana-mana perlumbaan yang berprestasi tinggi khususnya bersaing dengan pelumba-pelumba dari luar negara. Tidak bermaksud kualiti perlumbaan di dalam negara ini tidak mencabar cuma kami memerlukan cabaran dan saingan taktikal yang lebih tinggi.
“Berdasarkan pengalaman berlumba di luar negara sebelum ini, bentuk muka bumi dan ketinggian altitud di luar negara yang berbeza berbanding di sini memberi prestasi yang ketara buat kami apabila pulang untuk berlatih mahupun berlumba di dalam negara.” berkata Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi yang akan membuat penampilan terakhir di SUKMA Sarawak 2024 nanti.
Untuk rekod, pada penganjuran SUKMA 2022 di ibu negara, kem berbasikal lebuh raya Terengganu berjaya memungut 6 pingat emas, 6 pingat perak dan 3 pingat gangsa sekaligus menghimpunkan keseluruhan pingat sebanyak 64 pingat emas, 49 pingat perak dan 55 pingat gangsa buat kontijen dari pantai timur ini untuk berada di belakang kontijen Johor selaku juara keseluruhan SUKMA 2022 ketika itu.