NATIONAL 7S 2026: TERENGGANU UJI KEUPAYAAN EMPAT SKUAD

Skuad Terbuka Lelaki Terengganu catat rekod tanpa kalah berkeputusan 1 kemenangan ke atas Perlis 20-12 dan seri bersama Kedah 14-14 pada hari pertama aksi peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan(National 7s 2026) di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Terengganu.

KUALA NERUS – Beraksi di gelanggang sendiri tidak menjanjikan laluan mudah buat empat skuad ragbi Terengganu apabila masing-masing membawa cabaran tersendiri pada hari pertama Kejuaraan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s 2026) di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Selaku tuan rumah, Terengganu mempertaruhkan pasukan dalam kesemua empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Bawah 21 Tahun Lelaki dan Bawah 21 Tahun Wanita.





Saingan hari pembukaan berlangsung dalam keadaan cuaca tidak menentu susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda negeri-negeri Pantai Timur, sekali gus menambah cabaran kepada pasukan yang beraksi sepanjang kejohanan tiga hari itu.

Dalam kategori Terbuka Lelaki, Terengganu yang diundi dalam Kumpulan A bersama Kedah, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan kempen dengan keputusan positif menerusi kemenangan 20-12 ke atas Perlis sebelum terikat 14-14 dengan Kedah.

Keputusan itu meletakkan skuad tuan rumah dalam kedudukan kompetitif untuk memburu slot ke suku akhir, namun laluan ke peringkat seterusnya dijangka terus mencabar dengan kehadiran beberapa pasukan pilihan dalam Kumpulan B yang menampilkan penyandang juara Kelantan, Selangor, Johor dan Pahang.

Sementara itu, skuad Terbuka Wanita Terengganu memperlihatkan prestasi paling menyerlah apabila mencatat dua kemenangan besar tanpa bolos, masing-masing membenam Melaka 43-0 dan PDRM 52-0.

Ketiadaan penyandang juara Selangor yang menarik diri daripada edisi kali ini turut membuka peluang lebih luas buat Terengganu untuk memburu tempat ke pentas akhir, meskipun cabaran daripada ATM yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan serta Johor yang semakin meningkat prestasinya tidak boleh dipandang ringan.

Bagi kategori Bawah 21 Tahun Lelaki, Terengganu pula berdepan persaingan lebih sengit selepas diundi bersama Johor, Kedah dan Perak.

Skuad berkenaan yang turut dibarisi pemain berpengalaman beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pada Ogos lalu mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan pada hari pertama, masing-masing menewaskan Perak 17-0 sebelum tewas 0-12 kepada Kedah.

Nasib berbeza dialami skuad Bawah 21 Tahun Wanita apabila tewas dalam kedua-dua perlawanan pembukaan, masing-masing 0-10 kepada Kelantan dan 0-29 kepada Johor.

Keputusan hari pertama itu memberikan gambaran awal cabaran yang perlu diharungi setiap skuad Terengganu dalam usaha memberikan saingan terbaik di hadapan penyokong sendiri, sekali gus memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dalam kejohanan berprestij peringkat kebangsaan itu.

KEPUTUSAN HARI PERTAMA
melibatkan pasukan Terengganu sahaja

TERBUKA LELAKI
Terengganu vs Perlis 20-12
Terengganu vs Kedah 14-14

TERBUKA WANITA
Terengganu vs Melaka 43-00
Terengganu vs PDRM 52-00

BAWAH 21 TAHUN
Terengganu vs Perak 17-00
Terengganu vs Kedah 00-12

BAWAH 21 TAHUN WANITA
Terengganu vs Kelantan 10-00
Terengganu vs Johor 00-29

YOUTUBE - PENYU SUKAN

KAJI SELIDIK

Pendapat anda tentang PenyuSukan.com?

KALENDAR SUKAN

november, 2026

27novalldayTERENGGANU SURF FESTIVAL 2026

MENGENAI KAMI

Penyu Sukan adalah sebuah entiti agensi berita sukan subsidiari kepada GOMBUGDOTNET (Suruhanjaya Syarikat Malaysia – TR0109982-D) memfokuskan berita perkembangan atlet, pasukan mahupun persatuan dan sebarang penganjuran acara sukan tempatan.

Hubungi kami: sukan@penyusukan.com

TINGKAT 1, TERENGGANU DIGITAL 1303(TD1303),
JALAN SULTAN ZAINAL ABIDIN,
20000 KUALA TERENGGANU,
TERENGGANU DARUL IMAN.

X