Sumbangan yang tepat pada waktunya untuk keperluan para pelumba memandangkan program latihan persiapan pasukan kian menghampiri tirai temasya SUKMA Johor 2020 yang dijadualkan pada Mac 2021 nanti.
Sebanyak RM 20,000.00 telah disuntik oleh YB Haji Ahmad Amzad Mohamed bin Mohamed @ Hashim selaku bapa angkat pasukan berbasikal Terengganu yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu manakala tambahan RM 5,000.00 lagi telah disampaikan oleh Majlis Daerah Kemaman selaku jabatan angkat dalam usaha untuk memperkasakan sukan berbasikal ini.
“Penyumbang terbanyak pingat emas bagi kontijen Terengganu adalah sukan berbasikal pada SUKMA yang lalu. Memang benar satu cabaran yang besar kepada kita untuk bertanding bersama tuan rumah yang turut sama menyasarkan penguasaan pungutan pingat di Johor nanti. Tetapi kita pergi ke sana dalam keadaan bersungguh-sungguh dan atlet kita dalam keadaan motivasi yang tinggi, insyAllah hasrat berkenaan boleh dicapai.”, berkata bapa angkat sukan berbasikal; YB Haji Ahmad Amzad Mohamed bin Mohamed @ Hashim.
Timbalan Menteri ini juga turut menzahirkan bahawa sumbangan wang tunai ini bukanlah merupakan sumbangan yang hanya diberikan sekali sahaja di mana akan sentiasa cuba untuk memenuhi keperluan skuad berbasikal di samping juga menyeru pihak-pihak swasta di luar sana turut membantu.
Sumbangan wang tunai ini sudah pasti sedikit sebanyak mampu untuk meringankan beban pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang sering terhimpit dengan perbelanjaan besar khususnya melibatkan keperluan makanan tambahan, kelengkapan peralatan latihan mahupun logistik pasukan yang menjadi sebahagian dari program latihan pasukan ini.
“Memandangkan sekarang ini kita telah membuat analisa dan kajian di mana setiap negeri mempunyai program latihan yang makin bagus. Mungkin pencabar-pencabar kita terdiri dari negeri Kedah, Johor, Perak dan juga Sabah. Tuan rumah juga jika dilihat sejak 2014 sememang merupakan pencabar yang kian meningkat naik.”, ujar ketua jurulatih Syed Mohd Husaini Syed Mazlan.
Walaupun sejak sekian lama menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang persiapan pasukan, ternyata sukan berbasikal negeri Terengganu berjaya meletakkan penanda aras yang tersendiri sekaligus menjadi kuasa besar yang digeruni sama ada di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.
Pada penganjuran SUKMA Perak 2018 lalu sebanyak 14 pingat emas, 8 pingat perak dan 6 pingat gangsa berjaya dibawa pulang oleh skuad berbasikal Terengganu Hanelang ini sekaligus menjadi penyumbang terbesar pingat membantu kontijen negeri ini untuk muncul juara keseluruhan. Kejayaan di Perak ini juga secara tidak langsung memperbaiki rekod pasukan di mana sebelum itu pada SUKMA Sarawak 2016 telah berjaya mengutip 14 pingat emas, 4 pingat perak dan 6 gangsa.
Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Berbasikal Terengganu SUKMA XX, Johor 2020 berlangsung penuh meriah di Duyong Marina & Resort turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu; Encik Ibni Amin Busu dan juga pemegang-pemegang taruh dalam sukan berbasikal negeri Terengganu untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet yang rata-rata berusia bawah 21 tahun ini.
Pada masa yang sama majlis ini juga secara tidak langsung merapatkan ikatan persaudaraan di kalangan 29 pelumba dari kelompok acara lebuhraya dan trek, BMX, downhill dan basikal bukit(MTB) di mana setiap kelompok ini berlatih secara berasingan di lokasi berlainan.
Penganjuran SUKMA Johor 2020 yang ‘telah berlangsung’ pada 11 sehingga 19 Julai lalu terpaksa ditunda pada Mac 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang merencatkan semua penganjuran sukan seluruh dunia. Situasi ini sedikit sebanyak memberi kelebihan buat skuad berbasikal ini untuk pemulihan atlet-atlet yang cedera sekaligus kembali mampu untuk bersaing dengan sepenuhnya seperti yang dirancang.