

Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu(KOMSAT) yang baru siap dibina pada awal tahun ini kini menjadi tumpuan baharu sukan air di negeri pantai timur ini sekaligus menjadi pemangkin bagi penggiat-penggiat sukan air mahupun untuk manfaat bersama di kalangan komuniti setempat untuk turut sama memanfaatkan kemudahan awam ini.
Terletak di Pulau Duyong, Kuala Terengganu menjadi lokasi strategik yang tidak jauh dari bandaraya Kuala Terengganu turut dilihat memberi nilai tambah pada kompleks yang bernilai lebih RM 10 juta ini untuk menjadi venue pilihan yang memerlukan sokongan kemudahan logistik mahupun bersedia untuk menerima jumlah kehadiran yang besar bagi sesuatu penganjuran.


Karnival Fiesta Rakan Muda 2026 peringkat negeri Terengganu yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 16 April 2026 lalu menjadi penganjuran sulung yang berlangsung di kompleks ini yang turut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari.
“Kemudahan di kompleks sukan air ini tidak hanya terhad atau ekslusif pada pihak-pihak tertentu sahaja di mana seharusnya dimanfaatkan bersama termasuk komuniti setempat untuk turut sama bersukan mahupun berekreasi.
“Sudah tentu dengan kemudahan tersedia ada ini memberi akses yang lebih mudah buat pemegang-pemegang taruh sukan air untuk memperkasakan program pembangunan akar umbi sukan ini sekaligus merapatkan jurang buat mereka yang pertama kali ingin menceburi sukan ini dengan lebih yakin,” ujar Dr. Mohammed Taufiq Johari sewaktu merasmikan kompleks sukan ini.








Perkembangan ini turut disambut positif oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu(JBSNT Terengganu) Asmadi Mohamad yang melihat fasiliti infrastruktur ini juga dapat memperkasakan sebarang program Rakan Muda yang menjadi kerangka pembangunan belia sejajar dengan hasrat di peringkat kementerian.
“Semperna dengan penganjuran Fiesta Rakan Muda yang menghimpunkan 29 acara sekaligus merangkumi 10 gaya hidup program Rakan Muda ini, kita boleh lihat kompleks sukan ini tidak hanya menjadi venue penganjuran sukan malah boleh dimanfaatkan untuk pelbagai program yang menjadi nilai tambah pada kompleks sukan ini. Oleh itu kami mengalu-alukan mana-mana pihak untuk menjadi venue ini sebagai lokasi penganjuran program mereka,” berkata Asmadi Mohamad.
Selain kemudahan jeti, kompleks ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan hangar penyimpanan peralatan sukan, bilik mesyuarat dan lain-lain kemudahan berkaitan yang bersedia untuk menjadikan kompleks ini sebagai venue pertandingan mahupun lain-lain program bagi sesuatu penganjuran.

















