Rentetan musibah situasi bencana banjir yang telah menimpa masyarakat luar bandar di Hulu Terengganu, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) telah mengambil inisiatif untuk mengerakkan sepenuhnya pasukan ragbi ke lokasi bencana untuk menyampaikan bantuan.
Misi tanggungjawab sosial dengan kekuatan 30 pemain ragbi lelaki dan wanita bersama pengurusan pasukan itu telah bermula sejak seminggu lalu sewaktu peringkat awal bencana banjir bermula. Setelah banjir kembali surut, kini fokus PRNT beralih untuk membantu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kediaman mangsa di Kampung Gunung, Menerong sebelum ke lokasi seterusnya.
Kediaman Norasyikin Mohammad bersama suami di antara mangsa-mangsa banjir Kampung Gunung, Menerong yang menerima khidmat sukarelawan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu untuk mencuci kediamannya yang dipenuhi lumpur banjir pada 6 Mac 2022.
Rata-rata mangsa yang baru pulang dari Pusat Penempatan Banjir(PPS) setempat hanya mampu termenung panjang melihatkan keadaan rumah kediaman mereka yang rosak teruk setelah ditenggelami air pada minggu lalu. Malah ada di antara mangsa bencana ini tidak terdaya memikirkan nasib untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bersendirian berikutan kesan banjir yang meninggalkan lumpur tebal serta sampah sarap di kediaman masing-masing.
Timbalan YDP Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab sewaktu turut hadir membantu mangsa banjir Kampung Gunung, Menerong. Misi bantuan bencana banjir yang dilaksanakan oleh Persatuan Ragbi Negeri Terengganu turut menerima sumbangan sebanyak 5 tan keperluan asas dan makanan yang dihantar terus dari Kuala Lumpur oleh perunding kewangan AUF MBZ Consortium pada 6 Mac 2022.
“Kami amat bersyukur masih diberi ruang dan peluang untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka, malah kami juga memikul amanah setiap sumbangan yang telah diberikan untuk kami sampaikan kepada mereka yang terkesan. Kami juga ingin berterima kasih kepada semua yang menyumbang di mana berjaya mengumpulkan 100 kotak sumbangan bantuan untuk disampaikan kepada penduduk di kampung ini.”, ujar Timbalan YDP Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab.
Selain khidmat tenaga kudrat yang dicurahkan, PRNT juga turut menyampaikan sumbangan bantuan yang diterima daripada orang ramai terus ke pintu rumah mangsa bencana. Usaha persatuan sukan ini juga mendapat perhatian perunding kewangan AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang telah menyumbang 5 tan keperluan asas dan makanan yang dihantar terus dari Kuala Lumpur untuk diagihkan ke kawasan bencana. Sumbangan tersebut amat bermakna buat masyarakat luar bandar ini yang rata-rata di kalangan mereka terputus punca rezeki malah tidak mempunyai pendapatan tetap.
Pemain ragbi wanita Terengganu Jasmin Ahmad Samsuri sewaktu hadir menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir Kampung Gunung, Menerong di Hulu Terengganu pada 6 Mac 2022. Misi bantuan bencana banjir yang dilaksanakan oleh Persatuan Ragbi Negeri Terengganu telah mengerakkan seluruh pasukan ragbi negeri ini.
Untuk rekod, badan induk sukan ragbi negeri Terengganu merupakan antara entiti sukan yang aktif turun membantu ke lokasi-lokasi bencana bagi menyampaikan bantuan. Terdahulu selain beberapa bencana di negeri Terengganu, PRNT juga turut hadir menyalurkan bantuan pada mangsa bencana kepala air di Kedah pada tahun lalu dan banjir besar Kelantan pada 2014.
Setelah hampir empat tahun melakukan persiapan menjelang penganjuran temasya Sukan Malaysia(SUKMA 2022) ini, pemegang-pemegang taruh utama sukan berbasikal lasak(XCO – Mountain Bike) meletakkan harapan yang tinggi agar acara ini turut dipertandingkan nanti seperti penganjuran-penganjuran terdahulu.
Tiada sebarang kata putus bagi jenis acara yang dipertandingkan walaupun sukan berbasikal merupakan sukan teras dalam penganjuran SUKMA nanti meletakkan kem sukan berbasikal lasak dalam situasi tiada kepastian untuk setiap program latihan yang telah direncanakan sejak SUKMA Perak 2018 melabuh tirai.
Perkembangan ini juga turut memberi tekanan emosi buat sebahagian atlet-atlet khususnya yang menaruh harapan besar untuk membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA. Faktor peraturan pertandingan yang menyasarkan peringkat umur tertentu bakal menafikan peluang buat atlet-atlet yang telah berusaha sejak di bangku sekolah lagi.
Ketua jurulatih basikal lasak XCO Terengganu Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti
“Kami amat berharap acara sukan berbasikal lasak ini dipertaruhkan seperti mana SUKMA edisi lalu begitu juga kita berharap tarikh penganjuran SUKMA 2022 tidak diumumkan pada saat-saat akhir kerana ianya menyukarkan kami untuk menyusun atur pemilihan pelumba-pelumba kami. Program latihan kami mengikut jadual ketat yang telah dirangka oleh itu kesilapan percaturan pemilihan pelumba tepat pada masanya akan memberi risiko pada pungutan pingat SUKMA 2022 yang disasarkan. Kami menyasarkan pingat emas untuk sukan berbasikal ini.” ujar Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti yang menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih basikal lasak XCO Terengganu.
Ketua jurulatih basikal lasak XCO Perak Nur Assyira Zainal Abidin
“Buat Perak, kami dalam momentum persiapan pasukan yang sepatutnya beraksi pada SUKMA 2020 di Johor namun setelah dibatalkan kami terpaksa bermula sekali lagi. Sehingga kini kami masih terus berlatih namun tanpa sebarang pengumuman tarikh penganjuran SUKMA 2022 ianya sedikit menganggu fokus kami kerana beberapa faktor lain oleh pelumba kami itu sendiri. Tidak dinafikan ada di antara mereka perlu membuat pilihan memikirkan masa depan mereka sama ada untuk menyambung penganjian atau memilih kerjaya yang lain. Ianya memberi cabaran buat kami sekalu jurulatih untuk mempersiapkan pasukan.” berkata ketua jurulatih basikal lasak XCO Perak Nur Assyira Zainal Abidin kepada PenyuSukan.com
Perak yang diketuai oleh ketua jurulatih Nur Assyira Zainal Abidin menguji pasukan basikal lasak lelaki dan wanita yang kini dalam persediaan ke pentas SUKMA untuk beraksi di Kejuaraan Berbasikal Lasak Kenjoh XCO 2.0 Terbuka Kebangsaan di litar XCO Bukit Chatak, Dungun pada 19 Februari 2022.
Perak yang diketuai oleh ketua jurulatih Nur Assyira Zainal Abidin menguji pasukan basikal lasak lelaki dan wanita yang kini dalam persediaan ke pentas SUKMA untuk beraksi di Kejuaraan Berbasikal Lasak Kenjoh XCO 2.0 Terbuka Kebangsaan di litar XCO Bukit Chatak, Dungun pada 19 Februari 2022.
Menambah duka, sekiranya acara ini tidak dipertandingkan pada tahun ini sudah pasti harapan pelumba-pelumba muda ini bakal ranap untuk penganjuran seterusnya yang bakal diadakan pada tahun 2024 nanti. Situasi ini sedikit sebanyak membebankan barisan kejurulatihan dalam usaha memastikan setiap pasukan masing-masing sentiasa bersedia bagi merangkul sebarang warna pingat yang dipertandingkan.
Untuk rekod, kali terakhir acara sukan berbasikal lasak dipertandingkan di pentas SUKMA adalah pada tahun 2018 di Perak. Berikutkan pandemik COVID-19 yang melanda memaksa Johor selaku tuan rumah terpaksa menunda penganjuran pada tahun 2020.
Pasukan pembangunan berbasikal wanita elit dunia, CANYON/SRAM Generation secara rasmi mengumumkan barisan pelumba-pelumba mereka bagi musim ini yang sudah pasti tumpuan ke arah satu-satunya pelumba tanah air kelahiran negeri Terengganu iaitu Siti Nur Alia Mansor yang juga merupakan pelumba Terengganu yang kini dalam persiapan ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA).
CANYON/SRAM Generation dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Siti Nur Alia Mansor adalah di antara 8 pelumba pertama yang terpilih untuk pasukan baharu ini setelah menerima 239 permohonan dari 62 buah negara seluruh dunia. Untuk rekod, CANYON//SRAM Generation merupakan sebuah pasukan program pembangunan di bawah naungan CANYON//SRAM Racing yang baharu dibentuk pada tahun ini untuk memberi peluang kepada pelumba-pelumba dari pelbagai benua untuk turut bersaing dalam perlumbaan di Eropah.
Pada musim ini selain dua pelumba dari German, pelumba wanita yang terpilih adalah dari 7 negara merentasi 4 benua berlainan. Barisan pelumba ini juga turut berpeluang untuk menyertai CANYON//SRAM Racing, sebuah pasukan berbasikal wanita elit dari German yang berstatus Jelajah Dunia Wanita UCI.
“Selain memberi fokus pada perlumbaan, program pembangunan pasukan juga menjadi sebahagian dari hala tuju yang ditetapkan di mana CANYON//SRAM Racing tidak hanya memilih pelumba-pelumba yang berprestasi sahaja. Kami mahu setiap pelumba-pelumba yang terpilih juga mempunyai nilai-nilai untuk menjadi duta buat pasukan kami. Selain penilaian berdasarkan rekod-rekod kejayaan terdahulu yang telah dicapai oleh pelumba itu, kami juga turut menilai apakah matlamat mereka bersama pasukan dan bagaimana setiap pelumba ini mampu untuk menyumbang kejayaan sesuatu pasukan itu.”, ujar Christine Kalkschmid yang terlibat dalam pemilihan pelumba musim ini.
Manakala Ronny Lauke selaku pengurus pasukan CANYON//SRAM Racing Team cukup teruja dengan barisan pelumba-pelumba musim ini yang hadir dari pelbagai negara. Selain memberi fokus pada kalendar perlumbaan berbasikal dunia UCI, pelumba-pelumba ini juga turut kompetitif beraksi di pentas kebangsaan di negara masing-masing bakal memberi kelebihan buat pasukan untuk terus maju.
Agua Marina Espinola Salinas – 25 tahun
Merupakan pelumba berbasikal pertama mewakili Paraquay di pentas Olimpik dan juga merupakan juara kebangsaan negara itu dan turut pernah beraksi dalam beberapa perlumbaan di Eropah. Espinola Salinas juga secara tidak rasmi dilantik sebagai kapten pasukan CANYON//SRAM Generation.
Siti Nur Alia Mansor – 21 tahun
Mula memberi fokus secara serius dalam sukan berbasikal setelah mewakili negeri kelahiran, Terengganu setelah meraih pingat gangsa dalam penampilan pertama di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) pada tahun 2016 di Sarawak. Momentum kejuaraan tidak terhenti di situ sahaja apabila terus mendominasi beberapa podium di peringkat kebangsaan.
Fatima Deborah Conteh – 22 tahun
Meraih juara dalam perlumbaan terbesar di Sierra Leone, Tour De Lunsar pada 2018 dan sekali lagi pada tahun 2021. Kemahiran pecutan menjadi taruhan untuk bersama CANYON//SRAM Generation.
