Mohd Azizulhasni Awang, Khairul Anuar Mohamad dan Zulhairie Ahmad Tarmizi menjadi trio anak jati Terengganu untuk sekali lagi mengharumkan nama negeri dan tanah air setelah layak secara merit ke pentas temasya Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai pada Julai nanti. ‘Trio Olimpian Terengganu’ ini sehingga kini telah melengkapkan senarai 27 atlet negara(13 atlet beraksi di Sukan Olimpik dan 14 atlet ke Sukan Paralimpik) yang telah meraih tiket ke Olimpik Tokyo 2020 nanti.
“The Pocket Rocketman” yang menjadi sebutan seluruh dunia meletakkan Mohd Azizulhasni Awang di antara ikon sukan terulung negeri Terengganu sehingga kini. Penampilan sulung anak jadi Kuala Dungun di pentas Olimpik adalah pada Olimpik Rio 2016 sekaligus mencipta sensasi sukan berbasikal tanah air setelah merangkul pingat gangsa dalam acara keirin. Kejayaan demi kejayaan terkini yang telah dicipta sebelum tirai Olimpik Tokyo 2020 dibuka menjadikan Azizulhasni Awang di antara prospek terbaik buat sukan berbasikal negara untuk sekali lagi menaiki podium Olimpik nanti.
Anak jati Kemaman Khairul Anuar Mohamad sekali lagi diberi penghormatan buat kali ke-3 untuk membuat bidikan podium di Olimpik Tokyo 2020 nanti. Penampilan pertama di pentas Olimpik pada temasya Olimpik London 2012 berjaya membuat kejutan untuk mara pusingan suku akhir bagi acara individu recurve sebelum dinafikan oleh pemanah Jepun. Pencapaian ini menjadi penanda aras terbaik buat beliau walaupun pasukan pemanah negara telah kecundang seawal pusingan pertama. Walaupun kurang bernasib baik di pentas Olimpik Rio 2016, Khairul Anuar Mohamad kembali memperkukuhkan tangga kedudukan dunia saban tahun memperbaiki rekod untuk kembali layak secara merit ke Olimpik Tokyo 2020 ini.
Seterusnya menambah manis buat sejarah sukan negeri Terengganu, anak jati Marang Zulhairie Ahmad Tarmizi merupakan atlet paralimpik sukan berbasikal pertama negeri ini untuk layak secara merit ke pentas Olimpik. Sebelum ini pelumba ini juga telah mencipta sensasi arena sukan berbasikal paralimpik tanah air dengan merangkul pingat emas pertama beliau di pentas Sukan SEA dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Momentum kejayaan tidak terhenti di situ sahaja apabila sekali lagi melakar sejarah kejayaan selaku pelumba tanah air pertama merangkul pingat emas di pentas Asia dalam penganjuran temasya Sukan Para Asia Indonesia 2018. Pada Olimpik Tokyo 2020 nanti, pelumba yang kini berusia 31 tahun nanti akan berentap dalam acara bebasikal lebuhraya dan trek(kilo & pursuit).