10 pasukan ragbi dari pelbagai sekolah dan institut pengajian tinggi dari sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang menghimpunkan hampir 400 pemain termasuk barisan pengurusan diraikan dalam satu perlawanan persahabatan di fasiliti Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu sebagai usaha untuk memperkasakan program pembangunan ragbi setempat.
Hasil jalinan kerjasama dan sokongan jitu dari pelbagai pihak khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu(JPNT), Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu selaku badan induk sukan ragbi negeri Terengganu mencipta penanda aras yang baik bagi memberi peluang kepada pelatih-pelatih program pembangunan sukan ragbi dari peringkat akar umbi untuk pertama kali merasai sendiri beraksi di dalam stadium yang berprestij ini.
Antara pasukan-pasukan ragbi yang hadir pada penganjuran kali ini adalah Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud(SESMA), Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Batu Rakit(Brains), Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu(MRSM KT), Kolej Vokasional Wakaf Tembesu(KVWT) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato’ Razali Ismail(IPGKDRI).
“Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail menjadi destinasi pilihan bersama di antara kami sebagai usaha untuk menyemarakkan keterujaan pelatih-pelatih pemain ragbi kami yang terdiri dari kalangan murid-murid dan pelajar-pelajar di sekitar daerah ini.
“Rata – rata ada di antara mereka sejak berusia seawal 13 tahun sehingga kini telah mengikuti program pembangunan sukan ragbi di sekolah masing-masing dan meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya juga ingin menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu serta beberapa pihak lagi yang merealisasikan usaha ini demi pembangunan sukan di kalangan murid-murid sekolah umumnya.” ujar pengarah program Mohd Nazren Dasir yang juga merupakan guru di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud(SESMA).
Manakala Nizam Kamal selaku wakil dari pihak Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) yang turut hadir ke program ini turut menzahirkan tanda terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan beberapa pihak termasuk ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dalam program pembangunan sukan ragbi ini dari peringkat bangku sekolah.
“Sudah tentu tiada halangan dari PRNT selaku badan induk sukan ragbi negeri Terengganu buat mana-mana pihak yang ingin memperkasakan sebarang program pembangunan sukan ragbi di negeri ini. Malah adalah menjadi tanggunjawab kami untuk menyokong dan membantu serta memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk mana-mana pihak.
“Kami tidak boleh menafikan malah perlu sentiasa menyokong sepenuhnya segala usaha program pembangunan sukan ragbi yang dijalankan oleh mana-mana pihak khususnya dari pihak sekolah yang merupakan pemegang taruh pembangunan sukan di peringkat akar umbi terbesar dalam negara.
“Seterusnya sudah tentu bakat-bakat muda ini perlu dikenal pasti oleh kami sebagai usaha untuk memberi peluang dan ruang buat mereka beraksi di pentas yang lebih tinggi lagi.” ujar Nizam Kamal yang juga menggalas tanggungjawab selaku pengurus pasukan bagi skuad ragbi 7 sepasukan Terengganu ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA).
Untuk rekod, program pembangunan akar umbi dari peringkat sekolah di seluruh negeri Terengganu telah bermula sejak kian lama namun bermula pada 2016 menyaksikan penyertaan beberapa buah sekolah untuk mewujudkan pasukan ragbi kian bertambah.