Valentine Nzayisenga – 19 tahun
Seawal usia 19 tahun telah meraih juara dalam kejohanan kebangsaan di Rwanda dengan hanya pendedahan sukan berbasikal selama setahun sebelum itu. Nzayisenga turut beraksi di pentas Kejuaraan Benua Afrika untuk berada kedudukan dalam kelompok 10 pelumba terbaik dan Kejuaraan Dunia Berbasikal Lebuhraya UCI pada tahun lalu.
Antonia Niedermaier – 20 tahun
Mula menceburi sukan ski pergunungan(ski mountaineering) secara kompetitif sebelum menyertai perlumbaan sukan berbasikal setahun lalu.
Llori Sharpe – 22 tahun
Merupakan bekas atlet kebangsaan Jamaica bagi sukan renang dan triathlon selama beberapa tahun sebelum meraih pingat gangsa dalam acara ujian masa Kejuaraan Berbasikal Caribbean dan tempat ke-5 berbasikal lebuhraya pada tahun lalu. Kemahiran kayuhan pendakian menjadi taruhan untuk bersama CANYON//SRAM Generation.
Ricarda Bauernfeind – 21 tahun
Pemenang pingat gangsa dalam Kejuaraan Berbasikal Lebuhraya German pada 2021 ini hasil gigih berlatih tanpa jurulatih selama tiga tahun sewaktu memberi fokus pada pengajian di universiti. Kemahiran kayuhan pendakian menjadi taruhan untuk bersama CANYON//SRAM Generation.
Olivia Shililifa – 19 tahun
Pelumba Namibia yang muncul juara bagi kategori U23 dalam Kejuaraan Berbasikal Lebuhraya Namibia pada tahun 2019 ini juga merupakan atlet basikal lasak MTB di pentas antarabangsa.
Noor Rizan Embong, ibu kepada Siti Nur Alia Mansor menceritakan detik-detik manis sewaktu diberitahu oleh anak bongsu kesayanganya yang menerima tawaran untuk beraksi di siri perlumbaan jelajah dunia bersama pasukan berbasikal wanita Canyon SRAM Racing dari German.
Pelumba berbasikal lebuhraya Terengganu, Siti Nur Alia Mansor menceritakan detik-detik awal beliau mendapat tawaran untuk menyertai pasukan berbasikal Canyon SRAM Racing dari German yang berstatus Jelajah Profesional(Pro Tour) yang merupakan pasukan wanita ke lima terbaik dunia ketika ini.
Atlet kelahiran Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu yang kini berusia 21 tahun dijadualkan untuk bertolak ke Sepanyol pada 13 Januari ini untuk penampilan sulung bersama pasukan bagi persiapan menghadapi perlumbaan pertama buat mereka di Itali pada Mac nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM 3000.00 kepada Siti Nur Alia Mansor yang dalam persedian ke Sepanyol untuk penampilan sulung bersama pasukan berbasikal wanita dunia berstatus Jelajah Profesional(Pro Tour) Canyon SRAM Racing.
Tahun 2022 yang baru membuka tirai memberi penuh makna buat arena sukan berbasikal negara setelah atlet berbasikal lebuhraya Terengganu ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA), Siti Nur Alia Mansor kini menjadi pelumba wanita tanah air pertama yang akan beraksi di pentas tertinggi siri jelajah dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada musim ini.
Siti Nur Alia Mansor merupakan atlet berbasikal lebuhraya Terengganu yang juga merupakan pelumba negeri ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) menerima tawaran kontrak selama semusim untuk bersama pasukan Canyon SRAM Racing yang berpangkalan di German yang berentap di dalam siri Jelajah Profesional(Pro Tour) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Atlet kelahiran Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu yang kini berusia 21 tahun mendapat kepercayaan untuk semusim bersama pasukan berbasikal wanita profesional Canyon SRAM Racing dari German yang berstatus Jelajah Profesional(Pro Tour) yang merupakan pasukan wanita ke lima terbaik dunia ketika ini. Alia Mansor dijadualkan untuk bertolak ke Sepanyol pada 13 Januari ini untuk penampilan sulung bersama pasukan bagi persiapan menghadapi perlumbaan pertama buat mereka di Itali pada Mac nanti.
Siti Nur Alia Mansor bersama ibunya Noor Rizan Embong(kiri) telah diraikan dalam satu majlis ringkas bertempat di Wisma Darul Iman untuk menerima sumbangan bernilai RM 3 ribu ringgit dari Kerajaan Negeri Terengganu melalui Exco Sukan Wan Sukairi Wan Abdullah. Turut hadir bersama adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya bersama Timbalan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu Mazlan Md Jail untuk menyempurnakan majlis.
Dalam pada itu, Siti Nur Alia Mansor bersama ibunya Noor Rizan Embong telah diraikan dalam satu majlis ringkas bertempat di Wisma Darul Iman untuk menerima sumbangan bernilai RM 3 ribu ringgit dari Kerajaan Negeri Terengganu melalui Exco Sukan Wan Sukairi Wan Abdullah. Turut hadir bersama adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya bersama Timbalan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu Mazlan Md Jail untuk menyempurnakan majlis.
Terengganu Monsoon Challenge 2021 yang berlansung selama 4 hari perlumbaan bermula 30 Disember 2021 sehingga 2 Januari 2022 bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu sewaktu musim tengkujuh ini dilihat tepat pada waktunya yang amat-amat dinantikan oleh setiap atlet sukan pelayaran.
Setelah hampir dua tahun tanpa sebarang penganjuran berikutan pandemik COVID-19, kalendar penganjuran sukan perahu layar tanah air kembali bernafas dengan penganjuran bertaraf kebangsaan di perairan Duyong Marina, Kuala Terengganu.
Penganjuran yang dijenamakan sebagai Terengganu Monsoon Challenge(TMC 2021) sewaktu musim tengkujuh ini dilihat tepat pada waktunya yang amat-amat dinantikan oleh setiap atlet. Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat beserta angin kencang di antara cabaran yang mampu untuk melepaskan ‘gian’ setelah sekian lama tidak dapat beraksi membadai ombak.
Terengganu Monsoon Challenge 2021 yang berlansung selama 4 hari perlumbaan bermula 30 Disember 2021 sehingga 2 Januari 2022 bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu sewaktu musim tengkujuh ini dilihat tepat pada waktunya yang amat-amat dinantikan oleh setiap atlet sukan pelayaran.
Menambah sensasi, penyertaan seramai 213 atlet sukan pelayaran seluruh negara termasuk dari Sabah sekaligus meletakkan satu penanda aras terbaik buat penganjur untuk menjadi tuan rumah sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir. Kehadiran barisan kejurulatihan dari badan induk sukan pelayaran tanah air untuk mengenal pasti atlet-atlet negeri untuk diketengahkan turut menambah prestij penganjuran ini.
Menurut pengarah kejohanan TMC 2021 yang juga merupakan ketua jurulatih sukan pelayaran Terengganu, Abdul Rani Idris menjelaskan bahawa sukan pelayaran mengalami saat-saat sukar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang lalu berikutan pandemik COVID-19. Situasi itu memaksa segala perancangan dan program latihan sukan pelayaran tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya memandangkan sukan ini tidak hanya mempertaruhkan kudrat semata-mata malah melibatkan kemahiran biomekanik bagi setiap atlet tersebut.
Ketua jurulatih sukan pelayaran Terengganu Abdul Rani Idris juga turut selaku pengarah kejohanan bagi penganjuran Terengganu Monsoon Challenge 2021 yang berlansung selama 4 hari perlumbaan bermula 30 Disember 2021 sehingga 2 Januari 2022 bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
“Kejohanan Terengganu Monsun Challenge(TMC 2021) ini merupakan satu kejuaraan perlumbaan perahu layar yang sangat dinantikan oleh pelayar-pelayar dari seluruh negara kerana cabaran angin ekstrem ketika musim tengkujuh ini. Penganjuran sewaktu cabaran angin yang hanya dapat dirasai setahun sekali ini boleh dikatakan hampir sama cabaran yang dapat dirasakan di kejohanan bertaraf antarabagsa.
TMC 2021 ini merupakan penganjuran perlumbaan perahu layar yang julung kali diadakan di dalam negara setelah hampir dua tahun terhenti berikutan PKP oleh kerana COVID-19. Jumlah penyertaan yang amat memberangsangkan untuk perlumbaan bertaraf kebangsaan sewaktu ketika COVID-19 yang masih belum berakhir ini.
Namun ianya menjadi pentas terbaik dalam persediaan pasukan dari setiap negeri untuk menilai prestasi atlet masing-masing bagi persediaan ke SUKMA 2022 nanti.”, ujar Pengarah Kejohanan Kejohanan Terengganu Monsun Challenge 2021 Abdul Rani Idris kepada PenyuSukan.com
Mohd Afendy Abdullah merupakan wakil dari badan induk kebangsaan Persatuan Pelayaran Malaysia turut selaku sebahagian dari penganjur Terengganu Monsoon Challenge 2021 yang berlansung selama 4 hari perlumbaan bermula 30 Disember 2021 sehingga 2 Januari 2022 bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
“Hampir dua tahun kita tidak dapat menganjurkan sebarang kejohanan oleh kerana COVID-19. Ini merupakan kejohanan pertama setelah terhenti sebelum ini. Penganjuran TMC 2021 ini merupakan satu permulaan penting buat sukan pelayaran untuk kembali di landasan pembangunan sukan ini.
Ianya sangat penting sebab selama dua tahun ini para pelayar kita tidak dapat menyertai sebarang kejohanan sama ada di dalam negara ataupun di luar negara. Perlumbaan ini juga memberi peluang kepada negeri-negeri yang kini dalam persiapan ke SUKMA 2022.
Kita juga berharap agar selepas ini kita berpeluang lagi untuk menyertai lain-lain kejohanan yang dianjurkan oleh lain-lain negeri sebagai persiapakn pasukan ke Sukan Asia dan SUKMA tahun hadapan.”, berkata Mohd Afendy Abdullah dari Persatuan Pelayaran Malaysia yang turut hadir selaku jawatankuasa penganjur.
Malah setiap atlet juga perlu sentiasa menambah pengalaman dan keserasian sewaktu belayar dalam cabaran tertentu khususnya faktor cuaca dan angin yang turut menjadi faktor strategi dan taktikal sukan pelayaran.
TMC 2021 yang merupakan acara tahunan di perairan Terengganu ini berlansung selama empat hari bermula pada 30 Disember 2021 sehingga 2 Januari 2022 di mana sebanyak enam kategori dipertandingkan melibatkan perlumbaan Optimist, Laser, Laser Radial, Laser 4.7, Int 420, Windsurf Bic Techno dan Windsurf RS-One.
Terengganu Monsoon Challenge 2021 yang berlansung selama 4 hari perlumbaan bermula 30 Disember 2021 sehingga 2 Januari 2022 bertempat di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu mempertaruhkan enam kategori melibatkan perlumbaan Optimist, Laser, Laser Radial, Laser 4.7, Int 420, Windsurf Bic Techno dan Windsurf RS-One. Manakala kategori ‘Hansa Access 2.3’ merupakan perlumbaan yang pertama kali diperkenalkan dalam usaha untuk menghidupkan kembali program sukan pelayaran buat atlet para yang telah terhenti selepas Olimpik Para Rio 2016.
Manakala kategori ‘Hansa Access 2.3’ merupakan perlumbaan yang pertama kali diperkenalkan dalam usaha untuk menghidupkan kembali program sukan pelayaran buat atlet para yang telah terhenti selepas Olimpik Para Rio 2016.
