

PETALING JAYA – Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) tampil dengan pendekatan baharu musim ini apabila memperkenalkan perlindungan insurans individu untuk pemain tempatan serta dasar kontrak lebih telus.
Langkah itu dilihat sebagai usaha meningkatkan profesionalisme skuad Terengganu yang kini bersaing dalam Piala Agong edisi ke-42.
Pengurus pasukan, Mohd Haqiuddin Ali Rabu, berkata perlindungan insurans sebelum ini dibuat secara berkumpulan, namun kini setiap pemain tempatan menerima perlindungan individu. Pemain import pula masih berada di bawah skim berkumpulan kerana syarat tertentu ditetapkan pihak insurans.


“Walaupun perlindungan individu hanya melibatkan pemain tempatan, ia tetap menjadi permulaan baik dan penambahbaikan positif buat pasukan musim ini,” katanya.
Selain itu, PRNT turut mengamalkan dasar kontrak lebih terbuka dengan memberi ruang kepada pemain memahami kandungan perjanjian sebelum menandatangani.
Bekas kapten kebangsaan, Mohammad Nasharudin Ismail, menyifatkan langkah telus itu mampu mewujudkan suasana positif dalam pasukan. “Apabila pemain memahami isi kandungan kontrak masing-masing dan pengurusan pula bersikap terbuka, ia dapat meningkatkan semangat berpasukan,” ujarnya.
Terengganu membuka kempen Piala Agong musim ini dengan aksi menentang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Padang Astaka, Petaling Jaya, petang ini.

















