Cuaca buruk hujan lebat berserta ribut petir hampir sejam memaksa Pengarah Pertandingan TNB Liga Hoki Malaysia 2019, En. Jusvir Singh mengumumkan kejuaraan bersama diberikan kepada kedua-dua pasukan.
Sebelum ini TLHT telah diumumkan selaku juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 sekaligus berjaya berjaya menamatkan kempen Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 lebih awal setelah meraih kutipan mata tertinggi liga. Untuk rekod, TLHT berjaya mengutip mata tertinggi sekaligus berada di tangga teratas liga dengan hanya 10 perlawanan manakala pasukan lain terpaksa meneruskan baki perlawanan untuk memastikan kedudukan pasukan masing-masing.
Namun bagi pengendali TLHT; Iman Gobinathan Abdullah sedikit sebanyak tetap terkilan kerana pasukannya tidak dapat mempamerkan aksi sebenar untuk menambah manis merangkul kejuaraan ini.
“Tiada siapa menjangkakan hujan akan turun dengan lebat dan menyebabkan perlawanan tidak dapat diteruskan dan saya percaya perlawanan hari ini jika dapat dijalankan pastinya merupakan satu perlawanan yang hebat kerana ia aksi final dan untuk saya ia satu kerugian.
“Kejuaraan berganda pastinya cukup mengembirakan dan saya berterima kasih kepada pemain atas usaha keras mereka juga kepada pihak pengurusan yang telah banyak membantu pasukan ini,” ujar Iman kepada pemberita.
Terdahulu berlangsung aksi perebutan tempat ketiga dan keempat yang menemukan PDRM Blue Warriors dan PKS Uniten yang menyaksikan PDRM Blue Warriors muncul selaku pemenang tempat ketiga selepas cemerlang membenam cabaran PKS Uniten, 3-0.
PDRM yang dihidangkan dengan deretan peluang untuk memecah kebuntuan jaringan akhirnya berjaya untuk meledak gol pada beberapa saat sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan apabila Qasidah Najwa Muhd Halimi yang tidak dikawal berada di sudut kiri pintu gol PKS Uniten menggunakan kesempatan yang dimiliki untuk menghadiahkan gol pembukaan PDRM Blue Warriors.
Jaringan pembukaan tersebut nyata memberikan suntikan moral buat PDRM Blue Warriors untuk menambah dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37 apabila tindakan susulan Nadia Abd Rahman berjaya membolosi pintu gol PKS Uniten.
Menerusi pukulan sudut penalti kelima yang dimiliki, PDRM Blue Warriors bijak memperdaya pertahanan PKS Uniten apabila “pusher” PDRM Blue Warriors, Nadia Abd Rahman menolak bola ke Norbaini Hashim dan Norbaini yang bertindak selaku pemukul kedua melakukan satu flik terus untuk PDRM memperolehi gol ketiga pada minit ke-40 dan jaringan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.