Setiap pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan membawa pulang medal dan juga piala kejuaraan. Selain itu Anugerah Pelayar Terbaik dan Anugerah Pasukan Terbaik turut bakal menjadi sasaran buat pelayar-pelayar sebelum melabuh tirai 2021 untuk melakar kejayaan.
Tanggal 25 Disember 2021 menjadi tarikh sejarah yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa khususnya pengiat-pengiat mahupun barisan atlet ragbi negeri Terengganu setelah menerima kejutan berita pemergian ketua jurulatih, Izaimi Zainuddin yang telah pergi mengadap Ilahi pada jam 0445 petang Sabtu.
Sesungguhnya pemergian Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Cikgu Mie’ dikalangan barisan atlet ragbi negeri ini yang sebahagian besarnya merupakan anak didiknya dan juga dikenali sebagai ‘Bai’ dikalangan arena ragbi tanah air memberi impak yang besar buat setiap insan yang mengenali beliau.
Barisan kepimpinan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu bersama barisan atlet ragbi Terengganu menempuh perjalanan jauh untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ketua jurulatih ragbi Terengganu Izaimi Zainuddin yang telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islan Seksyen 9, Kota Damansara pada 26 Disember 2021. Kredit – Facebook.com/MSNTerengganu
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab(kanan) bersama bapa kepada Allahyarham ketua jurulatih ragbi Terengganu Izaimi Zainuddin yang telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islan Seksyen 9, Kota Damansara pada 26 Disember 2021. Kredit – Facebook.com/MSNTerengganu
Menurut Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT), Amir Amri Muhammad berkata Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) pada Selasa lepas untuk menjalani pembedahan di bahagian keronkong. Setelah selesai pembedahan, tahap kesihatan arwah semakin merosot berikutan jangkitan kuman sehingga terpaksa menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi(ICU) HKL selama dua hari sebelum meninggalkan kita semua.
Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara hari ini di mana sebahagian besar penggiat-penggiat ragbi bersama barisan pemain sanggup menempuh perjalanan jauh untuk hadir memberi penghormatan terakhir.
“Sudah tentu kehilangan beliau sebagai ketua jurulatih bagi program sukan ragbi SUKMA ianya sesuatu yang sangat dirasai kehilangnya kerana kita menyasarkan pungutan pingat dan ketika ini sukan ragbi berada di landasan yang begitu baik. Baru-baru ini baru selesai penganjuran kejohanan ragbi yang telah diadakan di Gong Badak dan sudah tentu kita agak terasa kehilangan dan sesuatu yang agak terkesan pada sukan ragbi.
InsyAllah kita yakin dengan asas yang telah dibina oleh Allahyarham itu ia dapat kita kurangkan rasa kehilangan. InsyAllah kita yakin. Jadi saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham kepada balu dan semua anak-anak Allahyargam dan mudah-mudahan Allah Ta’ala menempatkan beliau di kalangan para aulia dan solihin. InsyAllah.”, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah yang ditemui PenyuSukan.com
Allahyarham yang telah dilahirkan pada 1 Julai 1973 di Tampin, Negeri Sembilan juga merupakan seorang guru di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu (MRSM KT) amat dikenali dan dihormati sepenuhnya sebagai insan yang berkomited tinggi sanggup berhujan berpanas dalam sebarang program pembangunan sukan ragbi di negeri Terengganu.
Untuk rekod, sesungguhnya jasa-jasa besar Allahyarham tidak hanya dalam lipatan sejarah pembangunan sukan ragbi negeri Terengganu malah di peringkat kebangsaan sewaktu membimbing pasukan remaja 15 sepasukan dan 7 sepasukan negara bermula pada tahun 2011 sehingga 2017. Setelah itu Allahyarham memberi fokus sepenuhnya untuk membimbing skuad SUKMA bagi negeri Terengganu di mana berjaya mara ke pusingan akhir pada SUKMA Perak 2018 untuk merangkul pingat perak setelah dinafikan oleh Kelantan.
Allahyarham Izaimi Zainuddin juga merupakan watak penting selaku ketua jurulatih di sebalik kejayaan Terengganu pada tahun 2019 yang melakar sejarah untuk pertama kali membawa Piala Agong yang merupakan piala kejuaraan ragbi paling prestij dalam negara setelah menewaskan Sabah selaku juara bertahan.
Kehilangan ini juga turut dirasai oleh rakan-rakan media oleh kerana keakraban yang telah terjalin sejak sekian lama untuk membantu pengamal media dalam membuat liputan sukan ragbi tanah air. Terima kasih di atas segalanya dan semoga rohnya dicucuri rahmat juga ditempatkan dikalangan orang beriman. Al Fatihah dari PenyuSukan.
Sehingga 2021, sebanyak 27 jenis sukan dalam 6 kategori yang dipertandingkan di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) merupakan sukan pilihan. Sukan elektronik(esports) masih belum diumumkan sukan pilihan penganjuran walaupun pertama kali diperkenalkan secara demostrasi pada SUKMA 2018 di Perak. Kredit Grafik – www.nsc.gov.my
Pemegang taruh dan juga pelabur terbesar program pembangunan sukan di negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) menaruh harapan yang tinggi agar sukan-sukan pilihan turut mendapat perhatian untuk dipertandingkan pada penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA 2022) nanti.
Pandangan ini ada asasnya memandangkan nilai pelaburan yang telah diberikan oleh pemegang-pemegang taruh termasuk penaja dan juga kudrat serta keringat oleh setiap atlet itu sendiri yang telah bermula sejak tiga tahun lalu bagi persiapan ke pentas temasya SUKMA Johor 2020. Namun momentum penganjuran kejuaraan itu terhenti berikutan telah ditangguhkan oleh kerana situasi pandemik COVID-19.
Terkini setelah diumumkan bahawa temasya itu akan kembali dianjurkan pada tahun hadapan, rata-rata atlet kini kembali meletak harapan yang tinggi untuk layak bertanding khususnya bagi mereka yang akan membuat penampilan terakhir berikutan peraturan had umur. Namun ada juga dilema dalam kalangan atlet-atlet sukan pilihan negeri Terengganu yang melihat masa depan yang suram tanpa kepastian setelah mengorbankan masa dan komitmen program latihan sejak sekian lama.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu – Ahmad Shahrizal Yahaya
“Jika sukan pilihan tidak dipertandingkan di SUKMA 2022, negara akan kehilangan dua generasi pelapis setelah SUKMA 2020 dibatalkan. Atlet-atlet ini merupakan kumpulan teras yang akan mewakili negara di kejohanan-kejohanan temasya seperti sukan SEA, sukan Asia, sukan Komanwel dan juga sukan Olimpik suatu hari nanti.
Negara akan menghadapi kesukaran untuk memilih atlet berpotensi tinggi menyumbang pingat kepada kontijen Malaysia dalam kejohanan-kejohanan temasya tersebut.
Dalam masa yang sama, atlet-atlet tersebut akan merasa kekecewaan yang amat sangat kerana sebahagian besar daripada mereka telah berlatih melebihi tempoh 3 tahun iaitu sejak 2018 lagi.”; ujar Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya.
Walaupun kelonggaran had umur telah diumumkan pada penganjuran SUKMA 2022 nanti, namun sekiranya sukan pilihan tidak dipertandingkan sudah pasti atlet tersebut sudah boleh melupakan untuk berkorban pada negeri masing-masing bagi edisi penganjuran seterusnya pada 2024.
Melihat pada pencapaian semasa yang banyak mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa, tidak dapat dinafikan kebangkitan sukan-sukan pilihan penganjuran SUKMA mula mendominasi penguasaan kejayaan di pentas yang lebih tinggi. Oleh itu sewajarnya sukan-sukan pilihan terus diberi peluang ke pentas SUKMA sejajar dengan matlamat penganjuran untuk mencungkil atlet tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Kejohanan Kebangsaan Berbasikal(Jalanraya) 2021 yang dijadualkan berlangsung selama 4 hari perlumbaan di Bukit Katil, Melaka menjadi siri perlumbaan terakhir sebelum kalendar penganjuran badan induk sukan berbasikal melabuhkan tirai.
Sebanyak 13 kategori perlumbaan yang dipertandingkan di mana 6 perlumbaan pada hari pertama, 5 perlumbaan pada hari kedua dan dua perlumbaan pada hari terakhir yang dijadualkan sebelum jam 12 tengah hari untuk berakhir.
Pelumba-pelumba Terengganu dari pasukan persediaan ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA) dan pasukan berbasikal profesional Terengganu Cycling Team(TSG) kini dalam persiapan untuk beraksi nanti.
Pasukan Terengganu Cycling Team dalam perkongsian terkini di laman Instagram rasmi milik pasukan mengesahkan untuk turut berentap dalam Kejohanan Kebangsaan Berbasikal Jalanraya 2021 nanti. Kredit Foto – instagram.com/terengganucyclingteam
KATEGORI PERLUMBAAN
HARI PERTAMA
45.0km (15.0 km x 3 laps) Ujian Masa Perseorangan – Lelaki Elit
45.0km (15.0 km x 3 laps) Ujian Masa Perseorangan – Lelaki U23
30.0km (15.0 km x 2 laps) Ujian Masa Perseorangan – Wanita Elit
30.0km (15.0 km x 2 laps) Ujian Masa Perseorangan – Lelaki Junior
15.0km (15.0 km x 1 lap) Ujian Masa Perseorangan – Wanita Junior
30.0km (15.0 km x 2 laps) Ujian Masa Perseorangan – Lelaki Veteran
HARI KEDUA
182.0km (26.0km x 7 laps) Lepas Beramai-ramai – Lelaki Elit
156.0km (26.0km x 6 laps) Lepas Beramai-ramai – Lelaki U23
104.0km (26.0km x 4 laps) Lepas Beramai-ramai – Wanita Elit
78.0km (26.0km x 3 laps) Lepas Beramai-ramai – Lelaki Master A
78.0km (26.0km x 3 laps) Lepas Beramai-ramai – Lelaki Master B
HARI TERAKHIR
130.0km (26.0km x 5 laps) Lepas Beramai-ramai – Lelaki Junior
78.0km (26.0km x 3 laps) Lepas Beramai-ramai – Wanita Junior
Sebanyak 13 kategori perlumbaan yang dipertandingkan.
12 jenis sukan bakal mewarnai penganjuran Terengganu City Night Games 2021 yang telah bermula secara bersiri sejak November lalu.
Penganjuran Terengganu City Night Games 2021 ibarat memberi nafas baru buat penggiat-penggiat mahupun peminat sukan di negeri ini untuk turut sama menyertai sebaik sahaja kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) penganjuran sukan dibenarkan sebaik sahaja Terengganu memasuk fasa empat Pelan Pemulihan Negara(PPN) pada Oktober lalu.
Sebanyak 12 jenis sukan yang dianjurkan berperingkat secara bersiri sejak November lalu melibatkan bola sepak liga penalti, basikal MTB, petanque, lawn bowls, bola jaring 3 on 3, sepakraga bulatan, bola baling, woodball, hoki penalti strok, bola keranjang 3 on 3, kereta kawalan jauh dan dodgeball.
Acara kemuncak yang diadakan secara karnival di mana ke semua penganjuran sukan ini akan dihimpunkan untuk dijalankan serentak pada 23 Disember sehingga 25 Disember ini. Terengganu City Night Games 2021 dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Unit Belia Sukan Negeri Terengganu(UBSNT).
