Masa depan kapten Terengganu FC (TFC), Habib Haroon, masih samar sama ada kekal bersama naib juara Piala Malaysia itu atau sebaliknya untuk saingan musim depan.
Pemain tengah berusia 23 tahun itu sedang menimbang beberapa perkara sebelum menerima tawaran lanjutan kontrak daripada TFC yang masih menagih khidmatnya.
Dalam masa sama Habib mengakui turut dirisik kelab tempatan selain pasukan luar negara termasuk dari negaranya dalam Liga Bahrain, Oman dan Arab Saudi.
“Pihak pengurusan ada menawarkan lanjutan kontrak yang akan tamat hujung bulan ini tetapi saya masih memikirkannya dan belum membuat sebarang keputusan.
“Kelab dari Indonesia juga ada menyatakan minat jadi saya sedang meneliti dari semua sudut untuk menentukan pasukan yang akan diwakili pada musim depan.
“Secara peribadi hati saya berat untuk meninggalkan TFC dan 70 peratus saya fikir mahu kekal kerana Terengganu adalah rumah kedua dan selesa di sini.
“Tetapi dalam bola sepak kadang-kadang perubahan boleh berlaku,” katanya kepada pemberita.
Sejak menyertai TFC pada 2021, Habib menjadi nadi skuad Peteh di posisi tengah muncul naib juara Liga Super dan Piala FA pada 2022 sebelum beraksi di pentas akhir Piala Malaysia, minggu lalu.
Masa depannya menjadi perbualan setelah dilaporkan tidak berpuas hati dikeluarkan ketika TFC memburu gol penyamaan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), 8 Disember lalu.
Habib kemudian hilang lilitan kapten pada pertemuan Piala AFC menentang Bali United, Rabu lalu, dengan tanggungjawab itu sebaliknya diberikan kepada pemain sayap, Sony Norde.
“Memang saya menukar kapten ekoran insiden itu, dia (Habib) tidak sepatutnya bertindak demikian namun kami berbincang mengenainya dan semuanya baik,” kata pengendali, Tomislav Steinbruckner.