Awal permainan, pasukan LISHC yang dibarisi beberapa pemain berpengalaman besar sama ada di pentas Piala Dunia mahupun Olimpik bermain dalam tempo pantas sedikit sebanyak memberi tekanan kepada tuan rumah.
Chen Yiming berjaya mencuri gol pembukaan perlawanan hasil dari gol padang pada minit ke-5 memaksa pasukan tuan rumah melakukan pertukaran taktikal seawal minit ke-7 permainan. Setelah Tuan Nur Hidayah, Irene Hussin dan dua kudrat import Jaspreet Kaur dan Jaswinder Kaur dimasukkan kini TLHT mula mengawal permainan.
Pemain import dari India; Jaswinder Kaur ternyata menceriakan para peminat di Stadium Hoki Batu Buruk setelah berhempas pulas untuk mendapatkan gol pertama pasukan tuan rumah di minit ke-15 hasil dari gol padang. Selang 12 minit kemudian, Jaswinder Kaur yang mula mendapat rentak sekali lagi memberi kejutan untuk ledakan gol padang ke dalam gawang lawan. Asakan demi asakan diterima pasukan pelawat memaksa untuk menyimpan satu kad hijau yang dihadiahkan kepada Li Yuqi sebelum berakhirnya suku kedua perlawanan.
Sebaik mula suku ketiga perlawanan, pasukan tuan rumah diuji pantas dengan ledakan gol pukulan sudut penalti menjadikan keputusan semasa terikat dua sama. LISHC merupakan kelab dari China yang pertama kali dijemput untuk memberi saingan dalam liga ini mula mengandakan serangan dan tempo permainan memaksa pemain tuan rumah untuk terus bertahan.
Semangat juang tinggi ingin mendahului perlawanan dengan pantas akhirnya menghukum pasukan lawan di mana TLHT berjaya menambah jaringan gol hasil dari pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Jaswinder Kaur pada minit ke-39 sekaligus mencipta hatrik. Juliani Mohamad Din menambah duka LISHC di bawah bimbingan Gao Lihua selaku pemenang pingat perak Olimpik Beijing 2008 apabila berjaya menebuk gawang lawan melalui pukulan sudut penalti sekaligus memberi kelebihan kepada TLHT untuk mendahului keputusan 04-02 hingga tamat perlawanan.
“Cuaca panas memberi kelebihan buat pasukan kami untuk menentang pasukan terkuat dalam liga ini. Pemain TLHT mengambil kelebihan ini untuk memberi tekanan sekaligus bermain seperti mana dirancang. Walaupun mendominasi permainan hanya dengan 4 gol ianya sesuatu yang cukup bagus untuk saya di mana bukannya mudah untuk menjaringkan gol bertemu pasukan ini. Kami juga turut menerima tekanan hingga melakukan kesilapan walaubagaimana pun mereka sudah lakukan yang terbaik.”; ujar Iman Gobinathan Abdullah selaku ketua jurulatih TLHT yang berasal dari Perak ini.
Pada cabaran seterusnya setelah berehat selama satu hari, TLHT dijaduakan selaku pasukan pelawat bertemu KL Wipers pada 21 Januari 2019 bertempat di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Untuk rekod, pasukan KL Wipers telah mencatat kekalahan dalam kesemua perlawanan yang disertai setakat ini. Manakala bagi pasukan TLHT kini berada di tangga pertama kedudukan semasa carta Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 dengan 12 kutipan mata. Menambah menarik pasukan lelaki THT juga turut mengungguli untuk berada di carta teratas kedudukan semasa liga.