Pasukan kebangsaan kuda lasak(endurance) melakar rekod baharu buat tanah air apabila buat kali pertama menaiki podium kejuaraan dunia setelah berjaya merangkul pingat perak di Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands.
Menambah manis buat sejarah sulung ini, pasukan kuda lasak tanah air turut disertai oleh tiga pelumba anak jati Terengganu bagi melengkapkan 5 pelumba buat pasukan negara.
Anak jati Kuala Terengganu Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Saari merupakan atlet sukan berkuda bernaung di bawah State of Terengganu Endurance Team(STET) yang kini berusia 21 tahun(29 Ogos 2000) menghadiahkan pingat perak buat negara dalam acara berpasukan CH-M-YJ- E 120km Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands. Kredit Foto – Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Pelumba dari Terengganu adalah Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari , An-Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar dan seorang pelumba wanita tunggal berusia 15 tahun iaitu Anfal Insyirah Abu Talib.
Catatan masa 19 jam 11 minit 16 saat bagi kategori berpasukan CH-M-YJ- E 120km menjadi penamat buat pasukan kebangsaan untuk menafikan pasukan Belgium di tempat ketiga. Manakala pingat emas milik Perancis dengan catatan masa 16 jam 57 minit 27 saat untuk menafikan ke semua pasukan.
Pingat perak milik pasukan kuda lasak kebangsaan dengan catatan masa 19 jam 11 minit 16 saat untuk menafikan pasukan Belgium di tempat ketiga dalam acara berpasukan CH-M-YJ- E 120km Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands. Kredit Foto – Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Pasukan kuda lasak tanah air melakar sejarah pertama kali menaiki podium untuk menghadiahkan pingat perak buat negara dalam acara berpasukan CH-M-YJ- E 120km Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands. Kredit Foto – Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Pasukan kuda lasak tanah air melakar sejarah pertama kali menaiki podium untuk menghadiahkan pingat perak buat negara dalam acara berpasukan CH-M-YJ- E 120km Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands. Kredit Foto – Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Kejohanan FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021 adalah satu kejohanan peringkat piala dunia yang diadakan setiap dua tahun bagi penunggang-penunggang remaja bawah 21 tahun dan dianjurkan oleh badan induk sukan Ekuestrian dunia iaitu Federation of Equestre Internationale (FEI).
Untuk rekod, pasukan kebangsaan berjaya meraih di tempat ke-4 acara berpasukan sewaktu penampilan pertama pada tahun 2013 di Tarbas, Perancis. Pada tahun 2015 bagi acara individu sekadar meraih tempat ke-28 dan ke-29 di Santo Domingo, Chile. Dua tahun kemudian di Verona, Italy berjaya memperbaiki kedudukan ke-11 acara individu dan momentum seterusnya pada tahun 2019 di tempat ke-5 acara berpasukan di Pisa, Itali.
Pasukan kuda lasak tanah air melakar sejarah pertama kali menaiki podium untuk menghadiahkan pingat perak buat negara dalam acara berpasukan CH-M-YJ- E 120km Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands. Kredit Foto – Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Berikut laporan yang disediakan oleh Wan Mohd Kamaluddin Wan Yusoff selaku pengurus pasukan bagi Nethelands ini.
WEC YJ 2021 ERMELO, NETHERLANDS
Pasukan Kuda Lasak (Endurance) Malaysia telah berjaya memenangi Tempat Kedua (Silver Medal) dalam kategori Berpasukan (Team Event) di Kejohanan FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021 (CH-M-YJ-E 120km). Majlis penyampaian hadiah diadakan pada 10hb Sept, 2021 pada jam 01.30 tengahari (7.30 waktu Malaysia).
MAKLUMAT KEJOHANAN
Kejohanan FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021 adalah satu kejohanan peringkat piala dunia yang diadakan setiap dua tahun bagi penunggangpenunggang remaja bawah 21 tahun dan dianjurkan oleh badan induk sukan Ekuestrian dunia iaitu “Federation of Equestre Internationale (“FEI”).
WEC YJ 2021
Jumlah peserta – 75 penunggang daripada 22 negara. Negara-negara bertanding Bahamas, Bahrain, Belgium, Brazil, Estonia, France, Germany, Hungary, Italy, Malaysia, Monaco, Netherlands, Norway, Poland, Portugal, Russia, Slovakia, Spain, Sweden, Tunisia, UAE dan USA.
Malaysia telah menghantar 5 penunggang, 5 pegawai dan 10 krew ke Kejohanan tersebut.
PENUNGGANG MALAYSIA
1. Muhammad Faris Haikal bin Mohd Hassan Sa’ari
2. Muhammad Yusuf Luqman bin Zakaria
3. Nur Qasrina Amani binti Zakaria
4. An-Nur Muhammad Imran Eirfan bin Anuwar
5. Anfal Insyirah binti Abu Talib
KEPUTUSAN KATEGORI BERPASUKAN:
EMAS – France (16 jam 57 min 27 saat)
PERAK – Malaysia (19 jam 11 min 16 saat)
GANGSA – Belgium (20 jam 43 min 03 saat)
KATEGORI INDIVIDU:
EMAS – Saeed Salem Al Muhairi (UAE)
PERAK – Abdulla Al Amri (UAE)
GANGSA – Kok Anne-Marijn (Spain)
Pasukan Malaysia mencipta sejarah pertama kali menaiki podium dalam kategori berpasukan sejak mengambil bahagian pada tahun 2013.
2013 – tempat ke 4 (Berpasukan) di Tarbas, France
2015 – tempat ke 28 & 29 (Individu) di Santo Domingo, Chile
2017 – tempat ke 11 (Individu) di Verona, Italy
2019 – tempat ke 5 (Berpasukan) di Pisa, Italy
2021 – tempat ke 2 (Berpasukan) di Ermelo, Netherlands
ULASAN SEMASA PERTANDINGAN
Pertandingan bermula pada jam 07.00 pagi dalam cuaca 18’C melalui trek landai berbatu dan berpasir sejauh 120km yang dibahagikan kepada 4 fasa (loop). Di loop pertama pasukan negara dikejutkan dengan penyingkiran seorang penunggang apabila kudanya tidak dapat meneruskan saingan akibat masaalah kesihatan. Walau bagaimanapun cabaran di teruskan di loop ke 2 oleh empat penunggang lain di kedudukan ke 6 dengan membuat strategi baru. Pasukan Malaysia berjaya menempatkan di kedudukan ke 4 pada loop ke-3 dan berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ke-2 di loop terakhir (31km) apabila saingan berbaki 10km. Kejayaan Malaysia mengatasi bekas juara-juara dunia dan juga negara-negara besar dalam sukan Kuda Lasak seperti negara-negara seperti UAE, Spain, Italy, Brazil, Germany, USA, Belgium dan tuan rumah Netherlands amatlah membanggakan.
ULASAN PENGURUS PASUKAN
“Kejayaan ini amatlah bermakna bagi pasukan Kuda Lasak negara yang pertama kali memenangi kedudukan Podium. Ianya menjelma hasil usaha gigih serta perancangan teliti pasukan. Kerjasama semua termasuk pemilik kuda, Pegawai Pasukan, Trainer, Team Vet, Krew telah berjaya membuahkan kejayaan ini. Penunggang telah berjaya mengekalkan tunggangan terbaik mereka didalam jarak sejauh 120km mengharungi trek berbatu dan berpasir. Pengorbanan atlet negara yang terpaksa meneruskan latihan harian di dalam situasi pendemik Covid-19 bagi mengekalkan kecerdasan mereka perlulah disanjung.
Disediakan oleh
WAN MOHD KAMALUDDIN BIN WAN YUSSOF
Pengurus Pasukan WEC YJ 202
Anak jati Kuala Terengganu Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Saari merupakan atlet sukan berkuda bernaung di bawah State of Terengganu Endurance Team(STET) yang kini berusia 21 tahun(29 Ogos 2000) menghadiahkan pingat perak buat negara dalam acara berpasukan CH-M-YJ- E 120km Kejuaraan Dunia Kuda Lasak (FEI World Endurance Championship for Juniors & Young Riders 2021) yang telah berlangsung di Ermelo, Netherlands. Kredit Foto – Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu
Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari merupakan pelumba kuda lasak(endurance) yang bernaung di bawah pasukan State of Terengganu Endurance Team(STET).
PROFIL
NAMA:
MUHAMMAD FARIS HAIKAL BIN MOHD HASSAN SA’ARI
FEI ID:
10136427
TARIKH LAHIR:
29 Ogos 2000
EMAIL:
faris00haikal@gmail.com
PASUKAN:
State of Terengganu Endurance Team (STET), Terengganu.
Penampilan pertama di pentas temasya Paralimpik meletakkan satu penanda aras terbaik buat pelumba anak jati Marang Zuhairie Ahmad Tarmizi dalam kelompok 10 pelumba terbaik dunia. Perkembangan ini sekaligus memperbaharui rekod pencapaian lalu yang berada dalam kelompok 15 pelumba terbaik sewaktu perlumbaan Kejohanan Dunia tahun lalu.
Cabaran pertama di Velodrom Izu bagi acara C4-5 1000 meter ujian masa individu dengan catatan masa kayuhan selama 1 minit 6.472 saat berjaya mencipta rekod baru peribadi di mana 1.391 saat lebih pantas berbanding aksi beliau pada tahun lalu di Kejohanan Dunia bertempat di Milton, Kanada.
Manakala bagi cabaran pecut berpasukan campuran lelaki C1-5, Zuhairie Ahmad Tarmizi bergandingan bersama Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi untuk melengkapkan trio bagi perlumbaan kelayakan untuk berada di tempat ke-5 dari 9 pasukan yang berentap. Walaupun terkandas untuk menaiki podium, catatan 50.532 saat yang berjaya dilakukan ini juga turut memperbaiki rekod pasukan di Kejohanan Dunia Milton, Kanada iaitu 51.872 saat.
Profil pelumba Paralimpik Zuhairie Ahmad Tarmizi serta rekod perlumbaan yang telah disertai bermula pada tahun 2018 sehingga 2020 dan terkini setelah beraksi di pentas temasya Paralimpik Tokyo 2020. Kredit – Olympics.com
Zuhairie Ahmad Tarmizi juga turut diberi peluang bersama Muhammad Hafiz Jamali untuk beraksi dalam acara lebuh raya ujian masa C5 namun beliau bersama pelumba Perancis Dorian Foulon tidak dapat menamatkan cabaran kayuhan sejauh 32km di Fuji International Speedway.
Zuhairie Ahmad Tarmizi memecahkan rekod peribadi beliau di pentas temasya Paralimpik Tokyo 2020. Kredit – Youtube.com/c/paralympics
Pelumba Olimpik sukan berbasikal, Zuhairie Ahmad Tarmizi berjaya meletakkan dirinya di kalangan 10 pelumba terbaik dunia dari 21 pelumba acara C4-5 1000 meter individu di temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Anak jati Marang ini berjaya mencatatkan masa kayuhan selama 1 minit 6.472 saat sekaligus sekali lagi telah melakar catatan terbaik peribadinya dengan catatan lebih pantas 1 minit 7.863 saat sewaktu perlumbaan di Milton 2020 dan 1 minit 8.934 saat di ACC Jincheon 2019.
