Pasukan pembangunan berbasikal wanita elit dunia, CANYON/SRAM Generation secara rasmi mengumumkan barisan pelumba-pelumba mereka bagi musim ini yang sudah pasti tumpuan ke arah satu-satunya pelumba tanah air kelahiran negeri Terengganu iaitu Siti Nur Alia Mansor yang juga merupakan pelumba Terengganu yang kini dalam persiapan ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA).
CANYON/SRAM Generation dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Siti Nur Alia Mansor adalah di antara 8 pelumba pertama yang terpilih untuk pasukan baharu ini setelah menerima 239 permohonan dari 62 buah negara seluruh dunia. Untuk rekod, CANYON//SRAM Generation merupakan sebuah pasukan program pembangunan di bawah naungan CANYON//SRAM Racing yang baharu dibentuk pada tahun ini untuk memberi peluang kepada pelumba-pelumba dari pelbagai benua untuk turut bersaing dalam perlumbaan di Eropah.
Pada musim ini selain dua pelumba dari German, pelumba wanita yang terpilih adalah dari 7 negara merentasi 4 benua berlainan. Barisan pelumba ini juga turut berpeluang untuk menyertai CANYON//SRAM Racing, sebuah pasukan berbasikal wanita elit dari German yang berstatus Jelajah Dunia Wanita UCI.
“Selain memberi fokus pada perlumbaan, program pembangunan pasukan juga menjadi sebahagian dari hala tuju yang ditetapkan di mana CANYON//SRAM Racing tidak hanya memilih pelumba-pelumba yang berprestasi sahaja. Kami mahu setiap pelumba-pelumba yang terpilih juga mempunyai nilai-nilai untuk menjadi duta buat pasukan kami. Selain penilaian berdasarkan rekod-rekod kejayaan terdahulu yang telah dicapai oleh pelumba itu, kami juga turut menilai apakah matlamat mereka bersama pasukan dan bagaimana setiap pelumba ini mampu untuk menyumbang kejayaan sesuatu pasukan itu.”, ujar Christine Kalkschmid yang terlibat dalam pemilihan pelumba musim ini.
Manakala Ronny Lauke selaku pengurus pasukan CANYON//SRAM Racing Team cukup teruja dengan barisan pelumba-pelumba musim ini yang hadir dari pelbagai negara. Selain memberi fokus pada kalendar perlumbaan berbasikal dunia UCI, pelumba-pelumba ini juga turut kompetitif beraksi di pentas kebangsaan di negara masing-masing bakal memberi kelebihan buat pasukan untuk terus maju.
SENARAI PELUMBA CANYON//SRAM GENERATION
1) Agua Marina Espinola Salinas (PARAQUAY) – KAPTEN
2) Siti Nur Alia Mansor (MALAYSIA)
3) Fatima Deborah Conteh (SIERRA LEONE)
4) Valentine Nzayisenga (RWANDA)
5) Antonia Niedermaier (GERMAN)
6) Llori Sharpe (JAMAICA)
7) Ricarda Bauernfeind (GERMAN)
8) Olivia Shililifa (NAMIBIAN)
PROFIL PELUMBA CANYON//SRAM Generation
Agua Marina Espinola Salinas – 25 tahun
Merupakan pelumba berbasikal pertama mewakili Paraquay di pentas Olimpik dan juga merupakan juara kebangsaan negara itu dan turut pernah beraksi dalam beberapa perlumbaan di Eropah. Espinola Salinas juga secara tidak rasmi dilantik sebagai kapten pasukan CANYON//SRAM Generation.
Siti Nur Alia Mansor – 21 tahun
Mula memberi fokus secara serius dalam sukan berbasikal setelah mewakili negeri kelahiran, Terengganu setelah meraih pingat gangsa dalam penampilan pertama di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) pada tahun 2016 di Sarawak. Momentum kejuaraan tidak terhenti di situ sahaja apabila terus mendominasi beberapa podium di peringkat kebangsaan.
Fatima Deborah Conteh – 22 tahun
Meraih juara dalam perlumbaan terbesar di Sierra Leone, Tour De Lunsar pada 2018 dan sekali lagi pada tahun 2021. Kemahiran pecutan menjadi taruhan untuk bersama CANYON//SRAM Generation.
Valentine Nzayisenga – 19 tahun
Seawal usia 19 tahun telah meraih juara dalam kejohanan kebangsaan di Rwanda dengan hanya pendedahan sukan berbasikal selama setahun sebelum itu. Nzayisenga turut beraksi di pentas Kejuaraan Benua Afrika untuk berada kedudukan dalam kelompok 10 pelumba terbaik dan Kejuaraan Dunia Berbasikal Lebuhraya UCI pada tahun lalu.
Antonia Niedermaier – 20 tahun
Mula menceburi sukan ski pergunungan(ski mountaineering) secara kompetitif sebelum menyertai perlumbaan sukan berbasikal setahun lalu.
Llori Sharpe – 22 tahun
Merupakan bekas atlet kebangsaan Jamaica bagi sukan renang dan triathlon selama beberapa tahun sebelum meraih pingat gangsa dalam acara ujian masa Kejuaraan Berbasikal Caribbean dan tempat ke-5 berbasikal lebuhraya pada tahun lalu. Kemahiran kayuhan pendakian menjadi taruhan untuk bersama CANYON//SRAM Generation.
Ricarda Bauernfeind – 21 tahun
Pemenang pingat gangsa dalam Kejuaraan Berbasikal Lebuhraya German pada 2021 ini hasil gigih berlatih tanpa jurulatih selama tiga tahun sewaktu memberi fokus pada pengajian di universiti. Kemahiran kayuhan pendakian menjadi taruhan untuk bersama CANYON//SRAM Generation.
Olivia Shililifa – 19 tahun
Pelumba Namibia yang muncul juara bagi kategori U23 dalam Kejuaraan Berbasikal Lebuhraya Namibia pada tahun 2019 ini juga merupakan atlet basikal lasak MTB di pentas antarabangsa.