Sah! 3 Sukan Digugurkan Pada SUKMA 2018

“Kerajaan negeri hanya pelaksana kepada penganjuran sukan dwitahunan itu dan tidak boleh menyenaraikan acara sukan sesuka hati,” ujar Datuk Shahrul Zaman Yahaya. Kredit Foto – Facebook.com/shahrulzamanyahya

Kontroversi yang melanda sukan sepak takraw, angkat berat dan taekwondo setelah digugurkan dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN) akhirnya terjawab apabila disahkan tidak akan dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 nanti. Keputusan untuk tidak dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu telah disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri Perak, Dato’ Shahrul Zaman Yahya kepada pemberita.

Perak yang akan mengalas tugas selaku penganjur SUKMA 2018 Ke-19 terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan atau Majlis Sukan Negara (MSN) walaupun tuan rumah mempunyai pilihan untuk menyenaraikannya sukan yang digugurkan ke dalam 10 sukan pilihan.

Walaupun sukan-sukan yang digugurkan itu telah disenarai awal dalam perancangan persedian venue mengikut daerah sebelum ini, kerajaan negeri Perak akan berusaha mengantikan sukan yang akan dipertandingkan tanpa perubahan kepada daerah yang menjadi venue.

“Kerajaan negeri hanya pelaksana kepada penganjuran sukan dwitahunan itu dan tidak boleh menyenaraikan acara sukan sesuka hati,” ujar Datuk Shahrul Zaman Yahaya kepada pemberita.

Keputusan ini juga turut disampaikan dalam kenyataan media oleh ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail yang dipaparkan di laman web http://www.nsc.gov.my bertarikh 12 Disember 2017.

KP MSN: SUKMA 2018 Wajib Gugur Sukan Digugurkan

“Ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” ujar Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara. Kredit Foto – Nurul Shafina Jemenon

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Dato’ Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan kepada pemberita bahawa tiga sukan yang telah digugurkan daripada sukan teras tidak boleh dipertandingkan pada penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA) 2018 yang akan berlansung di Perak nanti. Sukan Malaysia adalah Temasya Sukan Remaja Kebangsaan di bawah anjuran Majlis Sukan Negara Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Majlis Sukan Negeri sebagai tuan rumah.

Oleh yang sedemikian keputusan Lembaga Pengurus MSN menggugurkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo berkuat kuasa di SUKMA 2018 malah sudah dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Ketiga-tiga sukan ini yang pernah disenaraikan sebagai sukan wajib dipertandingkan tidak pernah ketinggalan daripada dipertandingkan di temasya SUKMA.

“Keputusan yang diputuskan Lembaga Pengurus MSN itu turut merangkumi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Jadi, ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” katanya kepada pemberita.

Menjelang temasya kejohanan SUKMA 2018 nanti sebanyak 369 acara bakal dipertandingan terdiri dari 26 jenis sukan di mana 16 sukan berstatus wajib dipertandingankan yang merupakan sukan teras manakala baki 10 jenis sukan lagi adalah sukan pilihan ditentukan oleh tuan rumah.

Untuk rekod, pada edisi penganjuran SUKMA terdahulu hanya 19 sukan wajib yang merupakan sukan teras dipertandingkan. Kini 16 sukan wajib dipertandingkan terdiri dari akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak dan futsal, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, boling serta wushu. Manakala sukan pilihan pula adalah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, petanque, ragbi, muay dan tinju.

Pada 12 Disember 2017 lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan tiga sukan iaitu angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan dalam senarai sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).

X