Aksi di Velodrom Izu ini menyaksikan jurang 4.915 minit buat Zuhairie di belakang juara milik pelumba Sepanyol, Alfonso Cabello Llamas yang turut memperbaharui rekod dunia dengan catatan masa kayuhan selama 1 jam 1.557 minit.
Manakala rakan sepasukan yang turut beraksi bagi acara yang sama, pelumba Muhammad Hafiz Jamali dengan mencatatkan masa kayuhan 1 jam 11.288 minit berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-19 untuk menafikan pelumba Hungary dan Brazil.
Kredit – https://www.facebook.com/majlissukannegaramalaysia/posts/4245494502231082
Zuhairie Ahmad Tarmizi berjaya menempatkan dirinya di kalangan 10 terpantas bagi acara C5 1000 meter pada temasya Paralimpik Tokyo 2020. Kredit – https://olympics.com/tokyo-2020/paralympic-games/en/results/cycling-track/results-men-s-c4-5-1000m-time-trial-fnl-000100-.htm
Prosedur Operasi Standard (SOP) fasa dua Pelan Pemulihan Negara(PPN) bagi sektor sukan yang berkuat kuasa bermula pada 20 Ogos 2021.
Terengganu merupakan di antara negeri yang telah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara(PPN). Berikut adalah maklumat lanjut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sektor sukan yang berkuat kuasa bermula pada 20 Ogos 2021.
PELAN PEMULIAN NEGARA(PPN) – SOP FASA 2 TARIKH KUAT KUASA: 20 OGOS 2021
AKTIVITI DAN PROTOKOL
30. Sukan dan Riadah
• Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu yang tidak bersentuhan fizikal bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa. Aktiviti tersebut adalah seperti joging, senaman, renang, kayak (solo), taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis/ badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya.
• Pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka (outdoor) dan separa terbuka termasuk kolam renang/ premis sukan & rekreasi air (terbuka/ separa terbuka) dengan pematuhan kepada 60% kapasiti penggunaan/ kawasan DENGAN kawalan penyeliaan. Kehadiran pekerja adalah tidak melebihi 60% tenaga kerja merangkumi pengurusan dan operasi.
• Pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi komersial terbuka (outdoor) dan separa terbuka termasuk kolam renang/ premis sukan & rekreasi air (terbuka/ separa terbuka) awam adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
• Pengoperasian semua fasiliti sukan dan rekreasi tertutup (indoor) adalah TERHAD bagi tujuan pengurusan perlu (kewangan, penyelenggaraan dan seumpamanya) sahaja dengan pematuhan tidak melebihi 30% tenaga kerja termasuk pengurusan dan operasi.
• Penganjuran kejohanan atau pertandingan secara kuarantin dan tertutup TANPA kehadiran penonton/ penyokong mengikut Model Gelembung Sukan TERHAD kepada anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Liga Bola Sepak Malaysia (Malaysian Football League), Kejuaraan Petronas Cub Prix dan mana-mana DENGAN KEBENARAN KHAS KBS sahaja.
• Program latihan berpusat secara kuarantin yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis-Majlis Sukan Negeri (MSN Negeri) menggunakan konsep Camp Based Training.
• Program latihan berpusat termasuk perlawanan latihan secara kuarantin bagi pasukanpasukan dalam Malaysian Football League (MFL) dan mana-mana DENGAN KEBENARAN KHAS KBS sahaja menggunakan Model Gelembung Sukan (Camp Based Training).
• Penyertaan atlet/ jurulatih/ pegawai/ teknikal Malaysia ke kejohanan atau pertandingan atau perlawanan di luar negara TERTAKLUK kepada kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) DENGAN sokongan KBS/ MSN.
SENARAI AKTIVITI YANG TIDAK DIBENARKAN (NEGATIVE LIST)
4. Aktiviti Sukan dan Rekreasi
• Semua aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan di kawasan tertutup (indoor).
• Aktiviti sukan dan rekreasi yang dijalankan secara berkumpulan atau melibatkan sentuhan fizikal.
• Penganjuran semua kejohanan atau pertandingan KECUALI anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Liga Bola Sepak Malaysia (Malaysian Football League), Kejuaraan Petronas Cub Prix dan mana-mana DENGAN kebenaran KHAS KBS sahaja.
• Kehadiran penonton atau penyokong ke venue sukan dan rekreasi.
• Penyertaan atlet/ jurulatih/ pegawai/ teknikal Malaysia ke kejohanan atau pertandingan atau perlawanan di luar negara TANPA kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan sokongan KBS/ MSN.
• Aktiviti sukan dan rekreasi yang dijalankan di luar atau merentas kawasan arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa KECUALI mendapat kebenaran PDRM.
Setelah impian tercapai untuk layak secara merit ke pentas berprestij tertinggi dunia pada temasya sukan Paralimpik di Tokyo nanti, atlet para sukan berbasikal negara Zuhairie Ahmad Tarmizi kini mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Terengganu untuk dijadikan azimat menaiki podium nanti.
Persediaan sejak bertahun lamanya meletakkan pelumba yang berusia 31 tahun ini berada di tahap terbaik untuk melakar sejarah podium pertama buat kontijen paralimpik negara bagi sukan berbasikal dalam acara 1000 meter individu.
Zulhairie Ahmad Tarmizi. Kredit Foto – KontinjenMalaysia.my
“Sememangnya saya berusaha keras untuk tiket ke Olimpik. Saya berharap seluruh negeri Terengganu mahupun Malaysia doakan kejayaan untuk saya. Hanya doa anda menjadi pembakar semangat saya.”, ujar Zuhairie kepada PenyuSukan.com sewaktu dihubungi.
Untuk rekod, bapa kepada tiga cahaya mata ini merupakan atlet para sukan berbasikal pertama kelahiran negeri Terengganu yang layak secara merit ke pentas temasya sukan Paralimpik. Demi komitmen latihan untuk memberi fokus di Tokyo ini, Zuhairi juga hanya sempat meluangkan masa selama dua hari sewaktu menyambut anak bongsu beliau yang lahir pada November tahun lalu.
Anak jati Marang yang beralih arah dari sukan bola sepak sejak 2013 setelah ditimpa kemalangan menyebabkan jari tangan kanannya putus mula mendapat perhatian apabila membuat kejutan menghadiahkan 3 pingat emas dan 1 pingat perak pada Sukan SEA KL 2017 yang lalu.
Momentum pencapaian tidak terhenti di situ sahaja apabila setahun setelah itu sekali lagi berjaya menghadiahkan 1 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa di Sukan Asia 2018.
Selain acara 1000 meter individu yang menjadi prospek punggutan pingat negara, Zuhairie juga turut akan berentap dalam acara pecut berpasukan bersama dua lagi pelumba kebangsaan. Acara sukan berbasikal dijadualkan untuk membuka tirai bermula 25 Ogos sehingga 3 September nanti.
Profil pelumba Zuhairie Ahmad Tarmizi yang layak secara merit untuk berentap di pentas temasya Paralimpik Tokyo 2020. Kredit – https://kontinjenmalaysia.my/zuhairie-ahmad-tarmizi/
Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) selaku pemegang taruh terbesar sektor sukan negeri ini menyambut baik perkembangan terkini kebenaran berperingkat sektor sukan untuk kembali beroperasi. Walaupun kebenaran itu hanya melibatkan individu yang telah lengkap divaksin, namun dengan program vaksinasi di kalangan atlet dan jurulatih yang telah dijalankan meletakkan MSNT kini berada di landasan terbaik.
Perkembangan semasa ini mampu untuk MSNT kembali merencanakan program latihan pada tahap yang optimum sewaktu pandemik COVID-19 ini di mana telah beberapa kali terhenti sebelum ini berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
Penolong Pengarah(Pembangunan) MSNT Nasree Najmi
“Walaupun sektor untuk sukan ini diberi kelonggaran tetapi kami di Majlis Sukan Negeri Terengganu tetap patuh dengan SOP yang telah diberikan dan kami juga akan memastikan bahawa atlet-atlet kami, jurulatih dan pasukan sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KBS.”, ujar Penolong Pengarah(Pembangunan) MSNT Nasree Najmi yang ditemui PenyuSukan.com
Namun begitu perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat tetap menjadi keutamaan buat MSNT memandangkan situasi kes positif negeri ini masih tinggi. MSNT juga sudah pasti tidak akan memperjudikan pelaburan bagi setiap atlet mereka yang menjadi aset bernilai tinggi dalam misi mempertahankan kejuaraan di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) pada tahun hadapan.
Terdahulu dalam Pengumuman Khas Perdana Menteri menjelaskan bahawa negeri-negeri yang telah beralih ke Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah membenarkan beberapa sektor berkaitan untuk kembali beroperasi. Namun kebenaran itu hanya melibatkan individu-individu yang telah lengkap menerima vaksin.
Persekutuan Taekwon-Do Malaysia(ITF) yang baru ditubuhkan kini berpusat di Terengganu. Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd
Persekutuan Taekwon-do Malaysia(MTF) yang baru ditubuhkan pada Ogos tahun lalu terus komited untuk meletakkan penanda aras terbaik demi memartabatkan sukan taekwon-do tanah air. Meletakkan ketelusan pengurusan badan sukan sebagai agenda utama penubuhan berjaya menarik kepercayaan 15 badan gabungan seluruh negara dalam tempoh kurang setahun.
Terkini dalam Mesyuarat Agung Kali Pertama yang diadakan secara dalam talian merekodkan kehadiran perwakilan seramai 61 orang terdiri daripada perwakilan setiap negeri, kelab-kelab bersekutu dan juga pemerhati jemputan meletakkan satu penanda aras terbaik untuk MTF meneruskan agenda perjuangan badan sukan ini.
Pada mesyuarat yang sama juga turut berlansung pemilihan ahli jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 yang dibuat secara dalam talian melalui pengundian secara elektronik bersistematik. Memanfaatkan penggunaan teknologi sepenuhnya menjadi pilihan terbaik sewaktu pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir dalam usaha untuk memperkukuhkan badan sukan yang turut berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia(PSM) ini.
Senior Master Najmi Abdullah dilantik sebagai Presiden Persekutuan Taekwon-do Malaysia(MTF) bagi penggal 2021 sehingga 2023. Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd
Keputusan sebulat suara telah berjaya dicapai untuk melantik Senior Master Najmi Abdullah sebagai Presiden MTF bagi sesi 2021 sehingga 2023 ini di mana beliau merupakan di antara pelopor awal sejarah seni Taekwon-Do tanah air. Perlantikan ini dilihat tepat pada waktunya memandangkan ketandusan kepimpinan untuk membawa hala tuju badan sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi. Malah turut menerima perlantikan jawatan kuasa adalah daripada golongan muda untuk menongkah arus modenisasi sukan seni mempertahankan diri yang telah bertapak di negara sejak 1963.
Senior Master Najmi Abdullah(kiri) sewaktu kunjung hormat bertemu Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya. Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd
Mengulas lanjut, Najmi Abdullah juga turut meletakkan sasaran bagi penyertaan kejuaraan dunia yang julung kali akan diadakah secara dalam talian pada September nanti. Kejuaraan yang dianjurkan oleh International Taekwon-Do Federation (ITF) selaku badan induk dunia dijadualkan berlangsung pada 4 September sehingga 19 September 2021 nanti turut mempertaruhkan beberapa atlet ternama dunia walaupun diadakan secara dalam talian sepenuhnya. Melihat inisiatif badan induk dunia yang turut sama mengadaptasi norma baharu dalam penggunaan teknologi meletakkan MTF selaku entiti taekwon-do terbesar dalam negara berada di landasan tepat demi hala tuju badan sukan ini.
