Menjelang temasya Sukan Malaysia(SUKMA 2022) yang dijadualkan bakal berlangsung pada September nanti, penyandang juara keseluruhan SUKMA edisi lalu membuat kejutan untuk menambah sasaran pungutan pingat emas dengan sasaran terkini sebanyak 70 pingat emas untuk mempertahankan kejuaraan.
Terdahulu pada April lalu sewaktu Program Iftar dan Agihan Duit Raya Atlet Sukma di Stadium Tertutup Gong Badak, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah telah mengumumkan untuk menyasarkan sekurang-kurangnya 56 pingat emas untuk mempertahankan kejuaraan.
“Untuk SUKMA ini kita masih mengekalkan sebahagian besar muka-muka lama atau atlet-atlet senior yang sepatutnya beraksi pada SUKMA Johor 2020 namun telah dibatalkan berikutan COVID-19. Senarai panjang nama atlet kontijen Terengganu telah didaftarkan kepada penganjur SUKMA namun senarai pendek iaitu senarai akhir atlet terpilih yang akan dipertaruhkan akan ditentukan sebelum Ogos nanti.
Begitu juga buat masa ini jenis jenis acara sukan dan jumlah acara sukan masih dalam perbincangan oleh Majlis Sukan Negara yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat nanti.” ujar Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang ditemui di Terengganu sewaktu Majlis Sambutan Aidilfitri & Temu Mesra Majlis Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus.
Dominasi pungutan pingat di pentas SUKMA buat Terengganu melalui acara berbasikal, judo, perahu layar dan kanu masih kekal menjadi ‘lubuk emas’ untuk membantu kontijen ini terus kekal muncul selaku juara keseluruhan SUKMA 2022 nanti sekaligus terus meletakkan legasi kontijen negeri ini sebagai kuasa besar sukan tanah air.
Momentum prestasi buat atlet-atlet kontijen negeri ini dilihat berada di penanda aras yang terbaik walaupun sebelum ini program latihan telah terganggu berikutan pandemik COVID-19 yang menjadi isu global. Namun dengan perlaksanaan beberapa plan di luar jangka oleh pemegang taruh utama iaitu Majlis Sukan Negeri Terengganu(MSNT) kini memperlihatkan hasil apabila sebahagian besar atlet negeri ini meraih podium di beberapa kejohanan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Pada penganjuran temasya edisi lalu iaitu SUKMA Perak 2018, Terengganu membuat kejutan untuk muncul selaku juara keseluruhan dengan pungutan 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 gangsa menjadikan keseluruhan 160 pingat. Kejutan ini sekaligus memperbaharui rekod kontijen setelah kali terakhir dinobatkan sedemikian pada 2012 di Pahang Darul Makmur.