Terengganu Cycling Team(TSG), pasukan berbasikal bertaraf benua Asia yang kini genap 10 tahun penubuhan buat julung kalinya akan menganjurkan program kayuhan secara maya yang turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah kepada peserta sebagai tanda penghargaan kepada peminat khususnya.
Kayuhan ‘TSG Virtual Ride 2021’ yang dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula pada 24 Disember sehingga 26 Disember untuk jarak kayuhan sekurang-kurangnya sejauh 40km perlu ditempuhi oleh setiap peserta di lokasi masing-masing.
Tiga kategori penyertaan dipertaruhkan di mana setiap peserta itu layak untuk menerima medal khas edisi terhad ‘TSG 10 Tahun’ dan beberapa cenderamata lain yang bakal menjadi koleksi terbaik buat peminat TSG itu sendiri.
Menambah menarik, cabutan bertuah wang tunai RM 10 ribu ringgit kepada peserta bertuah bakal menjadi kemuncak penganjuran kayuhan ulang tahun ke-10 TSG ini. Selain itu beberapa barangan kelengkapan sukan berbasikal profesional berjenama terkenal turut menarik perhatian penganjuran julung kali ini.
“Semperna ulang tahun ke-10 penubuhan TSG, kami berbesar hati untuk memberi penghargaan kepada peminat-peminat di luar sana dan juga penaja-penaja kami yang selama ini memberi sokongan dan kepercayaan padu kepada kami. Ribuan terima kasih kepada barisan-barisan penaja seperti Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Terengganu, Shimano dan lain-lain penaja yang selama ini bersama kami sehingga kini.
Dalam usaha untuk menghargai peminat-peminat TSG, RM 10 ribu ringgit menanti peserta cabutan bertuah dan juga lebih dari 100 hadiah lain seperti cincin emas, gelang emas, rim basikal jenama Shimano, Iphone 13 dan lain-lain untuk diberikan.
Pelumba-pelumba TSG juga turut berkayuh pada 24 Disember ini untuk kayuhan sejauh 50km bagi menghargai penyertaan peserta-peserta TSG Virtual 2021 ini.” ujar Wan Mohd Nazri Wan Ahmad @ Wan Nik selaku ketua penyelaras TSG Virtual Ride 2021.
Terdahulu, mengikut perancangan program semperna ulang tahun ke-10 penubuhan TSG ini sepatutnya diadakan di Kuala Terengganu secara kayuhan fizikal. Namun pada saat-saat akhir perubahan terpaksa dilakukan oleh TSG untuk menganjurkannya melalui pendekatan norma baharu menggunakan teknologi maya berikutan situasi pandemik COVID-19 sehingga kini yang masih belum bernoktah.