Program tahunan Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan di bawah kendalian Kelab Badminton Nusa Mahsuri sekali lagi menjadikan negeri ini sebagai destinasi ke-7 pada tahun ini sebelum meneruskan pencarian bakat ke negeri seterusnya. Program yang kini berusia 22 tahun sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 1996 kian matang setelah melihat perkembangan pembangunan sukan ini di negeri-negeri yang menyertai. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu(JBSNT) juga turut merupakan pemain peranan penting dalam persediaan pencarian bakat di negeri ini untuk memberi peluang pendedahan ke peringkat yang lebih tinggi.
Seramai 63 bakat-bakat muda pemain badminton seawal berusia 7 tahun hingga 12 tahun telah dipilih oleh JBSNT bagi memastikan mereka yang benar-benar bersedia untuk memberi komitmen sepanjang program ini. Pemilihan bakat-bakat ini telah dilakukan di seluruh daerah dalam negeri Terengganu dengan kerjasama di antara setiap Pejabat Belia Dan Sukan Daerah dan akademi badminton tempatan di mana setiap pemain mempunyai ujian tertentu untuk terpilih. Kriteria pemilihan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada para pemain badminton yang berbakat tetapi tidak terpilih untuk mewakili di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Hal ini adalah untuk memastikan bakat-bakat tersebut perlu digilap sepenuhnya agar tidak pudar sekaligus memadamkan peluang yang bakal mereka perolehi.
Program yang telah berlansung selama 3 hari bermula pada 9 hingga 11 Ogos 2018 bertempat di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu sememangnya merupakan program seharian berskala penuh kepada peserta. Seawal pagi mereka telah diberikan latihan kecergasan fizikal dan seterusnya latihan praktikal di dalam gelanggang. Manakala pada malam pula dipenuhi dengan slot motivasi dan hala tuju masa depan sukan ini yang perlu diketahui oleh bakat-bakat cilik ini agar mereka dapat memahami dengan lebih tepat. Pemilihan JBSNT sebagai tuan rumah sememangnya bertepatan dengan kehendak program ini di mana para peserta program disediakan tempat penginapan dan penyediaan makanan malah mempunyai fasiliti yang lengkap untuk program ini.
“Program ini adalah satu program yang bagus sewajarnya diteruskan. Kita boleh lihat pada hari ini hasil keberkesanan program pembangunan sukan badminton di negeri ini. Kami berharap dengan perkembangan ini lebih ramai anak muda negeri Terengganu mampu untuk berentap ke peringkat yang lebih tinggi. Kami di pihak jabatan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan bersama pihak Kelab Badminton Nusa Mahsuri sentiasa mencuba yang terbaik untuk memastikan program pencarian bakat ini berterusan. Seterusnya di harap ada pihak di luar sana khususnya persatuan negeri mahupun kebangsaan turut sama memberi ruang dan peluang kepada atlet-atlet muda ini.”; ujar Encik Mohd Soufi Bin Mohd Ibrahim selaku Pengarah Jabatan Belia & Sukan Negeri Terengganu kepada PenyuSukan.com sewaktu ditemui.
Program kali ini juga turut mendapat pujian dari Haji Rahman Dato’ Haji Sidek selaku ketua jurulatih program dari Kelab Badminton Nusa Mahsuri. Beliau menzahirkan rasa teruja melihat potensi dan komitmen yang ditunjukkan oleh peserta program yang amat berbeza dari edisi terdahulu. Rata-rata peserta pada tahun ini dilihat lebih bersedia dengan teknik asas bermain badminton. Para peserta juga turut mempunyai semangat dan disiplin yang lebih tinggi sejajar dengan perkembangan semasa pencapaian pemain badminton negara yang dijadikan idola oleh mereka.
Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia dan Sukan ini adalah anjuran tahunan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu(JBSNT), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bersama Kelab Badminton Nusa Mahsuri. Bagi mereka yang berminat untuk menghadiri program ini pada edisi seterusnya mereka boleh berhubung terus dengan akademi-akademi badminton dan Pejabat Belia Dan Sukan Daerah berhampiran. JBSNT sentiasa berhubung dengan kedua-dua badan ini untuk memberi peluang kepada semua bakat-bakat muda di seluruh daerah dalam negeri Terengganu.
[metaslider id=”767″]