Setelah dua tahun tertangguh, perebutan kejuaraan Piala Yang Di Pertuan Muda Terengganu kembali mewarnai kalendar penganjuran perlumbaan kuda lasak di negeri Terengganu ini. Penganjuran bertaraf antarabangsa yang berlangsung selama empat hari di Terengganu International Endurance Park itu berjaya menarik 50 penyertaan termasuk dua pasukan dari luar negara iaitu Singapura dan Thailand yang mempertaruhkan 3 kategori utama CEI 1 100km, CEN 100km dan CEN 40km.
Menambah prestij penganjuran, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin juga berkenan untuk mencemar duli turut sama beraksi bersama ‘Virago De Mangorvenec’ bagi mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable bagi acara CE 1 100km.
Turut beraksi Anfal Insyirah Abu Talib, Muhammad Yusuf Luqman Zakaria dan Nur Qasrina Amani Zakaria yang merupakan trio pemenang pingat perak di Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship) yang telah berlangsung di Netherlands pada tahun lalu dan juga penyertaan penyanyi Faizal Tahir bagi acara CEN 100km yang turut menjadi tumpuan.
Lihat sepenuhnya di – https://youtu.be/dEW6wbLHUro
Pasukan Royal Terengganu Endurance Stable yang dipacu padu oleh Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Pelumba Asri Abd Aziz, Muhammad Aizad Mohd Riduan dan Jasryn Jafly berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11 jam 40 minit 28 saat sekaligus dinobatkan selaku juara manakala pasukan Benua Endurance Team di tempat kedua dengan catatan masa 25 jam 18 minit dan 13 saat.