Atlet Ragbi Terengganu Bantu Mangsa Banjir


Lihat sepenuhnya di – https://youtu.be/rc81tCq40mo

Rentetan musibah situasi bencana banjir yang telah menimpa masyarakat luar bandar di Hulu Terengganu, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu(PRNT) telah mengambil inisiatif untuk mengerakkan sepenuhnya pasukan ragbi ke lokasi bencana untuk menyampaikan bantuan.





Misi tanggungjawab sosial dengan kekuatan 30 pemain ragbi lelaki dan wanita bersama pengurusan pasukan itu telah bermula sejak seminggu lalu sewaktu peringkat awal bencana banjir bermula. Setelah banjir kembali surut, kini fokus PRNT beralih untuk membantu kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kediaman mangsa di Kampung Gunung, Menerong sebelum ke lokasi seterusnya.

Kediaman Norasyikin Mohammad bersama suami di antara mangsa-mangsa banjir Kampung Gunung, Menerong yang menerima khidmat sukarelawan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu untuk mencuci kediamannya yang dipenuhi lumpur banjir pada 6 Mac 2022.

Rata-rata mangsa yang baru pulang dari Pusat Penempatan Banjir(PPS) setempat hanya mampu termenung panjang melihatkan keadaan rumah kediaman mereka yang rosak teruk setelah ditenggelami air pada minggu lalu. Malah ada di antara mangsa bencana ini tidak terdaya memikirkan nasib untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bersendirian berikutan kesan banjir yang meninggalkan lumpur tebal serta sampah sarap di kediaman masing-masing.

Timbalan YDP Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab sewaktu turut hadir membantu mangsa banjir Kampung Gunung, Menerong. Misi bantuan bencana banjir yang dilaksanakan oleh Persatuan Ragbi Negeri Terengganu turut menerima sumbangan sebanyak 5 tan keperluan asas dan makanan yang dihantar terus dari Kuala Lumpur oleh perunding kewangan AUF MBZ Consortium pada 6 Mac 2022.

“Kami amat bersyukur masih diberi ruang dan peluang untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka, malah kami juga memikul amanah setiap sumbangan yang telah diberikan untuk kami sampaikan kepada mereka yang terkesan. Kami juga ingin berterima kasih kepada semua yang menyumbang di mana berjaya mengumpulkan 100 kotak sumbangan bantuan untuk disampaikan kepada penduduk di kampung ini.”, ujar Timbalan YDP Persatuan Ragbi Negeri Terengganu Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab.

Selain khidmat tenaga kudrat yang dicurahkan, PRNT juga turut menyampaikan sumbangan bantuan yang diterima daripada orang ramai terus ke pintu rumah mangsa bencana. Usaha persatuan sukan ini juga mendapat perhatian perunding kewangan AUF MBZ Consortium, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang telah menyumbang 5 tan keperluan asas dan makanan yang dihantar terus dari Kuala Lumpur untuk diagihkan ke kawasan bencana. Sumbangan tersebut amat bermakna buat masyarakat luar bandar ini yang rata-rata di kalangan mereka terputus punca rezeki malah tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pemain ragbi wanita Terengganu Jasmin Ahmad Samsuri sewaktu hadir menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir Kampung Gunung, Menerong di Hulu Terengganu pada 6 Mac 2022. Misi bantuan bencana banjir yang dilaksanakan oleh Persatuan Ragbi Negeri Terengganu telah mengerakkan seluruh pasukan ragbi negeri ini.

Untuk rekod, badan induk sukan ragbi negeri Terengganu merupakan antara entiti sukan yang aktif turun membantu ke lokasi-lokasi bencana bagi menyampaikan bantuan. Terdahulu selain beberapa bencana di negeri Terengganu, PRNT juga turut hadir menyalurkan bantuan pada mangsa bencana kepala air di Kedah pada tahun lalu dan banjir besar Kelantan pada 2014.

SUKMA XXI SARAWAK 2024
17-24 OGOS 2024

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

SUMBANGAN

SUMBANGAN IKHLAS BAGI MENAMPUNG KOS OPERASI MENYAMPAIKAN BERITA SUKAN SEGENAP NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN.

april, 2024

No Events

X