Perlumbaan kayak ‘membelah ombak’ untuk catatan masa terpantas yang dijenamakan sebagai Ombak Challenge 2022 untuk edisi penganjura kali ke-5 ini masih mengekalkan tradisi untuk tidak mengenakan sebarang bayaran penyertaan kepada setiap peserta yang bertanding. Pendekatan ini sekaligus menjadi penanda aras terbaik buat penganjur untuk mempromosikan sukan air dan untuk menarik penyertaan yang lebih ramai.
“Kekuatan penganjuran sudah pasti tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan buat masa ini di mana kami sebagai penganjur menyediakan kelengkapan perlumbaan secara percuma sepenuhnya buat setiap peserta. Oleh itu peserta tidak perlu untuk membawa sendiri peralatan yang mungkin membebankan mereka khususnya melibatkan urusan logistik mahupun kos tambahan kepada peserta itu sendiri. Pendekatan ini juga menjadi penanda aras terbaik buat penganjur yang saban tahun kita boleh melihat jumlah penyertaan kian meningkat sejak 2015.” ujar Dzulkafli Abas yang pernah memikul tanggungjawab selaku Presiden Kanu Malaysia bagi penggal 2015-2017.
Menurut Pengarah Teknikal Ombak Challenge 2022 Dzulkafli Abas sehingga kini pihak penganjur masih mampu untuk meneruskan penganjuran walaupun turut berdepan dengan kekangan kewangan untuk dianjurkan dalam suasana yang lebih baik. Penganjuran ini juga turut mendapat tajaan kewangan dari pelbagai pihak yang sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mewarnai kalendar penganjuran sukan air di negeri Terengganu ini.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu juga menyifatkan kelebihan ini menjadi prestij penganjuran dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan tanpa membebankan peserta khususnya mereka yang datang dari jauh.
Melihat pada sambutan penganjuran kali ini, Dzulkafli Abas menjangkakan penyertaan lebih ramai berbanding edisi-edisi terdahulu malah sehingga kini terdapat sebuah pasukan amatur dari luar Terengganu turut berminat untuk hadir berentap.
Pada edisi ke-5 penganjuran yang dijadualkan berlangsung di Taman Rekreasi Pulau Kekabu, Marang pada 23 & 24 Disember ini menawarkan hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM 5000.00 keseluruhan. 3 kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Berpasukan(Relay) menjadi taruhan di mana kategori Berpasukan yang menawarkan hadiah kemenangan terbesar menjadi acara tumpuan pada penganjuran kali ini.