Gergasi bola sepak pantai timur, Terengganu FC (TFC) mengambil pendekatan berbeza untuk tidak gelojoh dalam ‘memborong‘ pelatih-pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari(AMD) seperti mana pasukan-pasukan bola sepak lain menjelang pembukaan musim hadapan. Tidak menafikan ‘graduan-graduan’ generasi kedua AMD mempunyai kualiti yang diidamkan oleh setiap pasukan namun nilai harga yang diletakkan menjadi timbang tara yang perlu diperhalusi sebaik mungkin.
TFC yang kini dalam langkah-langkah penjimatan bagi mengharungi musim hadapan sudah tentu akan memastikan setiap perbelanjaan pasukan bola sepak diteliti dengan sebaik mungkin. Situasi ini secara tidak langsung memanfaatkan sepenuhnya produk pembangunan bola sepak akar umbi oleh pemegang-pemegang taruh tersedia ada untuk beraksi di pentas tertinggi.
Sudah pasti produk yang dihasilkan oleh Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri sewajarnya diberi perhatian di mana pemegang taruh ini juga turut menjadi sebahagian dari Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Selain dari produk-produk muda yang perlu digilap ini, Terengganu FC juga turut mempunyai 3 pasukan ‘feeder’ yang masih dibarisi sebahagian besar oleh pemain-pemain muda berkualiti untuk diserap dalam pasukan utama nanti. Malah pemain-pemain pasukan ‘feeder’ ini juga sebahagian besar lahir dari program-program pembangunan bola sepak tempatan.
Terdahulu menurut laporan media tempatan, graduan generasi kedua AMD ini menjadi rebutan pasukan JDT dan Selangor untuk persiapan di musim hadapan. Pada musim lalu Selangor menawarkan gaji berharga sekitar RM2,000 sehingga RM5,000 bagi setiap seorang setelah memborong seramai 28 pemain yang rata-rata berusia 18 tahun dari akademi tersebut. Walaupun sedemikian di mana sebelum ini terdapat pihak yang mencadangkan setiap graduan AMD ini mempunyai ‘tanda harga‘ bermula dari USD 2,000.00.
“Kita ada pendirian yang berlainan di mana bukan kita tidak berhasrat untuk mengambil pemain-pemain daripada AMD tetapi kita tidak mahu meletak harga pasaran yang terlalu tinggi untuk mereka oleh kerana mereka masih muda dan tidak wajar kita meletakkan pada harga yang tinggi. Jadi pada kita di peringkat Terengganu, kita sudah mempunyai program pembangunan akar umbi yang cukup baik. Jika kita membayar harga yang tinggi untuk pemain AMD sudah pasti akan merosakkan pemain lain. Jadi buat masa ini jika yang daripada AMD itu pemain gred A, kita fokus pada gred B. InsyAllah kita akan bina pemain-pemain ini. Masing-masing ada hak untuk beraksi.”, ujar Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.
Beliau yang ditemui PenyuSukan.com sewaktu hadir ke program Dialog Hala Tuju Bola Sepak Terengganu bersama para penyokong negeri ini turut menjelaskan tiada halangan buat graduan AMD kelahiran negeri Terengganu untuk bersama pasukan lain. Situasi ini secara tidak langsung akan memberi semangat kepada pelatih-pelatih akar umbi yang kini berada dalam program pembangunan bola sepak negeri ini.