Setelah hampir empat tahun melakukan persiapan menjelang penganjuran temasya Sukan Malaysia(SUKMA 2022) ini, pemegang-pemegang taruh utama sukan berbasikal lasak(XCO – Mountain Bike) meletakkan harapan yang tinggi agar acara ini turut dipertandingkan nanti seperti penganjuran-penganjuran terdahulu.
Tiada sebarang kata putus bagi jenis acara yang dipertandingkan walaupun sukan berbasikal merupakan sukan teras dalam penganjuran SUKMA nanti meletakkan kem sukan berbasikal lasak dalam situasi tiada kepastian untuk setiap program latihan yang telah direncanakan sejak SUKMA Perak 2018 melabuh tirai.
Perkembangan ini juga turut memberi tekanan emosi buat sebahagian atlet-atlet khususnya yang menaruh harapan besar untuk membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA. Faktor peraturan pertandingan yang menyasarkan peringkat umur tertentu bakal menafikan peluang buat atlet-atlet yang telah berusaha sejak di bangku sekolah lagi.
“Kami amat berharap acara sukan berbasikal lasak ini dipertaruhkan seperti mana SUKMA edisi lalu begitu juga kita berharap tarikh penganjuran SUKMA 2022 tidak diumumkan pada saat-saat akhir kerana ianya menyukarkan kami untuk menyusun atur pemilihan pelumba-pelumba kami. Program latihan kami mengikut jadual ketat yang telah dirangka oleh itu kesilapan percaturan pemilihan pelumba tepat pada masanya akan memberi risiko pada pungutan pingat SUKMA 2022 yang disasarkan. Kami menyasarkan pingat emas untuk sukan berbasikal ini.” ujar Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti yang menggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih basikal lasak XCO Terengganu.
“Buat Perak, kami dalam momentum persiapan pasukan yang sepatutnya beraksi pada SUKMA 2020 di Johor namun setelah dibatalkan kami terpaksa bermula sekali lagi. Sehingga kini kami masih terus berlatih namun tanpa sebarang pengumuman tarikh penganjuran SUKMA 2022 ianya sedikit menganggu fokus kami kerana beberapa faktor lain oleh pelumba kami itu sendiri. Tidak dinafikan ada di antara mereka perlu membuat pilihan memikirkan masa depan mereka sama ada untuk menyambung penganjian atau memilih kerjaya yang lain. Ianya memberi cabaran buat kami sekalu jurulatih untuk mempersiapkan pasukan.” berkata ketua jurulatih basikal lasak XCO Perak Nur Assyira Zainal Abidin kepada PenyuSukan.com
Menambah duka, sekiranya acara ini tidak dipertandingkan pada tahun ini sudah pasti harapan pelumba-pelumba muda ini bakal ranap untuk penganjuran seterusnya yang bakal diadakan pada tahun 2024 nanti. Situasi ini sedikit sebanyak membebankan barisan kejurulatihan dalam usaha memastikan setiap pasukan masing-masing sentiasa bersedia bagi merangkul sebarang warna pingat yang dipertandingkan.
Untuk rekod, kali terakhir acara sukan berbasikal lasak dipertandingkan di pentas SUKMA adalah pada tahun 2018 di Perak. Berikutkan pandemik COVID-19 yang melanda memaksa Johor selaku tuan rumah terpaksa menunda penganjuran pada tahun 2020.