Kredit Foto – Facebook.com/malaysiantkd
Menambah menarik, pusat pentadbiran sukan taekwon-do ini juga akan berpusat di negeri Terengganu di mana akan beroperasi sepenuhnya di fasiliti Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT). Sememangnya MTF bersama MSNT telah menjalinkan kerjasama sejak sekian lama dalam persediaan atlet ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di mana beberapa atlet MTF turut beraksi cemerlang meraih podium pada penganjuran itu. Seterusnya MTF kini dalam proses pendaftaran untuk bernaung di bawah Majlis Olimpik Malaysia sebagai ahli gabungan yang diiktiraf demi memartabatkan sukan taekwondo tanah air.
Dato’ Azizulhasni Awang merupakan atlet Olimpik pertama kelahiran Terengganu mendapat pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin setelah dianugerahkan berkuatkuasa 18 Julai 2021.
‘The Pocket Rocketman’ menerima kejutan paling bermakna sepanjang hayat karier bergelar atlet profesional sukan berbasikal setelah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati(D.P.M.T.) yang membawa gelaran Dato’ kepada Azizulhasni Awang berkuatkuasa serta merta bermula 18 Julai 2021 seperti mana tarikh kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Anak jati Dungun yang kini berusia 33 tahun kini giat memberi fokus di saat-saat akhir persiapan misi memburu emas pertama di pentas Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada Ogos nanti.
“Sejujurnya saya masih lagi terkejut dengan berita yang diterima ini tetapi dalam pada masa yang sama saya juga amat terharu kerana ini adalah penganugerahan yang terbesar dalam karier saya dan juga diri saya sebagai atlet negara.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak istana Terengganu, patik menjunjung kasih Tuanku! Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri Terengganu dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
“Bagi saya penganugerahan ini akan dijadikan sumber motivasi tambahan untuk saya beraksi dengan cemerlangan di Tokyo nanti. Dan insyAllah dengan berkat doa seluruh rakyat Malaysia saya dapat merealisasikan impian pingat emas nanti. InsyAllah terima kasih semua.”, ujar Dato’ Azizulhasni Awang kepada PenyuSukan.com sewaktu dihubungi.
Beliau juga turut menzahirkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT), pihak-pihak tertentu di belakang tabir, peminat dan juga media yang sentiasa memberi sokongan sejak 15 tahun yang lalu setelah terbabit dalam industri sukan berbasikal ini.
Perkembangan ini juga secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat untuk beraksi di Tokyo nanti di mana merupakan penampilan kedua di pentas Olimpik setelah pertama kali beraksi berjaya meraih pingat gangsa di Olimpik Rio 2016. Pada Olimpik Tokyo, Azizulhasni dijadualkan untuk berentap dalam acara pecut bermula pada 4,5 dan 6 Ogos manakala acara keirin pada 7 dan 8 Ogos nanti.
Kenyataan media daripada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu berkaitan pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu bagi tahun 2021 berkuatkuasa mulai 18 Julai 2021.
Mohamad Syazwan Al-Afif Mohamad Sawal merupakan atlet ragbi Terengganu skuad SUKMA 2022 yang juga merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) Kuala Terengganu catat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2020.
Selain terus cemerlang melahirkan atlet-atlet pelapis kebangsaan berkualiti, Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) juga turut mencipta penanda aras baharu melalui Program Kecemerlangan Akademik yang telah dimulakan sejak 2010.
Program yang telah terbukti berjaya juga turut menyediakan bantuan persekolahan atlet termasuk biasiswa sukan, bantuan yuran asrama serta bantuan yuran tuisyen kepada semua atlet yang bernaung di bawah majlis sukan negeri ini.
Terkini, 19 atlet yang merupakan atlet program persiapan di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) berjaya melakar keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2020). Pencapaian ini juga sekaligus memperbaiki rekod-rekod terdahulu pencapaian akademik di kalangan atlet-atlet negeri Terengganu ini. Untuk rekod, seramai 181 atlet MSNT menduduki peperiksaan SPM 2020 yang lalu.
Perkembangan ini disahkan oleh Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal di mana menjelaskan pencapaian itu jauh lebih baik berbanding keputusan SPM 2019 walaupun situasi pandemik COVID-19 menambah beban buat para atlet untuk memberi fokus pada proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan latihan sukan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu – Ahmad Shahrizal Yahaya
“Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk memastikan kejayaan atlet di dalam bidang akademik. Antara program yang telah dilaksanakan iaitu biasiswa atlet, program kelas tambahan kepada atlet dan juga laluan mudah ke pusat pengajian tinggi. Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa atlet, Jabatan Pendidikan Negeri, pihak sekolah dan guru-guru dan mereka-mereka yang terlibat dalam menjayakan atlet SUKMA negeri Terengganu.” ujar Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya.
Mohamad Syazwan Al Afif Mohammad Syawal mencatatkan keputusan paling cemerlang dengan pencapaian 9A diikuti oleh atlet angkat berat, Siti Sofia Sofianti, atlet kanu Muhammad Mustaqim Zulkarnain dan atlet bola tampar Nik Muhammad Zulhilmi Mat Ali dengan masing-masing memperolehi keputusan 8A. Manakala selebihnya memperolehi keputusan 6A dan 5A.
Mohamad Syazwan Al-Afif bin Mohamad Sawal merupakan atlet ragbi Terengganu skuad SUKMA 2022 yang juga merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) Kuala Terengganu catat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2020.
“Sudah tentu terima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan guru-guru saya kerana memberi kepercayaan untuk saya berusaha sebagai atlet sepenuh masa. Kepercayaan ini saya tebus dengan keputusan SPM saya ini.
“Saya sebagai atlet ragbi yang kini dalam persiapan ke SUKMA berharap dengan kejayaan ini dapat menjadi contoh kepada adik-adik di luar sana. Sukan tidak akan mengagalkan kita dalam akademik. Begitu juga dengan atlet-atlet profesional di luar sana yang mementingkan akademik demi masa depan mereka.
“Sememangnya ianya satu cabaran buat saya sebagai atlet ragbi untuk membahagikan masa saya dengan program latihan sepenuh masa dan pembelajaran. Tambahan pula dengan pembelajaran di rumah sewaktu pandemik COVID-19 ini ianya bukan satu perkara mudah untuk saya menguasai sesuatu mata pelajaran.” berkata Mohamad Syazwan Al-Afif Mohamad Sawal setelah dihubungi PenyuSukan.com
Bagi kategori sukan berpasukan, atlet ragbi mencatatkan pelajar cemerlang paling ramai dengan seorang pelajar berkeputusan 9A, 2 pelajar berkeputsan 7A, seorang 6A dan selebihnya 5A.
Sebanyak 8 insentif kelebihan menjadi atlet Terengganu yang ditawarkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu meliputi elaun bulanan latihan, program akademik sehingga skim hadiah kecemerlangan di peringkat tertinggi.
SENARAI PENUH ATLET TERENGGANU CEMERLANG SPM 2020
Mohamad Syazwan Al-Afif Mohammad Syawal (Ragbi) – 9A
Siti Sofia Sofianti Salim (Angkat Berat) – 8A
Muhammad Mustaqim Zulkarnain (Kanu) – 8A
Nik Muhammad Zulhilmi Mat Ali (Bola Tampar) – 8A
Nur Afiqah Ahmad Radzi (Angkat Berat) – 7A
Aqil Fiqri Fakhrurrazi (Ragbi) – 7A
Muhammad Firdaus Alija (Ragbi ) – 7A
Nur Farisha Mohd Fauzi (Silat) – 7A
Nurul Najwa Izzati Muhaizan (Boling Padang) – 7A
Ahmad Zaeem Fitry Awang (Ragbi) – 6A
Muhammad Amiruddin Zulkifli (Memanah) – 6A
Daniel Ikhwan Mohamad (Silat) – 6A
Nurul Huda Nadhirah Yusri (Bola Jaring) – 6A
Muhammad Fahmi Mohd Jebri (Bola Tampar ) – 6A
Mohammad Izham Mustaqim Zarawi (Bola Sepak) – 6A
Muhammad Ubaidillah Shamsul Fazili (Bola Sepak) – 6A
Muhammad Zakaria Mohd Zain (Ragbi) – 5A
Suhada Shamsudin (Ragbi) – 5A
Nur Sabrina Izzati Sadong (Bola Tampar) – 5A
RAGBI – ATLET SUKAN BERPASUKAN PALING RAMAI CEMERLANG SPM 2020
Mohamad Syazwan Al-Afif Mohammad Syawal (Ragbi) – 9A
Aqil Fiqri Fakhrurrazi (Ragbi) – 7A
Muhammad Firdaus Alija (Ragbi ) – 7A
Ahmad Zaeem Fitry Awang (Ragbi) – 6A
Muhammad Zakaria Mohd Zain (Ragbi) – 5A
Suhada Shamsudin (Ragbi) – 5A
Dr Mohammad Omar yang juga merupakan mantan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) bagi penggal 2021 hingga 2023.
Setelah 15 tahun menyepi dari arena sepak takraw kebangsaan, terkini bekas Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia(PSM) Dr Mohammad Omar menerima lantikan daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia(ASTAF) selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021 hingga 2023. Walaupun situasi perkembangan terkini yang belum berkesudahan di antara PSM dan ASTAF, namun kepercayaan badan induk di peringkat Asia yang masih memberi ruang dan peluang bagi kepakaran tempatan menjadi tiket penting bagi perubahan sukan sepak takraw tanah air.
Anak jati Terengganu yang kini berusia 63 tahun berpengalaman besar dalam sejarah pembangunan dan teknikal sukan sepak takraw di pentas antarabangsa juga merupakan tulang belakang sewaktu Program Gemilang 2001 yang menjadi penanda aras persiapan pasukan sewaktu Kuala Lumpur menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan SEA 2001. Begitu juga program pembangunan di negeri sendiri, melalui penubuhan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu sejak 1999 sehingga kini banyak melahirkan pemain-pemain berkualiti untuk diketengahkan oleh Persatuan Sepaktakraw Negeri Terenganu dan Majlis Sukan Negeri Terengganu ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA).
Dr Mohammad Omar juga pernah menjawat Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia(PSM) bermula bagi penggal 2002 pernah membuat kejutan untuk meletakkan jawatan dalam badan induk tersebut pada 2005 sejurus pasukan kebangsaan meraih emas di Sukan SEA Manila 2005. Sepanjang berada dalam pucuk pimpinan badan induk kebangsaan, mantan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu ini juga turut cemerlang menjadi penasihat teknikal pertandingan di beberapa kejohanan antarabangsa.
Dr Mohammad Omar merupakan tulang belakang penubuhan Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu yang ditubuhkan pada 1999.
“Saya telah dihubungi oleh Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader untuk menerajui jawatankuasa badan induk Asia itu. Awalnya beliau menawarkan jawatankuasa etika dan disiplin tapi saya lebih selesa bekerja dalam jawatankuasa pembangunan. Lagipun saya sememangnya banyak terlibat dalam program pembangunan sepak takraw di negeri Terengganu mahupun dalam negara. Bersama ASTAF kini saya perlu mempromosikan sukan sepak takraw ke beberapa negara yang belum wujudnya sukan ini mahupun persatuan itu sendiri.”, ujar Dr Mohammad Omar yang telah dilantik selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan, Persekutuan Sepaktakraw Asia.
