TENGKU HAZMAN KEKAL SEBAGAI PENGENDALI SEMENTARA

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) bakal menamakan ketua jurulatih baharu sebaik sahaja segala urusan dokumentasi selesai, kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk melantik pengendali baharu sudah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah TFC dan jawatankuasa teknikal kelab, namun proses pelepasan daripada majikan jurulatih berkenaan masih belum dimuktamadkan.





“Segala urusan di pihak kami sudah selesai, cuma jurulatih itu perlu menunggu surat pelepasan daripada majikannya. Buat masa ini, Tengku Hazman Raja Hassan akan terus menggalas tugas sebagai jurulatih sementara,” katanya ketika ditemui pada satu majlis rasmi di Kuala Terengganu.

Hishamuddin turut menegaskan bahawa calon jurulatih baharu boleh jadi dari kalangan tempatan atau import, bergantung kepada kesesuaian dengan pasukan serta kemampuan dari segi bayaran gaji. Nama bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, turut disebut sebagai antara calon, namun beliau masih terikat dengan majikan.

Sebelum ini, lima nama dikaitkan dengan kerusi panas TFC iaitu Tan Cheng Hoe, Nafuzi Zain, E. Elavarasan, Hairuddin Omar dan Tengku Hazman sendiri. Jurulatih terdahulu, Badrul Afzan Razali, direhatkan selepas prestasi pasukan tidak menentu.

X