Penyandang Kejuaraan Ragbi Piala Agong, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) sekali lagi berjaya mencipta penanda aras baharu buat sukan ragbi negeri ini setelah menjadi tuan rumah kursus ragbi terbesar yang pernah dianjurkan dalam negara.
Penganjuran yang dijenamakan sebagai Program Pemantapan Sukan Ragbi Negeri Terengganu 2020 telah berlangsung selama tiga hari melibatkan tiga kursus berkaitan yang dijalankan serentak iaitu kursus kejurulatihan, kepengadilan dan juga bantuan kecemasan awal perubatan sukan ragbi(First Aid in Rugby – FAIR).
Pilihan tiga kursus yang dianjurkan ini secara tidak langsung memberi kelebihan buat peserta memandangkan sebelum ini penganjuran sering memfokuskan pada 1 kursus sahaja. Malah kursus ini tidak hanya memfokuskan pembelajaran teori di dalam kelas semata-mata di mana turut menekankan aspek pembelajaran praktikal di luar kelas.
Kursus dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar bertauliah dari badan induk ragbi kebangsaan, Kesatuan Ragbi Malaysia(KRM) yang telah mendapat pengiktirafan(sanction) oleh World Rugby selaku badan induk dunia sukan ragbi ini. Penganjuran kursus ini dilihat tepat pada masanya berikutan pandemik COVID-19 yang belum bernoktah telah merencatkan segala kalendar penganjuran kejohanan ragbi pada tahun ini.
Walaupun setiap peserta dikenakan bayaran seperti mana ditetapkan oleh badan induk, PRNT turut mengambil inisiatif untuk mengadakan satu seminar berkaitan secara percuma kepada orang ramai yang berminat untuk hadir. Penganjuran ini juga telah berjaya menghimpunkan keseluruhan seramai 83 peserta di mana sebahagian besar adalah peserta dari negeri Terengganu itu sendiri dan selebihnya dari seluruh negara.
Turut menjadi serampang dua mata buat Majlis Sukan Negeri Terengganu yang telah mengerah kesemua atlet sukan ragbi yang kini dalam persiapan pasukan ke pentas SUKMA Johor 2020 untuk turut serta. Keputusan ini dilihat tepat dalam memperkasakan atlet-atlet muda negeri ini khususnya berkaitan dengan peraturan-peraturan pertandingan yang sering terkeliru dengan keputusan pengadil pelawanan.
Untuk rekod, kali terakhir negeri Terengganu menjadi tuan rumah penganjuran kursus sedemikian adalah pada tahun 2008 di mana ketika itu negeri ini telah menjadi tuan rumah Sukan Malaysia Edisi Ke-12 dan skuad ragbi telah menyumbang pingat emas sekaligus membantu kontijen negeri Terengganu untuk muncul juara keseluruhan.
“Tahniah kepada Persatuan Ragbi Negeri Terengganu selaku tuan rumah bagi penganjuran kursus terbesar yang pernah dianjurkan di mana melibatkan 3 kursus berkaitan berjalan serentak. Penganjuran ini menjadi satu penanda aras terbaik kepada pihak penganjur malah buat kami sendiri selaku badan induk dalam menguruskan sebarang kursus-kursus berkaitan. Fasiliti yang lengkap di kompleks sukan ini juga menjadi pilihan tepat bagi penganjuran berskala besar ini yang melibatkan kursus kejurulatihan, pengadilan dan bantuan awal perubatan ini. Malah penglibatan peserta kursus dari kalangan atlet-atlet muda ke pentas SUKMA Johor nanti menjadi tambah nilai terbaik buat penganjur itu sendiri.”, ujar Pegawai Pembangunan Kesatuan Ragbi Malaysia Nor Hisham Bin Ibrahim yang turut hadir memantau sepanjang program ini berlangsung.
“Alhamdullilah. Satu penanda aras baharu tercipta yang secara tidak langsung sebenarnya menyumbang dalam pembangunan sukan ragbi di negeri Terengganu ini. Sejak sekian lama tidak pernah dianjurkan sebarang kursus berkaitan dengan sukan ragbi ini dan hari ini kita berjaya memberi peluang khususnya kepada anak jati negeri ini dan peserta dari lain-lain negeri. Malah menambah menarik kita selaku tuan rumah berjaya menganjurkan serentak 3 kursus berkaitan sekaligus memberi pilihan kepada peserta yang ingin menyertai. Peluang yang sama juga turut diberikan kepada atlet-atlet yang akan berentap di SUKMA Johor 2020 nanti. Satu peluang dan ruang sewajarnya buat atlet-atlet muda untuk turut serta.”, ujar Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Amir Amri bin Mohamad.
“Kursus ini amat penting bagi melahirkan pelapis pelapis baharu untuk mereka yang terlibat dalam sebarang program pembangunan ragbi akar umbi. Tidak dinafikan rata-rata diantara mereka bukanlah berstatus jurulatih mahupun pemain sepenuh masa yang sentiasa menerima pendedahan terkini berkaitan sukan ragbi ini. Maka dengan itu, melalui kursus ini menjadi platform terbaik bagi merapatkan jurang tersebut dan secara tidak langsung mengiktiraf mereka untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Malah sukan ragbi itu sendiri yang melibatkan bidang kejurulatihan mahupun kepengadilan dan pelbagai bidang lagi telah berinovasi seiring dengan perkembangan semasa.”, berkata fasilitator World Rugby(World Rugby Educator) Hamrizal Hamdan yang juga pernah merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2019.