Kini dengan tugasan baru yang diberikan oleh badan induk sepak takraw Asia, selain memfokuskan program pembangunan di negara-negara Asia beliau juga dalam misi untuk membawa sukan sepak takraw dipertandingkan di pentas temasya Olimpik.
Hala tuju yang menjadi keutamaan buat ASTAF bersama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) selaku badan induk dunia bakal menjadi penanda aras terbaik setelah sukan ini pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia 1990 manakala Sukan SEA sejak 1967. Malah sukan ini juga turut menjadi tumpuan negara-negara Asia Pasifik melalui penganjuran temasya dwi tahunan Arafura Games yang dianjurkan secara tetap di Darwin, Australia.
Mohd Azizulhasni Awang, Khairul Anuar Mohamad dan Zulhairie Ahmad Tarmizi menjadi trio anak jati Terengganu untuk sekali lagi mengharumkan nama negeri dan tanah air setelah layak secara merit ke pentas temasya Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai pada Julai nanti. ‘Trio Olimpian Terengganu’ ini sehingga kini telah melengkapkan senarai 27 atlet negara(13 atlet beraksi di Sukan Olimpik dan 14 atlet ke Sukan Paralimpik) yang telah meraih tiket ke Olimpik Tokyo 2020 nanti.
Mohd Azizulhasni Awang. Kredit Foto – KontinjenMalaysia.my
“The Pocket Rocketman” yang menjadi sebutan seluruh dunia meletakkan Mohd Azizulhasni Awang di antara ikon sukan terulung negeri Terengganu sehingga kini. Penampilan sulung anak jadi Kuala Dungun di pentas Olimpik adalah pada Olimpik Rio 2016 sekaligus mencipta sensasi sukan berbasikal tanah air setelah merangkul pingat gangsa dalam acara keirin. Kejayaan demi kejayaan terkini yang telah dicipta sebelum tirai Olimpik Tokyo 2020 dibuka menjadikan Azizulhasni Awang di antara prospek terbaik buat sukan berbasikal negara untuk sekali lagi menaiki podium Olimpik nanti.
Khairul Anuar Mohamad. Kredit Foto – KontinjenMalaysia.my
Anak jati Kemaman Khairul Anuar Mohamad sekali lagi diberi penghormatan buat kali ke-3 untuk membuat bidikan podium di Olimpik Tokyo 2020 nanti. Penampilan pertama di pentas Olimpik pada temasya Olimpik London 2012 berjaya membuat kejutan untuk mara pusingan suku akhir bagi acara individu recurve sebelum dinafikan oleh pemanah Jepun. Pencapaian ini menjadi penanda aras terbaik buat beliau walaupun pasukan pemanah negara telah kecundang seawal pusingan pertama. Walaupun kurang bernasib baik di pentas Olimpik Rio 2016, Khairul Anuar Mohamad kembali memperkukuhkan tangga kedudukan dunia saban tahun memperbaiki rekod untuk kembali layak secara merit ke Olimpik Tokyo 2020 ini.
Zulhairie Ahmad Tarmizi. Kredit Foto – KontinjenMalaysia.my
Seterusnya menambah manis buat sejarah sukan negeri Terengganu, anak jati Marang Zulhairie Ahmad Tarmizi merupakan atlet paralimpik sukan berbasikal pertama negeri ini untuk layak secara merit ke pentas Olimpik. Sebelum ini pelumba ini juga telah mencipta sensasi arena sukan berbasikal paralimpik tanah air dengan merangkul pingat emas pertama beliau di pentas Sukan SEA dalam penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Momentum kejayaan tidak terhenti di situ sahaja apabila sekali lagi melakar sejarah kejayaan selaku pelumba tanah air pertama merangkul pingat emas di pentas Asia dalam penganjuran temasya Sukan Para Asia Indonesia 2018. Pada Olimpik Tokyo 2020 nanti, pelumba yang kini berusia 31 tahun nanti akan berentap dalam acara bebasikal lebuhraya dan trek(kilo & pursuit).
Pusat Latihan SUKMA E-Center Terengganu dilengkapi dengan peralatan latihan elektronik terkini bagi mempersiapkan pasukan ke pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA) di Johor nanti.
Setelah sekian lama terpaksa menyewa beberapa premis latihan di sekitar Kuala Terengganu, akhirnya skuad sukan elektronik negeri ini menerima pusat latihan rasmi sendiri dalam usaha memperkukuhkan persediaan ke pentas temasya Sukan Malaysia (SUKMA Johor 2022) nanti.
Pusat latihan yang dijenamakan sebagai Pusat Latihan SUKMA E-Center Terengganu telah dirasmikan oleh Exco Sukan Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Ahmad Shahrizal Yahaya, Pengarah Jabatan Belia Sukan Negeri Terengganu Mohd Izwandy Ismail dan beberapa pemegang-pemegang taruh pembangunan sukan yang lain.
Terletak di dalam Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak merupakan lokasi strategik bagi menjalani program latihan sepenuh masa di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) selaku pemegang taruh utama program pembangunan sukan di negeri Terengganu.
Presiden eSports Malaysia Terengganu Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani
“Alhamdullilah akhirnya kami memperolehi pusat latihan sendiri tanpa perlu berpindah randah lagi. Pertamanya bangunan ini milik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, MSNT membantu dalam perbelanjaan keperluan peralatan latihan dan MSN juga turut memberi peruntukkan tambahan termasuk kos pengubahsuaian pusat latihan ini.”, ujar Presiden eSports Malaysia Terengganu Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani. eSports Malaysia Terengganu juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Elektronik Terengganu merupakan badan induk yang mengawal selia sukan elektronik dalam negeri ini.
Pusat Latihan SUKMA E-Center Terengganu telah dirasmikan pada 19 April 2021 mampu untuk memuatkan seramai 30 atlet sukan elektronik.
Sehingga kini sebanyak hampir RM 100 ribu ringgit telah dibelanjakan untuk pusat latihan yang dilengkapi dengan peralatan latihan terkini yang mampu memuatkan sehingga 30 atlet. Selain MSNT, pusat latihan ini juga turut mendapat sokongan peruntukkan dari Majlis Sukan Negara(MSN) bagi kerja-kerja penambahbaikan yang diperlukan dalam usaha untuk memperkukuhkan industri sukan elektronik di negeri ini.
Skuad sukan elektronik ini yang turut bernaung di bawah MSNT telah ditubuhkan sejak 2018 di mana ketika itu sukan ini menjadi sukan demonstrasi yang tidak menawarkan sebarang pungutan pingat di SUKMA Perak 2018. Walaupun belum sempat untuk beraksi di temasya SUKMA Johor 2020 yang tertunda, beberapa kejayaan di pentas antara bangsa dan kebangsaan telah dilakar sekaligus mendominasi penguasaan sukan elektronik di rantau ini.
Untuk rekod, Ahmad Ali Huzaifi Abdullah Hazawi yang lebih dikenali sebagai ‘Lexia’ merupakan atlet persiapan SUKMA negeri ini yang telah berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat negara sewaktu temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang lalu.
Majlis Sukan Negeri Terengganu memperuntukkan perbelanjaan setengah juta ringgit sebulan bagi pembayaran khidmat jurulatih-jurulatih & barisan atlet negeri Terengganu.
Sekalipun program latihan sukan terganggu sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sejak hampir setahun berlalu, Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab kebajikan para atlet dan jurulatih untuk membuat sebarang pemotongan bayaran berkaitan.
Badan induk yang juga pemegang taruh utama program pembangunan sukan dalam negeri Terengganu ini juga tidak menamatkan sebarang khidmat jurulatih mahupun atlet dalam takbir urus perancangan perbelanjaan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir ini.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu – Ahmad Shahrizal Yahaya
“Sepanjang perlaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) bermula PKP 1.0 pada Mac tahun lepas sehingga ke hari ini sememangnya Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) tidak melakukan pemotongan sebarang bayaran kepada 860 atlet dan 85 jurulatih walaupun program latihan dilakukan secara maya melalui video di dalam talian. MSNT juga tidak mengurangkan atau membuang kapasiti jurulatih-jurulatih yang telah kami lantik bermula pada Januari lalu.”, ujar Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu kepada PenyuSukan.com
Beliau juga turut memberi jaminan bahawa setiap bayaran kepada atlet dan jurulatih tidak akan terjejas sehingga hujung tahun ini kerana peruntukan tersebut telah diluluskan oleh pihak kerajaan negeri Terengganu.
Memperuntukkan perbelanjaan sebanyak setengah juta sebulan melibatkan RM300 ribu bagi pembayaran gaji melibatkan 85 jurulatih dan selebihnya RM200 ribu dijelaskan kepada 859 atlet yang melibatkan 28 jenis sukan. Bayaran itu juga turut melibatkan pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO) yang menjadi tambah nilai buat mereka.
Atlet sukan negeri Terengganu yang sentiasa berisiko tinggi sewaktu program latihan dijalankan kini menerima pelindungan insurans secara tidak langsung menjadi penanda aras kebajikan atlet negeri ini dititik berat oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Selain pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO), barisan atlet yang merupakan aset penting berprestasi tinggi ini juga turut dicarum insurans yang menjadi tambah nilai untuk memberi perlindungan sepanjang program latihan dijalankan.
MSNT kini sedang giat tanpa henti mempersiapkan pasukan dalam misi mempertahankan kejuaraan di pentas Sukan Malaysia(SUKMA Johor 2022) nanti. Pada penganjuran lalu di SUKMA Perak 2018, Terengganu dinobatkan selaku juara keseluruhan setelah memungut 56 pingat emas, 51 pingat perak, 53 pingat gangsa menjadikan keseluruhan 160 pingat.
Susulan pengumuman kebenaran pembukaan sektor sukan dan rekreasi, Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) selaku pemegang taruh terbesar sektor sukan negeri ini kini dalam rangka kerja untuk kembali beroperasi semaksimum mungkin dalam masa terdekat.
Terkini proses sanitasi besar-besaran melibatkan keseluruhan fasiliti pusat latihan di bawah kendalian Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu(KSNT) telah bermula sebelum penggunaan dibuka kepada atlet-atlet yang terlibat dengan program latihan bagi persiapan Sukan Malaysia(SUKMA Johor 2022) nanti.
Fasiliti pusat latihan termasuk padang latihan yang digunakan oleh pasukan bola sepak Terengganu FC yang juga merupakan hak milik Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu(KSNT) turut disanitasi menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan pada 5 Mac nanti.
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Stadium Tertutup, Arena Lawn Bowls, mini stadium, litar permotoran dan padang-padang latihan yang tersedia ada di dalam Kompleks Sukan Negeri Terengganu merupakan lokasi-lokasi yang disanitasi sebelum ke lain-lain fasiliti di daerah yang lain. Fasiliti pusat latihan termasuk padang latihan yang digunakan oleh pasukan bola sepak Terengganu FC yang juga merupakan hak milik KSNT turut disanitasi menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan pada 5 Mac depan.
Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu A. Zulkifli Mohamad.
“Kita lakukan pada hari ini adalah saya kira kali keempat yang telah kita dilakukan selepas pandemik COVID-19 ini. Jadi sebenarnya kita masih berhati-hati dalam menguruskan pusat sukan kemudahan pusat sukan di kompleks sukan negeri Terengganu terutamanya di Kuala Nerus ini.
