Pasukan berbasikal tanah air bertaraf antara benua, Terengganu Cycling Team (TSG) kian mendapat rentak dalam siri perlumbaan Jelajah Eropah ke-4 yang kini berlangsung di Turki setelah pelumba Harris Salleh muncul juara pada siri ketiga jelajah kelmarin. Terkini pelumba Carlos Julian muncul juara bersama rakan sepasukan Metkel Eyob di tempat ke-3 sekaligus mendominasi podium Grand Prix Velo Alanya yang berstatus 1.2 UCI.
Kayuhan sejauh 104.5km dengan catatan masa 2 jam 40 minit 33 saat menjadi milik Carlos Julian untuk dinobatkan juara sekaligus menafikan pelumba Alex Hoehn dari pasukan Wildlife Generation Pro Cycling. Jurang satu saat masa perlumbaan di belakang pendahulu meletakkan Metkel Eyob di tempat ketiga juga turut membantu TSG mengutip mata perlumbaan untuk memperkukuh tangga kedudukan pasukan yang kini masih berada di tangga ke-37 dunia.
Pelumba muda yang kian meningkat naik, Muhammad Nur Aiman Mohd Zarif turut berentap pada perlumbaan ini yang menawarkan peringkat pendakian beraltitud tinggi sebagai cabaran. Beliau berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-65 sekaligus memperbaiki rekod peribadi pada perlumbaan sehari sebelum ini dalam GP Velo Manavgar yang berakhir di tempat ke-96.
Seterusnya dua lagi perlumbaan berstatus 1.2 UCI menantikan kem TSG di Turki yang akan berlangsung pada Mac nanti sebelum pulang ke tanah air.
KEPUTUSAN GP VELO ALANYA (EUROPE TOUR 2021)
*Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) sahaja
#1 – CARLOS JULIAN QUINTERO NORENA 02:40:33
#3 – METKEL EYOB
#12 – ARTEM OVECHKIN
#50 – YOUCEF REGUIGUI
#65 – MUHAMMAD NUR AIMAN MOHD ZARIFF
#73 – GOH CHOON HUAT