Pasukan bola sepak Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) yang dijenamakan sebagai ‘The Rhinos’ kini berada di landasan terbaik untuk menterjemah sasaran mereka musim ini bagi membawa pulang Piala Menteri Pengajian Tinggi dalam kempen Kejuaraan Bola Sepak Liga Institut Pengajian Tinggi(Liga IPT) yang telah tertunda sejak 2 tahun lalu berikutan situasi pandemik COVID-19 yang menjadi isu global.
Sasaran tekad itu telah dimuktamadkan lebih awal demi menamatkan kemarau selama 6 tahun untuk perebutan trofi paling berprestij di pentas IPT setelah kali terakhir ‘The Rhinos’ dinobatkan juara pada tahun 2016.
Dalam usaha untuk memperkuatkan pasukan, ‘The Rhinos’ juga telah membuat pelaburan untuk melantik bekas pemain kebangsaan pasca 2003-2005 yang juga pemilik lesen kejurulatihan Diploma A, Mohd Norhisham Hassan selaku ketua jurulatih.
Persiapan rapi di awal musim memperlihatkan aksi ‘The Rhinos’ berjaya mengekalkan prestasi konsisten dengan catatan rekod tanpa kalah bagi ke semua aksi perlawanan di peringkat kumpulan sebelum layak untuk melangkah ke pusingan suku akhir ini.
“Syukur Alhamdullilah kami mampu menang dengan UPM ini momentum terbaik buat UniSZA untuk mara ke perlawanan akhir setelah 6 tahun kami kemarau kejuaraan begitu juga 2 tahun tiada sebarang perlawanan kompetitif buat kami. Rata-rata pemain ‘The Rhinos’ adalah pemain yang pertama kali beraksi untuk saingan kejohanan piala menteri ini ianya satu platform terbaik buat kami di peringkat IPT ini.” ujar Ketua jurulatih Mohd Norhisham Hassan yang ditemui PenyuSukan sejurus tamat perlawanan.
Terkini pada perlawanan suku akhir yang telah berlangsung di padang UniSZA, pasukan tuan rumah berjaya menafikan Universiti Putra Malaysia(UPM) yang hadir selaku pasukan pilihan dalam penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 walaupun setelah tambahan masa diberikan.
Seterusnya bagi aksi penentuan separuh akhir, pasukan IPT tunggal dari pantai timur ini dijadualkan bertandang ke tempat lawan untuk bertemu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPMN) pada Selasa nanti.
Pasukan yang layak untuk mara ke perlawanan akhir nanti dijadualkan pada 5 Julai nanti sekaligus melabuhkan tirai penganjuran Kejuaraan Liga IPT musim ini.