“Ini adalah kali keempat proses sanitasi besar-besaran fasiliti sukan di seluruh negeri Terengganu dilakukan sepanjang pandemik COVID-19 ini. Untuk permulaan ini kita mulakan di pusat latihan utama sekitar kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam daerah Kuala Nerus ini di mana mempunyai 8 kemudahan fasiliti sukan utama. Walaupun sedemikian kita masih berhati-hati untuk mengurus pusat sukan sewaktu pembukaan kembali operasi sektor sukan kerana situasi semasa COVID-19 yang belum berakhir.
Fasiliti pusat latihan termasuk padang latihan yang digunakan oleh pasukan bola sepak Terengganu FC yang juga merupakan hak milik Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu(KSNT) turut disanitasi menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan pada 5 Mac nanti.
“Proses sanitasi dilakukan dalam tempoh berkala bergantung pada sesuatu tempat tersebut namun bagi fasiliti seperti gym dan sebagainya kita lakukan proses sanitasi setiap hari iaitu sewaktu sebelum digunakan dan setelah itu.”, ujar A. Zulkifli Mohamad yang bertanggungjawab selaku Pengurus Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Fasiliti pusat latihan termasuk padang latihan yang digunakan oleh pasukan bola sepak Terengganu FC yang juga merupakan hak milik Pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu(KSNT) turut disanitasi menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan pada 5 Mac nanti.
Sebagaimana garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan, modul program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal (quarantine based approach) bakal dikuatkuasakan oleh MSNT melibatkan beberapa jenis sukan bagi fasa pertama perlaksanaan. Kelompok pertama atlet negeri ini dijangka akan melapor diri di asrama yang disediakan bermula pada minggu hadapan.
Terdahulu Majlis Keselamatan Negara(MKN) melalui Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kebenaran beberapa sektor sukan dan rekreasi untuk kembali beroperasi bermula pada 12 Februari. Sebelum ini sektor sukan seluruh negara lumpuh sepenuhnya susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuatkuasa sejak 5 Februari lalu.
Klik untuk lihat video penuh ulasan Exco Sukan Negeri Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah – https://youtu.be/yUU6Ou-v-Pc
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu menyambut baik segala usaha Kementerian Belia dan Sukan(KBS) yang sentiasa berusaha untuk mengerakkan sektor sukan sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal lagi. Negeri ini yang merupakan antara kuasa besar sukan tanah air dan juga antara pemegang taruh terbesar membekalkan atlet-atlet berprestasi tinggi bagi mewakili negara di pentas antarabangsa sudah tentu memerlukan satu keputusan yang tepat untuk menentukan masa depan dan hala tuju bagi setiap atlet mereka.
Terengganu juga yang telah mempraktikan program latihan secara kuarantin termasuk menempatkan atlet-atlet di kemudahan asrama serta mengikut keseluruhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sejak dari awal perlaksanaan PKP dilihat tidak mempunyai masalah untuk perlaksanaan yang akan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara(MKN). Secara tidak langsung negeri ini telah mempraktikan modul gelembung sukan yang akan diperkenalkan kelak.
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu merupakan antara pemegang taruh terbesar program pembangunan dan kecemerlangan sukan di dalam negeri ini.
“Sudah tentu persiapan perlu dilakukan oleh para atlet di semua daerah. Kita juga di Majlis Sukan Negeri Terengganu sangat perlu kepada SOP kelonggaran yang lebih terbuka kepada sukan ini kerana persiapan SUKMA 2022 yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Dan sudah tentu kita perlu kelonggaran ini untuk memastikan atlet-atlet kita meneruskan dapat latihan dengan lebih maksimum. Itu pun termasuk antara perkara sebab mengapa kita memberi sokongan kepada YB Menteri Belia dan Sukan ini kerana isu termasuk dengan persiapan dan perlawanan lain-lain sukan di peringkat nasional.” ujar Exco Sukan Negeri Terengganu YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah kepada Penyusukan yang ditemui.
Keputusan itu perlu memandangkan terdapat atlet-atlet negeri ini yang sedang berusaha membuat persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA Vietnam 2021 dan juga yang sedang memburu slot bagi ke Olimpik Tokyo nanti. Begitu juga persiapan kontijen negeri untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia(SUKMA) pada tahun hadapan setelah ditunda berikutan pandemik COVID-19 yang belum bernoktah ini. Sesungguhnya Terengganu sememangnya telah memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan menjangkau jutaan ringgit dengan menjadikan pembangunan sukan sebagai salah satu agenda kemajuan negeri ini.
Majlis Sukan Negeri Terengganu yang terletak di daerah Kuala Nerus. Kuala Nerus merupakan daerah baharu yang ke-8 dalam negeri Terengganu yang telah diumumkan pada 18 September 2014. Kredit Foto – PenyuSukan.com
Setelah perlaksanaan PKP hampir setahun sejak tahun lalu, tidak dinafikan di pihak Kerajaan Negeri Terengganu yang merupakan pelabur terbesar turut terkesan setelah beberapa perancangan dan program latihan tidak dapat diteruskan. Selain memberi risiko pada momentun prestasi persiapan pasukan dan atlet itu sendiri, perkembangan semasa di mana terdapat beberapa atlet mengambil keputusan untuk bersara berikuta pandemik ini juga turut memberi tekanan.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah membentangkan kepada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi permohonan kelonggaran pembukaan sektor sukan dan rekreasi sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Reaksi pendapat daripada pemain ragbi wanita Terengganu Puteri NurFatihah Abdul Rahman bersama-sama rakan sepasukan yang lain sewaktu hadir membantu mangsa pasca banjir yang telah terjejas teruk dalam negeri ini.
Rombongan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) yang hadir dengan kekuatan 28 pemain bersama barisan kepimpinan badan induk sukan ragbi negeri ini telah menempuh perjalanan hampir sejauh 200 kilometer dari bandar Kuala Terengganu untuk menyampaikan bantuan.
Daerah Kemaman menjadi destinasi pertama dalam usaha murni bagi menggembleng seluruh kudrat meringankan beban penduduk setempat yang menjadi mangsa banjir. Kemaman merupakan daerah yang terjejas teruk turut mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi setelah dilanda gelombang banjir buat kali ke-5 dalam tempoh ini.
Jadual padat menjalani program latihan sepenuh masa bagi persiapan pasukan ragbi negeri Terengganu di pentas Sukan Malaysia(SUKMA) tidak menghalang atlet-atlet ragbi lelaki dan wanita negeri ini untuk turut sama hadir membantu mangsa pasca banjir yang telah terjejas teruk dalam negeri ini.
Rombongan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) yang hadir dengan kekuatan 28 pemain bersama barisan kepimpinan badan induk sukan ragbi negeri ini telah menempuh perjalanan hampir sejauh 200 kilometer dari bandar Kuala Terengganu untuk menyampaikan bantuan. Daerah Kemaman menjadi destinasi pertama dalam usaha murni bagi menggembleng seluruh kudrat meringankan beban penduduk setempat yang menjadi mangsa banjir. Kemaman merupakan daerah yang terjejas teruk turut mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi setelah dilanda gelombang banjir buat kali ke-5 dalam tempoh ini.
Dari kiri – Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Amir Amri Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu YB Haji Hanafiah Mat, Presiden Persatuan Ragbi Kemaman Aminuddin Sulung sewaktu hadir ke program gotong-royong membantu mangsa banjir di Kampung Tempurung, Chukai pada 12 Januari 2021.
“Sekurang-kurangnya rakyat di kawasan Kemaman ini khususnya di Kampung Tempurung ini merasai kehadiran pemain-pemain ragbi bukan sahaja bijak beraksi di padang tetapi tetap bijak bersama-sama dengan rakyat..masyarakat bagi rakyat merasa ada sedikit ada orang yang tolong mereka walaupun dalam kesusahan.”, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu YB Haji Hanafiah Mat kepada PenyuSukan.com
Selain membantu untuk menyediakan persiapan makanan dan pengurusan logistik di pusat operasi bencana, mereka juga turut sama berganding bahu sepenuhnya untuk membersihkan rumah penduduk yang terjejas. Selain sokongan kudrat pasukan ragbi turut disampaikan sokongan moral buat mereka yang terkesan berikutan musibah banjir ini.
Dari kiri – Nur Syuhada Kamrul Azman, Puteri NurFatihah Abdul Rahman, Nur Asmah Mat Jusoh di antara barisan pemain ragbi wanita yang kini dalam persiapan pasukan ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA) yang turut hadir membantu mangsa banjir di di Kampung Tempurung, Chukai pada 12 Januari 2021.
“Bagi saya, tugas kita bukan hanya untuk bersukan. Kita juga seperti orang lain, jadi bila ada orang susah gini kita wajiblah tolong diaorang pun.”, berkata pemain ragbi wanita Terengganu Puteri NurFatihah Abdul Rahman
Usaha yang dilaksanakan oleh persatuan sukan ini secara tidak langsung mampu untuk beroperasi sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat tepat pada waktunya memandangkan ketika ini ketandusan sebarang penganjuran kejohanan ragbi untuk disertai.
Untuk rekod, PRNT antara entiti pasukan sukan dalam negeri Terengganu yang aktif melakukan kerja-kerja di luar padang untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Terdahulu persatuan ini juga turut pernah menyampaikan bantuan keperluan kepada anggota-anggota barisan hadapan yang berhujan panas di sekatan jalan raya sewaktu perlaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) seluruh negeri Terengganu.
Perkembangan terkini daripada Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA) tentang kerjasama menghasilkan pakaian patuhi syariah bagi keperluan atlet sukan negeri Terengganu.
Difahamkan kerjasama melibatkan kerajaan negeri Terengganu melalui agensi Majlis Sukan Negeri Terengganu telah bermula khususnya memfokuskan pemakaian atlet di pentas temasya Sukan Malaysia(SUKMA).
Terengganu menjadi destinasi ke-9 dalam siri jelajah pencarian pelumba muda yang dijadualkan berlangsung pada 12 sehingga 13 Januari ini bertempat di Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Kementerian Belia dan Sukan(KBS) dan Majlis Sukan Negara(MSN) kini dalam program menjelajah ke seluruh negara dalam misi pencarian bakat baru sukan berbasikal wanita untuk diketengahkan sebagai pelapis atlet kebangsaan.
Terengganu menjadi destinasi ke-9 dalam siri jelajah pencarian pelumba muda yang dijadualkan berlangsung pada 12 sehingga 13 Januari ini bertempat di Majlis Sukan Negeri Terengganu.
Pencarian yang menyasarkan 100 pelumba berbakat peringkat umur 13 sehingga 15 tahun akan dinilai sebelum terpilih untuk proses penilaian akhir melalui ujian spesifik di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan. Seterusnya hanya 15 bakat muda akan dipilih untuk diserapkan dalam Program Pelapis Berbasikal Wanita nanti.
Program pemilihan ini di bawah kendalian sepenuhnya bekas atlet berbasikal kebangsaan yang juga anak jati Kampung Langgar, Kuala Berang Fatehah Mustapa bersama ketua jurulatih skuad pelapis negara Sood Husain.
Untuk rekod, Fatehah Mustapa telah mengumumkan persaraannya pada April lepas setelah 17 tahun berkecimpung dalam arena sukan berbasikal ini. Ratu berbasikal trek negara ini juga merupakan di antara produk hasil dari program pencarian bakat pada 2002 lalu. Beliau yang pernah membuat penampilan sebanyak dua kali di pentas Olimpik London dan Rio turut pernah meraih gangsa di Sukan Komanwel Glasgow dan sebelum itu meraih emas di Sukan Asia New Delhi pada 2013.