

Pemain tengah berpengaruh Terengganu FC, Akram Mahinan, menegaskan bahawa tiada ruang untuk bersikap sambil lewa apabila skuad Penyu turun menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia 2024/2025 Ahad ini.
Dalam satu kenyataan kepada media, Akram berkata pasukan berazam tinggi untuk menghadiahkan kemenangan penutup kepada para penyokong yang setia berdiri di belakang pasukan sepanjang musim ini.


“Ini perlawanan penutup. Tiada alasan nak tarik gear atau santai-santai. Kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi Kedah, lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri,” katanya.
Tambah beliau, musim ini penuh pancaroba, namun segala pengalaman harus dijadikan landasan kukuh untuk membina semula kekuatan yang lebih jitu bagi musim akan datang.
“Musim ini perlu jadi pengajaran. Letakkan sasaran lebih tinggi musim depan dan bina semula kekuatan,” tegasnya.
Perlawanan dijangka menjadi pentas terakhir buat beberapa pemain yang akan meninggalkan pasukan, menjadikan aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bukan sahaja sebagai saingan liga, tetapi juga detik emosional buat pasukan dan penyokong.
Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali, dijangka menurunkan kesebelasan terbaik termasuk kapten pasukan, Safawi Rasid, serta penyerang sensasi Nurillo Tukhtasinov untuk memastikan kemenangan di laman sendiri menjadi kenyataan.