Setelah kem berbasikal lebuhraya Hanelang Bangkit melabuhkan tirai dengan penuh bergaya dengan 4 pingat emas, 1 pingat perak dan 2 gangsa sekaligus mendominasi keseluruhan pingat bagi acara tersebut, kini tumpuan beralih pada acara basikal lasak(BMX) menyaksikan pelumba-pelumba lelaki dan wanita Terengganu melepasi sesi kelayakan masa sekaligus meraih slot akhir pemburuan pingat bermula hari ini.
Pelumba BMX Terengganu Amer Akhbar Anuar yang juga merupakan juara bertahan edisi lalu menepati ramalan untuk meraih ditempat pertama sesi kelayakan masa dengan catatan masa terpantas 00:37.925 untuk jarak kayuhan sejauh 390 meter.
Turut mara ke penentuan separuh akhir nanti adalah rakan sepasukan Wan Muhammad Izzat Wan Mohd Baihaki di tempat ketiga manakala Siti Nurliana Muhamad Nazri menjadi pelumba tunggal wanita Terengganu untuk meneruskan misi ‘Hanelang Bangkit 2024’ di bumi Kenyalang ini.
Untuk rekod, pada temasya Sukan Malaysia(SUKMA Sarawak 2024) edisi ke-21 ini adalah merupakan penampilan terakhir bagi pelumba Amer Akhbar Anuar dan Siti Nurliana Muhamad Nazri.
“Alhamdullilah seorang pelumba wanita Terengganu iaitu Siti Nurliana Muhamad Nazri layak untuk ke peringkat akhir manakala dua pelumba lelaki iaitu Amer Akhbar Anuar akan mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada 2022 lalu dan pelumba muda Wan Muhammad Izzat Wan Mohd Baihaki akan bersama-sama berlumba bagi penentuan separuh akhir esok.
“Melihat pada keputusan ujian masa, kita boleh lihat saingan sengit dari pelumba-pelumba negeri lain untuk memburu podium dengan jurang masa begitu sedikit namun saya yakin dengan pelumba-pelumba Terengganu ini untuk kembali menaiki podium.
“Cuma saya mengharapkan agar cuaca yang lebih baik, sekiranya hujan lebat sudah tentu menjadi cabaran berganda buat pelumba-pelumba Terengganu malah pelumba-pelumba lain juga.” ujar Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti yang telah membimbing skuadi BMX Terengganu sejak 2009.
Sebanyak 2 pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita ditawarkan bagi acara ini yang dijadualkan untuk berlangsung selama sehari bertempat di Bukit Siol DBKU, Petra Jaya.